Jawapan Bible

Tidak. Bible tidak mengajarkan bahawa “sekali selamat, tetap selamat.” Seseorang boleh kehilangan kepercayaan kepada Yesus Kristus lalu kehilangan harapan untuk diselamatkan. Bible mengatakan bahawa seseorang “harus berjuang dengan bersungguh-sungguh” untuk mempertahankan imannya. (Yudas 3, 5) Orang Kristian pada masa awal yang percaya kepada Kristus diberitahu, “Teruslah berusaha supaya kamu diselamatkan oleh Tuhan. Lakukanlah hal itu dengan rasa takut dan hormat.”​—Filipi 2:12.

Ayat-ayat Bible tidak menyokong ajaran “sekali selamat, tetap selamat”

  • Bible memberikan amaran tentang dosa serius yang boleh menyebabkan seseorang tidak mewarisi Kerajaan Tuhan. (1 Korintus 6:9-11; Galatia 5:19-21) Jika seseorang dijamin mendapat penyelamatan, amaran sebegini adalah sia-sia. Sebaliknya, Bible menunjukkan bahawa seseorang yang telah diselamatkan boleh melakukan dosa lalu meninggalkan haluan yang benar. Contohnya, Ibrani 10:26 menyatakan, “Jika kita sengaja mengamalkan perbuatan yang berdosa selepas menerima pengetahuan yang tepat tentang kebenaran, tidak ada lagi korban lain yang dapat dipersembahkan bagi dosa-dosa kita.”​—Ibrani 6:4-6; 2 Petrus 2:20-22.

  • Yesus menekankan kepentingan untuk tetap beriman dengan memberikan satu perumpamaan. Dalam perumpamaan ini, Yesus digambarkan sebagai pokok anggur dan pengikutnya ialah carang atau dahan pokok anggur. Sesetengah pengikut Yesus menghasilkan buah, atau perbuatan, yang baik. Namun kemudian mereka gagal berbuat demikian dan menjadi seperti carang yang “dicampak ke luar,” iaitu mereka akan kehilangan harapan penyelamatan. (Yohanes 15:1-6) Rasul Paulus juga menggunakan perumpamaan yang serupa dengan mengatakan bahawa orang Kristian yang tidak lagi menunjukkan iman adalah seperti ‘cabang pokok yang akan dikerat.’​—Roma 11:17-22.

  • Orang Kristian diperintahkan untuk “teruslah berjaga-jaga.” (Matius 24:42; 25:13) Orang yang melakukan ‘perbuatan-perbuatan dalam kegelapan’ atau tidak melaksanakan kerja yang diamanahkan oleh Yesus sedang tidur secara rohani. Akibatnya, mereka tidak dapat diselamatkan.​—Roma 13:11-13; Wahyu 3:1-3.

  • Kebanyakan ayat Bible menunjukkan bahawa mereka yang telah diselamatkan harus tetap setia sehingga akhir. (Matius 24:13; Ibrani 10:36; 12:2, 3; Wahyu 2:10) Orang Kristian pada abad pertama bersukacita apabila mengetahui rakan seiman mereka tetap setia. (1 Tesalonika 1:2, 3; 3 Yohanes 3, 4) Jadi, jika seseorang yang tidak setia pun diselamatkan, perlukah Bible menegaskan pentingnya untuk tetap setia dan tabah sampai akhir?

  • Apabila Paulus tahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi, barulah dia berasa bahawa penyelamatannya terjamin. (2 Timotius 4:6-8) Sebelum itu, dia sedar jika dia digoda oleh keinginan tubuh, dia mungkin tidak mendapat penyelamatan. Oleh itu, dia menulis, “Aku memukuli tubuhku dan mengawalnya seperti hamba supaya selepas aku menyebarkan berita baik kepada orang lain, aku sendiri tidak kehilangan perkenan Tuhan.”​—1 Korintus 9:27; Filipi 3:12-14.