Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA

Akhir Zaman​—Apakah Maksudnya?

Akhir Zaman​—Apakah Maksudnya?

“Akhir zaman dah dekat!” Apabila anda dengar kata-kata ini, apakah yang terlintas dalam fikiran anda? Adakah anda terfikir tentang asteroid-asteroid di angkasa lepas yang akan menghentam lalu memusnahkan bumi? Atau adakah anda membayangkan seorang paderi yang berkhutbah di gereja sambil berseru bahawa dunia akan kiamat? Ada sesetengah orang rasa takut apabila membayangkan ini, dan ada pula yang rasa ini sesuatu yang lucu dan susah dipercayai.

Bible memang ada sebut bahawa “akhir akan datang.” (Matius 24:14) Peristiwa itu juga dipanggil “hari besar Tuhan” dan “Armagedon.” (Wahyu 16:14, 16) Tapi apakah sebenarnya maksudnya? Banyak orang sangat keliru dan mempunyai pandangan yang negatif tentang peristiwa itu. Tapi Bible memberi kita gambaran yang tepat tentang apa yang akan berlaku, menjelaskan sama ada akhir zaman sudah di ambang pintu, dan mengajar kita cara untuk diselamatkan. Sekarang, mari kita lihat beberapa salah faham tentang akhir zaman dan penjelasannya daripada Bible.

AKHIR ZAMAN BUKANLAH . . .

  1. PERISTIWA YANG MENYEBABKAN BUMI HANGUS DIJILAT API.

    Bible kata, “[Tuhan] telah mendirikan bumi kukuh pada asasnya; bumi tidak akan bergerak dari tempatnya buat selama-lamanya.” (Mazmur 104:5) Ayat ini dan ayat-ayat lain meyakinkan kita bahawa Tuhan tidak akan mengizinkan bumi dimusnahkan. Bumi akan kekal buat selama-lamanya!​—Pengkhutbah 1:4; Yesaya 45:18.

  2. PERISTIWA RAWAK YANG TIDAK DIRANCANG.

    Firman Tuhan kata, “Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya, baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu. Teruslah berjaga-jaga dan teruslah berwaspada, kerana kamu tidak tahu waktu yang ditentukan oleh Tuhan.” (Markus 13:32, 33) Ayat ini jelas menyatakan bahawa akhir pasti akan datang dan Tuhan telah menentukan masa baginya.

  3. PERISTIWA YANG DICETUSKAN OLEH MANUSIA ATAU DISEBABKAN OLEH ASTEROID DARI ANGKASA LEPAS.

    Wahyu 19:11 kata, “Aku nampak langit terbuka dan lihatlah! Ada seekor kuda putih. Penunggang kuda itu dipanggil Yang Setia dan Yang Benar.” Ayat 19 menyambung, “Kemudian aku nampak binatang buas dan raja-raja di bumi serta angkatan tentera mereka berkumpul untuk berperang melawan dia yang duduk di atas kuda itu dan angkatan tenteranya.” (Wahyu 19:11-21) Dari ayat ini, kita boleh faham bahawa Tuhanlah yang akan memulakan hari ini dan Dia akan menggunakan angkatan tentera di syurga, iaitu para malaikat, untuk memusnahkan musuh-Nya.

Akhir zaman bukanlah berita yang buruk, tetapi berita yang membawa harapan

APAKAH SEBENARNYA YANG AKAN BERAKHIR?

  1. PEMERINTAHAN MANUSIA.

    Bible kata, “Pada zaman raja-raja itu, Tuhan di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang tidak dapat dimusnahkan. Kerajaan ini tidak akan diserahkan kepada bangsa lain. Kerajaan ini akan meremukkan dan mengakhiri semua kerajaan itu. Hanya kerajaan ini yang akan kekal buat selama-lamanya.” (Daniel 2:44) Seperti yang dinyatakan di poin 3 tadi, “raja-raja di bumi serta angkatan tentera mereka [yang] berkumpul untuk berperang melawan dia yang duduk di atas kuda itu dan angkatan tenteranya” akan dimusnahkan.​—Wahyu 19:19.

  2. PEPERANGAN, KEGANASAN, DAN KETIDAKADILAN.

    “Tuhan menghentikan peperangan di seluruh dunia.” (Mazmur 46:9) “Hanya orang baik yang akan menduduki bumi, dan hanya orang yang tidak bercela akan tetap tinggal di situ. Tetapi orang jahat akan dilenyapkan dari bumi, dan orang yang tidak setia akan dihapuskan dari bumi.” (Amsal 2:21, 22) “Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.”​—Wahyu 21:4, 5.

  3. AGAMA PALSU.

    “Para nabi menyampaikan nubuat palsu, dan para imam menggunakan kekuasaan mereka untuk menindas orang. . . . Apakah yang akan kamu lakukan apabila akhir tiba?” (Yeremia 5:31) “Pada hari itu, ramai orang akan berkata kepadaku, ‘Tuan, Tuan, bukankah kami bernubuat atas namamu, mengusir roh-roh jahat atas namamu, dan melakukan banyak mukjizat atas namamu?’ Tetapi aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai orang yang melanggar hukum!’”​—Matius 7:21-23.

  4. ORANG YANG MENYOKONG SISTEM DUNIA YANG JAHAT INI.

    Yesus kata, “Walaupun cahaya telah masuk ke dalam dunia, orang mencintai kegelapan dan bukannya cahaya kerana perbuatan mereka jahat.” (Yohanes 3:19) Bible mencatatkan bahawa pada zaman Nuh, dunia pernah dimusnahkan. Bible kata, “Dunia zaman itu telah dimusnahkan, iaitu ketika bumi dibanjiri air. Namun melalui firman yang sama, langit dan bumi yang ada sekarang dipelihara untuk dimusnahkan dengan api kelak. Langit dan bumi masih dipelihara sehingga tibanya hari penghakiman dan pembinasaan orang yang tidak menghormati Tuhan.”​—2 Petrus 3:5-7.

Perhatikan bahawa “hari penghakiman dan pembinasaan” dibandingkan dengan kemusnahan “dunia” pada zaman Nuh. Jadi apakah dunia yang telah dimusnahkan ketika itu? Ini tidak merujuk kepada bumi kita, tetapi merujuk kepada “orang yang tidak menghormati Tuhan.” Jadi pada masa depan, semasa akhir zaman tiba, orang yang jahat juga akan dimusnahkan. Sebaliknya, seperti Nuh dan keluarganya, orang yang setia kepada Tuhan akan diselamatkan.—Matius 24:37-42.

Betapa bagusnya keadaan di bumi apabila semua hal-hal yang jahat sudah tiada! Jelaslah, akhir zaman bukanlah berita yang buruk, tetapi berita yang membawa harapan. Tapi anda mungkin tertanya-tanya, “Adakah Bible sebut bila akhir akan datang? Adakah hari itu sudah dekat? Dan bagaimanakah saya dapat diselamatkan?”