Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Wahyu 21:1—“Langit Baru dan Bumi Baru”

Wahyu 21:1—“Langit Baru dan Bumi Baru”

 “Kemudian aku melihat langit baharu dan bumi baharu. Langit lama dan bumi lama telah lenyap, dan laut pun tidak ada lagi.”—Wahyu 21:1, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Kemudian aku nampak langit baru dan bumi baru. Langit pertama dan bumi pertama tidak ada lagi, dan laut pun lenyap.”—Wahyu 21:1, Alkitab Berita Baik.

Maksud Wahyu 21:1

 Ayat ini guna bahasa kiasan untuk jelaskan bahawa Kerajaan Tuhan yang di syurga akan ganti semua kerajaan manusia. Kerajaan Tuhan akan lenyapkan orang jahat dan memerintah masyarakat manusia baharu yang sudi tunduk kepada pemerintahan-Nya.

 Buku Wahyu disampaikan dalam bentuk “lambang,” atau simbol. (Wahyu 1:1) Jadi, adalah masuk akal untuk menyimpulkan bahawa langit dan bumi dalam ayat ini melambangkan sesuatu dan bukannya harfiah. Tambahan pula, “langit baru” dan “bumi baru” dalam erti kiasan juga digunakan dalam ayat-ayat Alkitab yang lain. (Yesaya 65:17; 66:22; 2 Petrus 3:13) Dengan mengkaji ayat-ayat ini dan catatan Alkitab yang lain, kita dibantu untuk memahami maksudnya.

 “Langit baharu.” Bible kadang-kadang guna perkataan “langit” untuk merujuk kepada pemerintahan atau kerajaan. (Yesaya 14:12-14; Daniel 4:25, 26) Maka, satu rujukan menyatakan bahawa dalam penglihatan yang diilhami Tuhan, “langit melambangkan kuasa yang memerintah atau kerajaan.” a Dalam Wahyu 21:1, “langit baharu” dengan jelas merujuk kepada Kerajaan Tuhan. Kerajaan ini yang kadangkala juga dikenali sebagai “Kerajaan di syurga” disebut dalam buku Wahyu dan buku-buku lain dalam Alkitab. (Matius 4:17; Kisah 19:8; 2 Timotius 4:18; Wahyu 1:9; 5:10; 11:15; 12:10) Raja Kerajaan Tuhan iaitu Yesus bakal menggantikan “langit lama,” iaitu semua kerajaan manusia yang tidak sempurna.—Daniel 2:44; Lukas 1:31-33; Wahyu 19:11-18.

 “Bumi baharu.” Bible menyatakan bahawa planet bumi tidak akan dimusnahkan atau diganti. (Mazmur 104:5; Pengkhutbah 1:4) Maka, apa yang dilambangkan oleh bumi kiasan? Alkitab sering kali guna istilah “bumi” untuk merujuk kepada umat manusia. (Kejadian 11:1; 1 Tawarikh 16:31; Mazmur 66:4; 96:1) Jadi, “bumi baharu” mesti merujuk kepada masyarakat baharu di bumi yang sudi tunduk kepada Kerajaan Tuhan di syurga. “Bumi lama,” atau masyarakat manusia yang menentang Kerajaan Tuhan akan lenyap.

 “Laut pun tidak ada lagi.” Selaras dengan bahagian lain dalam Wahyu 21:1, “laut” juga melambangkan sesuatu. Laut biasanya bergelora dan tidak tenang. Jadi, memang sesuai laut digunakan untuk melambangkan manusia yang menyebabkan masalah dan kekacauan, kerana mereka tidak mahu mengenali Tuhan dan hidup menurut hukum-Nya. (Yesaya 17:12, 13; 57:20; Wahyu 17:1, 15) Mereka juga akan lenyap. Mazmur 37:10 kata, “Tidak lama lagi, orang jahat akan dibinasakan; kamu akan mencari mereka, tetapi mereka tidak akan dijumpai.”

Konteks Wahyu 21:1

 Buku Wahyu meramalkan apa yang berlaku “pada hari Tuan.” (Wahyu 1:10) Menurut nubuat Bible, hari itu mula pada 1914 semasa Yesus mula memerintah sebagai Raja Kerajaan Tuhan. b Namun, dia tidak segera memerintah bumi dengan sepenuhnya. Tambahan pula, nubuat lain menyatakan keadaan dunia akan menjadi semakin teruk pada bahagian awal “hari Tuan.” Jangka masa ini dipanggil “hari-hari terakhir.” (2 Timotius 3:1-5, 13; Matius 24:3, 7; Wahyu 6:1-8; 12:12) Apabila masa yang susah dan genting ini berakhir, Kerajaan Tuhan akan singkirkan langit dan bumi kiasan. Selepas itu, Kerajaan Tuhan akan menjadikan bumi damai dan harmoni. Rakyat Kerajaan Tuhan, iaitu “bumi baharu” akan menikmati kehidupan dan kesihatan yang sempurna.—Wahyu 21:3, 4.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Wahyu.

a Cyclopedia (1891) oleh McClintock dan Strong, Jilid IV, muka surat 122.