Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Bagaimanakah Yesus Menyelamatkan Kita?

Jawapan Bible

Yesus menyelamatkan orang yang beriman semasa dia menyerahkan nyawanya sebagai korban tebusan. (Matius 20:28) Oleh itu, Bible menggelar Yesus sebagai “Penyelamat dunia.” (1 Yohanes 4:​14) Bible juga mengatakan bahawa “hanya melalui Yesus orang dapat diselamatkan, kerana tiada nama lain di bawah langit dan dalam kalangan manusia yang telah dipilih oleh Tuhan untuk menyelamatkan kita.”​—Kisah 4:​12.

Yesus “merasai kematian bagi setiap orang” yang beriman kepadanya. (Ibrani 2:9; Yohanes 3:​16) Setelah Yesus mati, “Tuhan telah membangkitkannya daripada kematian,” dan Yesus pun kembali ke syurga sebagai makhluk roh. (Kisah 3:​15) Semasa di syurga, Yesus dapat “menyelamatkan orang yang mendekati Tuhan melaluinya, kerana dia sentiasa hidup dan dapat membuat permohonan bagi mereka.”​—Ibrani 7:​25.

Mengapakah kita memerlukan Yesus untuk membuat permohonan bagi kita?

Kita semua berdosa. (Roma 3:​23) Dosa memisahkan kita daripada Tuhan, dan akibat dosa ialah kematian. (Roma 6:​23) Tetapi Yesus menjadi “pembela” bagi mereka yang beriman terhadap korban tebusannya. (1 Yohanes 2:1, nota kaki) Dia merayu bagi pihak mereka, supaya Tuhan mendengari doa mereka dan mengampuni dosa mereka atas dasar korban tebusan Yesus. (Matius 1:​21; Roma 8:​34) Tuhan mengabulkan permohonan Yesus kerana permohonannya selaras dengan kehendak Tuhan. Tuhan mengutus Yesus ke bumi untuk “menyelamatkan dunia melaluinya.”​—Yohanes 3:​17.

Adakah kepercayaan kepada Yesus sudah cukup untuk memastikan penyelamatan?

Tidak. Walaupun kita perlu mempercayai Yesus untuk diselamatkan, hal itu sahaja tidak mencukupi. (Kisah 16:30, 31) Bible berkata: “Sebagaimana tubuh yang tidak bernyawa ialah tubuh yang mati, demikian juga iman yang tidak disertai perbuatan ialah iman yang mati.” (Yakobus 2:​26) Untuk diselamatkan, kita perlu melakukan hal-hal berikut:

  • Belajar tentang Yesus dan Bapanya, Yehuwa.—Yohanes 17:3.

  • Beriman kepada mereka.​—Yohanes 12:44; 14:1.

  • Menunjukkan iman dengan mematuhi perintah mereka. (Lukas 6:​46; 1 Yohanes 2:​17) Yesus mengajar bahawa bukan semua orang yang memanggil Yesus sebagai “Tuan” akan diselamatkan, kerana hanya mereka yang “melakukan kehendak Bapa[nya] yang di syurga” akan diselamatkan.​—Matius 7:​21.

  • Terus memperlihatkan iman kita walaupun menghadapi kesusahan. Yesus dengan jelas berkata: “Sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.”​—Matius 24:13.