Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Apakah Itu Dosa?

Jawapan Bible

Dosa ialah perbuatan, perasaan atau fikiran yang bertentangan dengan piawaian Tuhan. Seseorang berdosa apabila dia melanggar hukum Tuhan dengan melakukan sesuatu yang salah di mata Tuhan. (1 Yohanes 3:4; 5:​17) Bible juga mengatakan bahawa jika seseorang tahu apa yang betul tetapi tidak melakukannya, dia berdosa.​—Yakobus 4:​17.

Dalam bahasa asal Bible, berdosa bermaksud “tidak mengena sasaran.” Contohnya, sepasukan askar di Israel kuno begitu cekap melontar batu dengan menggunakan ali-ali, sehingga mereka “tidak pernah meleset sedikit pun.” Ungkapan ini boleh juga diterjemahkan secara harfiah sebagai “tidak berdosa.” (Hakim-Hakim 20:16) Maka, berdosa bermaksud tidak mengena sasaran piawaian Tuhan yang sempurna.

Sebagai Pencipta, Tuhan berhak menetapkan piawaian bagi manusia. (Wahyu 4:​11) Kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita.​—Roma 14:12.

Dapatkah kita mengelak daripada melakukan dosa sama sekali?

Tidak. Bible menyatakan bahawa “semua orang sudah berdosa dan gagal mencerminkan kemuliaan Tuhan.” (Roma 3:​23; 1 Raja-Raja 8:​46; Pengkhutbah 7:​20; 1 Yohanes 1:8) Mengapa?

Pada mulanya, manusia pertama iaitu Adam dan Hawa tidak berdosa. Mereka sempurna kerana diciptakan menurut gambaran Tuhan. (Kejadian 1:​27) Namun, mereka mengingkari Tuhan lalu menjadi tidak sempurna. (Kejadian 3:​5, 6, 17-​19) Mereka telah mewariskan dosa dan ketidaksempurnaan kepada keturunan mereka. (Roma 5:​12) Maka, Raja Daud dari Israel pernah berkata, “Aku telah dilahirkan dalam dosa.”​—Mazmur 51:5.

Adakah sesetengah dosa lebih teruk daripada dosa yang lain?

Ya. Contohnya, Bible mengatakan bahawa penduduk di Kota Sodom “melakukan banyak dosa yang menjijikkan” dan “dosa mereka besar sekali.” (Kejadian 13:13; 18:20) Perhatikan tiga faktor yang menentukan betapa seriusnya sesuatu dosa.

  1. Tahap dosa. Bible menasihati kita untuk menghindari dosa serius seperti perbuatan seks yang tidak bermoral, menyembah berhala, mencuri, mabuk, memeras ugut, membunuh dan mengamalkan ilmu sihir. (1 Korintus 6:​9-​11; Wahyu 21:8) Namun, Bible membezakan dosa-dosa yang disebut tadi dengan dosa yang dilakukan secara tidak sengaja, seperti menerusi kata-kata dan perbuatan yang menyakiti orang lain. (Amsal 12:18; Efesus 4:​31, 32) Walaupun begitu, Bible menggalakkan kita untuk berusaha mengelakkan segala jenis dosa. Hal ini kerana dosa yang kecil pun boleh mendorong seseorang untuk melakukan dosa yang lebih besar.​—Matius 5:​27, 28.

  2. Motif. Sesetengah orang melakukan dosa kerana tidak menyedari apa yang dikehendaki Tuhan. (Kisah 17:30; 1 Timotius 1:​13) Bible tidak meremehkan dosa sebegini, tetapi Bible juga tidak menyamakannya dengan dosa yang dilakukan apabila seseorang sengaja melanggar perintah Tuhan. (Bilangan 15:30, 31) Mereka yang sengaja melakukan dosa sebenarnya ‘mengikut keinginan hati mereka yang jahat.’​—Yeremia 16:12.

  3. Kekerapan. Bible juga membezakan dosa yang dilakukan sekali dan dosa yang dilakukan berulang kali dalam tempoh masa yang panjang. (1 Yohanes 3:​4-8) Mereka yang tahu apa yang benar tetapi “sengaja mengamalkan perbuatan yang berdosa,” akan menerima hukuman yang berat daripada Tuhan.​—Ibrani 10:26, 27.

Mereka yang melakukan dosa yang serius mungkin berasa sangat bersalah. Contohnya, Raja Daud menulis, “Aku lemas dalam banjir dosaku; dosaku bagaikan beban yang sangat berat, dan aku tidak lagi mampu menanggungnya.” (Mazmur 38:4) Walaupun demikian, Bible menawarkan harapan ini: “Hendaklah orang jahat meninggalkan haluan mereka, dan hendaklah orang keji meninggalkan pemikiran mereka. Biarlah mereka kembali kepada Yehuwa, Tuhan kita, kerana Dia akan berbelas kasihan terhadap mereka dan mengampuni mereka dengan rela hati.”​—Yesaya 55:7.