Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KERAJAAN YANG MAMPU MENYELESAIKANNYA

“Membawa Kedamaian yang Tidak Berkesudahan”

“Membawa Kedamaian yang Tidak Berkesudahan”

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang mengesyorkan konsep “warganegara global,” yang bertujuan mengeratkan kerjasama antarabangsa, menghormati hak manusia, dan melindungi bumi. Mengapa? Seperti yang dijelaskan oleh Maher Nasser dalam UN Chronicle, “perubahan iklim, organisasi jenayah, ketidaksamarataan, konflik yang berterusan, jumlah pelarian yang besar, kegiatan pengganas, penyakit berjangkit, dan ancaman lain tidak mengenal . . . sempadan.”

Sesetengah orang bahkan mengesyorkan pembentukan kerajaan sedunia, seperti Dante (1265-1321), seorang ahli falsafah, ahli politik, dan penyair dari Itali, dan Albert Einstein (1879-1955), seorang ahli fizik. Dante percaya bahawa selagi politik dunia berpecah belah, keamanan tidak akan kekal. Dia memetik kata-kata Yesus Kristus bahawa “setiap kerajaan yang berpecah belah dan saling bermusuhan akan musnah.”​—Lukas 11:17.

Tidak lama selepas Perang Dunia Kedua, yang melibatkan penggunaan dua bom atom, Albert Einstein menulis surat terbuka kepada Perhimpunan Agung PBB. Dia berkata, “PBB mesti segera bertindak untuk mewujudkan sebuah kerajaan sedunia, supaya keselamatan antarabangsa dapat dicapai.”

Namun, adakah ahli-ahli politik yang membentuk kerajaan sedunia ini pasti berkhidmat dengan cekap, amanah, dan tidak akan terlibat dalam rasuah? Atau adakah mereka juga mungkin menjadi penguasa yang buruk, seperti yang berlaku kepada orang lain? Soalan-soalan ini mengingatkan kita tentang kata-kata Lord Acton, seorang sejarawan Britain, “Kuasa cenderung disalahgunakan, dan kuasa mutlak pasti disalahgunakan.”

Untuk menikmati kedamaian dan keharmonian, manusia sejagat mesti bersatu. Namun, bagaimanakah hal itu dapat dicapai? Adakah hal itu mustahil? Bible menyatakan bahawa perpaduan pasti akan dicapai. Bagaimana? Bukan melalui kerajaan sedunia yang terdiri daripada ahli politik yang tamak, tetapi melalui sebuah kerajaan yang ditubuhkan oleh Tuhan. Melalui kerajaan itu, hak Tuhan untuk memerintah ciptaan-Nya akan menjadi nyata. Dalam Bible, kerajaan itu dipanggil “Kerajaan Tuhan.”​—Lukas 4:43.

“DATANGLAH KERAJAAN-MU”

Semasa Yesus Kristus mengajar pengikutnya untuk berdoa, “Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi,” dia memaksudkan Kerajaan Tuhan. (Matius 6:9, 10) Kerajaan Tuhan akan melaksanakan kehendak Tuhan di bumi, bukan kehendak manusia yang tamak dan menggilakan kuasa.

Kerajaan Tuhan juga dipanggil “Kerajaan di syurga.” (Matius 5:3) Mengapa? Kerajaan ini akan berkuasa atas bumi, dan memerintah dari syurga. Memandangkan Kerajaan Tuhan tidak terletak di bumi, kerajaan ini tidak memerlukan sumber pendapatan, misalnya daripada cukai. Maksudnya, Kerajaan Tuhan langsung tidak akan membebankan rakyat!

Tuhan telah melantik Yesus Kristus sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Mengenai Yesus, Bible menyatakan:

  • “Dia akan memikul tugas sebagai pemerintah. . . . Kekuasaannya sebagai pemerintah akan terus bertambah; pemerintahannya akan membawa kedamaian yang tidak berkesudahan.”​—Yesaya 9:6, 7.

  • Dia “diberi kuasa pemerintahan, kemuliaan, dan sebuah kerajaan agar orang dari semua bangsa, suku, dan bahasa melayaninya. Pemerintahannya kekal dan tidak akan berakhir.”​—Daniel 7:14.

  • “Kerajaan Tuhan kita dan Kristus-Nya sedang memerintah dunia.”​—Wahyu 11:15.

Seperti yang dimohon dalam doa Yesus, Kerajaan Tuhan akan melaksanakan segala kehendak Tuhan di bumi. Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, semua manusia akan belajar untuk menjaga bumi, supaya bumi kita yang sakit menjadi sihat semula dan dipenuhi hidupan.

Kerajaan Tuhan akan mendidik semua rakyatnya mengikut piawaian yang sama. Manusia sejagat tidak akan berpecah belah atau berkelahi lagi. Yesaya 11:9 menyatakan, “Tiada apa-apa pun yang akan mengakibatkan kecederaan atau kerosakan, kerana pengetahuan tentang Yehuwa akan memenuhi bumi, sebagaimana air memenuhi laut.”

Ketika itu, semua penduduk bumi akan bersatu padu dan hidup damai—matlamat yang menjadi impian PBB. Mazmur 37:11 menyatakan, “Mereka akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.” Tidak lama lagi, istilah seperti “jenayah,” “pencemaran,” “kemiskinan,” dan “peperangan” tidak akan dipakai lagi. Bilakah hal ini akan terjadi? Bilakah Kerajaan Tuhan akan mula memerintah bumi? Bagaimanakah Kerajaan Tuhan akan bertindak? Bagaimanakah anda dapat menikmati berkat yang dijanjikan? Mari kita lihat.