Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 32

Teguhkan Iman Anda terhadap Pencipta

Teguhkan Iman Anda terhadap Pencipta

“Iman ialah bukti yang kukuh bahawa apa yang dipercayai adalah nyata meskipun hal-hal itu tidak dapat dilihat.”​—IBR. 11:1.

LAGU 11 Ciptaan Memuji Tuhan

PENGENALAN *

1. Apakah yang telah anda belajar tentang Pencipta kita?

JIKA anda dibesarkan dalam kebenaran, kemungkinan besar anda telah diajar tentang Yehuwa sejak kecil lagi. Anda belajar bahawa Dialah Pencipta, Dia memiliki sifat-sifat yang menakjubkan, dan Dia ingin menjadikan bumi sebuah firdaus.​—Kej. 1:1; Kis. 17:24-27.

2. Apakah pandangan sesetengah individu terhadap orang yang mempercayai kewujudan Pencipta?

2 Namun, ramai orang tidak percaya bahawa Tuhan wujud, apatah lagi mengakui-Nya sebagai Pencipta. Sebaliknya, mereka percaya bahawa kehidupan bermula secara kebetulan dan berubah secara beransur-ansur daripada hidupan yang ringkas kepada hidupan yang lebih kompleks. Sesetengah orang yang mempercayai hal ini merupakan individu yang berpendidikan tinggi. Mereka mungkin berkata bahawa sains telah membuktikan bahawa ajaran Bible adalah salah dan bahawa hanya orang yang kurang berpendidikan, lemah, atau naif, akan percaya bahawa Pencipta wujud.

3. Mengapakah kita perlu terus membina iman kita?

3 Adakah pandangan sesetengah orang yang terpelajar akan membuat kita ragu-ragu bahawa Yehuwa ialah Pencipta kita yang pengasih? Jawapannya bergantung pada sebabnya kita percaya bahawa Yehuwa ialah Pencipta. Adakah kita percaya Yehuwa ialah Pencipta hanya kerana orang lain memberitahu kita, atau kerana kita sendiri sudah meluangkan masa untuk menyelidiki buktinya? (1 Kor. 3:12-15) Tidak kira berapa lama kita sudah menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, kita perlu terus membina iman kita. Dengan itu, kita tidak akan disesatkan oleh “falsafah dan tipu daya kosong” yang bercanggahan dengan Firman Tuhan. (Kol. 2:8; Ibr. 11:6) Rencana ini akan membantu kita dengan membincangkan (1) mengapa ramai orang tidak percaya bahawa Pencipta wujud, (2) bagaimana anda dapat membina iman anda terhadap Yehuwa, Pencipta anda, dan (3) bagaimana anda dapat memastikan agar iman anda tetap kuat.

MENGAPA RAMAI ORANG TIDAK MEMPERCAYAI KEWUJUDAN PENCIPTA

4. Apakah yang dinyatakan di Ibrani 11:1 tentang iman yang sejati?

4 Sesetengah orang berfikir bahawa beriman bermaksud mempercayai sesuatu secara membabi buta. Namun, menurut Bible, itu bukanlah iman yang sejati. Sebaliknya, iman harus berdasarkan bukti yang kukuh. (Baca Ibrani 11:1.) Jadi, walaupun kita tidak dapat melihat Yehuwa, Yesus, dan Kerajaan Tuhan, kita mempunyai bukti yang kukuh bahawa semua itu wujud. (Ibr. 11:3) Seorang ahli biokimia yang merupakan Saksi mengatakan, “Iman kami disokong oleh bukti dan kami juga tidak mengetepikan fakta sains.”

5. Mengapakah ramai orang tidak percaya bahawa Tuhan menciptakan segala sesuatu?

5 Memandangkan terdapat bukti yang kukuh bahawa Pencipta wujud, mengapakah ramai orang masih tidak percaya bahawa Tuhan menciptakan segala sesuatu? Sesetengah orang tidak pernah mengkaji bukti bahawa Pencipta wujud. Robert, seorang Saksi, berkata, “Topik penciptaan tidak pernah disebut di sekolah. Jadi saya anggap hal itu tidak benar. Semasa saya berumur 22 tahun, barulah saya berpeluang untuk bercakap dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mendengar penjelasan yang logik dan meyakinkan daripada Bible bahawa Tuhan menciptakan segala-galanya.” *—Lihat kotak “ Pesanan kepada Ibu Bapa.”

6. Mengapakah sesetengah orang tidak percaya bahawa Pencipta wujud?

6 Sesetengah orang tidak percaya bahawa Pencipta wujud kerana mereka berkata bahawa mereka hanya mempercayai apa yang dapat dilihat. Namun, mereka juga mempercayai kewujudan sesetengah hal yang tidak dapat dilihat. Contohnya, mereka percaya angin wujud kerana terdapat bukti yang kukuh. Sebenarnya dalam Bible, beriman bermaksud percaya bahawa sesuatu yang tidak dapat dilihat memang wujud kerana mempunyai bukti yang kukuh. (Ibr. 11:1) Namun, untuk membina iman, kita perlu mencurahkan masa dan usaha untuk mengkaji bukti-buktinya. Sedihnya, ramai orang tidak ingin berbuat demikian. Oleh itu, mereka menyimpulkan bahawa Pencipta tidak wujud.

7. Adakah semua orang yang berpendidikan tinggi tidak percaya bahawa Tuhan menciptakan alam semesta? Jelaskan.

7 Setelah mengkaji buktinya, sesetengah ahli sains percaya bahawa Tuhan menciptakan alam semesta. * Seperti Robert yang disebut tadi, ada antara mereka yang berfikir bahawa Pencipta tidak wujud kerana mereka tidak pernah diajar tentang-Nya di universiti. Namun, ramai ahli sains telah mengenali dan mengasihi Yehuwa. Seperti mereka, kita semua perlu membina iman kita kepada Tuhan, tidak kira tahap pendidikan kita. Tiada orang yang dapat melakukannya bagi pihak kita.

CARA MEMBINA IMAN ANDA TERHADAP PENCIPTA

8-9. (a) Apakah soalan yang akan kita bincangkan sekarang? (b) Apakah manfaatnya jika anda mengkaji ciptaan Tuhan?

8 Bagaimanakah anda dapat membina iman anda terhadap Pencipta? Perhatikan empat cara.

9 Mengkaji ciptaan Tuhan. Anda dapat membina iman anda terhadap Pencipta dengan memerhatikan haiwan, tumbuhan, dan bintang. (Mzm. 19:1; Yes. 40:26) Semakin banyak anda mengkaji benda-benda sebegini, semakin dalam keyakinan anda bahawa Yehuwa ialah Pencipta. Bahan bacaan kita sering mengandungi rencana yang menjelaskan ciptaan Yehuwa secara terperinci. Jika anda mendapati bahawa maklumatnya susah difahami, teruslah membacanya dan cubalah belajar sebanyak yang anda mampu. Lihatlah juga maklumat di jw.org dan video-video tentang penciptaan yang ditayangkan semasa konvensyen serantau baru-baru ini.

10. Bagaimanakah ciptaan membuktikan bahawa Pencipta memang wujud? Berikan contoh. (Roma 1:20)

10 Semasa mengkaji ciptaan, perhatikan apa yang dapat anda pelajari tentang Pencipta kita. (Baca Roma 1:20.) Sebagai contoh, anda mungkin tahu bahawa matahari bukan sahaja memancarkan haba yang dapat menampung kehidupan, tetapi juga memancarkan sinaran ultraungu (UV) yang berbahaya. Bagaimanakah manusia dapat dilindungi daripada sinaran itu? Bumi kita mempunyai perisai, iaitu lapisan gas ozon dalam atmosfera, yang dapat menapis sinaran UV. Apabila sinaran UV daripada matahari menjadi semakin kuat, kandungan gas ozon dalam atmosfera juga akan semakin bertambah. Tidakkah anda setuju bahawa sistem perlindungan ini membuktikan bahawa Pencipta memang wujud, dan bahawa Dia memang bijak dan pengasih?

11. Dari manakah anda dapat mencari fakta tentang ciptaan yang dapat menguatkan iman anda? (Lihat kotak “ Maklumat untuk Membina Iman.”)

11 Anda dapat mencari banyak fakta tentang ciptaan yang dapat menguatkan iman anda dengan menggunakan Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa dan laman web jw.org. Sebagai contoh, anda boleh mencari siri rencana “Siapakah Perekanya?” dan siri video “Evolusi atau Diciptakan?” Rencana dan video ini tidak panjang dan mengandungi fakta yang menarik tentang binatang dan ciptaan lain. Selain itu, anda dapat melihat bagaimana ahli sains cuba meniru rekaan daripada alam semula jadi.

12. Semasa mengkaji Bible, apakah yang patut kita perhatikan?

12 Mengkaji Bible. Pada mulanya, ahli biokimia yang disebut di perenggan 4 enggan percaya bahawa Pencipta wujud. Namun dia beransur-ansur membina imannya terhadap Pencipta. Dia berkata, “Saya dapat membina iman saya bukan hanya melalui apa yang saya pelajari dalam sains, tetapi juga kerana saya mengkaji Bible dengan teliti.” Biarpun anda sudah mengenali Bible dengan baik, anda perlu terus mengkaji Firman Tuhan supaya dapat membina iman anda terhadap Pencipta. (Yos. 1:8; Mzm. 119:97) Semasa mengkaji Bible, perhatikan bagaimana Bible mencatatkan peristiwa bersejarah dengan terperinci, bagaimana nubuat Bible sentiasa menjadi kenyataan, dan bagaimana kandungan dalam seluruh Bible tidak bercanggah meskipun ditulis oleh orang yang berbeza. Dengan itu, anda akan lebih yakin bahawa kita mempunyai Pencipta yang bijak dan pengasih, dan bahawa mesej dalam Bible benar-benar berasal daripada-Nya. *​—2 Tim. 3:14; 2 Ptr. 1:21.

13. Berikan satu contoh yang menunjukkan bagaimana nasihat Bible memang bijak.

13 Semasa mengkaji Firman Tuhan, perhatikan juga bagaimana Bible mengandungi banyak nasihat yang berguna. Misalnya, sejak dahulu lagi, Bible sudah memberi kita amaran bahawa sikap cinta akan wang amat memudaratkan dan akan membawa “banyak kesakitan.” (1 Tim. 6:9, 10; Ams. 28:20; Mat. 6:24) Adakah nasihat itu masih sesuai dengan zaman kita? Sebuah buku tentang sikap orang pada zaman moden menyatakan, “Secara amnya, orang yang materialistik kurang bahagia dan lebih murung. Sebenarnya, sekadar ingin memiliki lebih banyak wang pun membuat orang berasa tidak bahagia dan mengalami lebih banyak masalah kesihatan.” Tidakkah anda setuju bahawa amaran Bible untuk tidak mencintai wang amat bermanfaat? Pernahkah anda meraih manfaat daripada prinsip-prinsip Bible yang lain? Apabila kita sedar bahawa Bible mengandungi begitu banyak nasihat yang berguna, kita akan sentiasa bergantung pada kebijaksanaan Pencipta kita yang pengasih. (Yak. 1:5) Hasilnya, kehidupan kita akan lebih bahagia.​—Yes. 48:17, 18.

14. Semasa mengkaji Bible, apakah yang dapat anda pelajari tentang Yehuwa?

14 Kajilah Bible dengan matlamat yang betul, iaitu untuk mengenali Yehuwa. (Yoh. 17:3) Semasa anda mengkaji Bible, anda akan dapat melihat sifat-sifat dan keperibadian Yehuwa yang juga dapat dilihat semasa anda mengkaji ciptaan. Semasa melihat persamaan ini, anda dapat menyimpulkan bahawa Yehuwa ialah Individu yang nyata dan bukannya watak yang direka oleh manusia. (Kel. 34:6, 7; Mzm. 145:8, 9) Apabila anda semakin mengenali Yehuwa, iman anda terhadap-Nya akan semakin bertambah. Selain itu, kasih anda terhadap-Nya akan menjadi semakin dalam, dan persahabatan anda dengan-Nya juga akan menjadi semakin kukuh.  

15. Apakah manfaatnya jika anda memberitahu orang lain tentang kepercayaan anda?

15 Beritahulah orang lain tentang kepercayaan anda kepada Tuhan. Dengan itu iman anda akan dikuatkan. Namun, katakan anda memberikan kesaksian kepada seseorang yang mempersoalkan kewujudan Tuhan, dan anda tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya. Apakah yang dapat anda lakukan? Kajilah bahan bacaan kita untuk mencari jawapan yang berdasarkan Bible, dan kongsilah jawapan itu dengan orang tersebut. (1 Ptr. 3:15) Anda juga boleh meminta bantuan daripada seorang Saksi yang berpengalaman. Tidak kira orang itu sudi menerima jawapan daripada Bible atau tidak, anda sudah meraih manfaat daripada penyelidikan anda. Iman anda akan menjadi lebih kukuh, dan anda tidak akan terpedaya oleh orang yang kononnya bijak pandai, yang mendakwa bahawa Pencipta tidak wujud.

JAGALAH IMAN ANDA!

16. Apakah yang mungkin berlaku jika kita tidak terus membina dan menjaga iman kita?

16 Tidak kira berapa lama kita sudah menyembah Yehuwa, kita mesti terus membina dan menjaga iman kita terhadap-Nya. Mengapa? Jika kita tidak berhati-hati, iman kita mungkin menjadi lemah. Ingatlah bahawa iman kita dibina berdasarkan bukti bahawa hal-hal yang tidak kelihatan memang wujud. Namun, apabila kita tidak dapat melihat sesuatu, kita akan cepat melupakannya. Itulah sebabnya Paulus berkata bahawa kekurangan iman ialah “dosa yang dapat menjerat kita dengan senang.” (Ibr. 12:1) Bagaimanakah kita dapat mengelakkan jerat itu?​—2 Tes. 1:3.

17. Apakah yang dapat membantu kita untuk menjaga iman kita?

17 Pertama, sentiasa merayu agar Yehuwa memberi kita kuasa suci-Nya. Mengapa? Iman merupakan salah satu aspek buah kuasa suci Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Maka, tanpa bantuan kuasa suci Tuhan, kita tidak dapat membina dan menjaga iman kita terhadap Pencipta. Jika kita terus meminta kuasa suci daripada Yehuwa, Dia akan memberikannya kepada kita. (Luk. 11:13) Kita bahkan boleh berdoa, “Berilah kami lebih banyak iman.”​—Luk. 17:5.

18. Menurut Mazmur 1:2, 3, apakah kurniaan yang kita miliki?

18 Selain itu, pupuklah tabiat mengkaji Firman Tuhan. (Baca Mazmur 1:2, 3.) Semasa mazmur itu ditulis, salinan Hukum Tuhan yang lengkap hanya dimiliki oleh segelintir orang Israel, termasuk raja dan para imam. Setiap tujuh tahun, “lelaki, perempuan, kanak-kanak,” dan orang asing di Israel, dikumpulkan untuk mendengar Hukum Tuhan dibacakan. (Ulangan 31:10-12) Pada zaman Yesus pula, hanya sedikit orang yang memiliki salinan Ayat-Ayat Suci, dan kebanyakan gulungan disimpan di rumah ibadat. Namun pada zaman ini, hampir semua orang dapat membaca sebahagian atau seluruh Bible. Tidakkah kita bersyukur kerana dapat memiliki kurniaan ini? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargainya?

19. Apakah yang perlu kita lakukan supaya iman kita tetap kuat?

19 Kita menunjukkan bahawa kita menghargai Firman Tuhan dengan membacanya secara tetap. Kita harus menjadualkan masa untuk membaca dan mengkaji Bible, dan bukannya berbuat demikian semasa kita berasa senang sahaja. Jika kita mempunyai rutin pembelajaran yang baik, iman kita akan tetap kuat.

20. Apakah seharusnya tekad kita?

20 Tidak seperti “orang yang bijak pandai” di dunia ini, kita memiliki iman yang berdasarkan sepenuhnya pada Firman Tuhan. (Mat. 11:25, 26) Setelah mengkaji Bible, kita mengetahui mengapa keadaan di dunia semakin buruk, dan apa yang akan dilakukan oleh Yehuwa tidak lama lagi. Maka, marilah kita bertekad untuk menguatkan iman kita dan membantu sebanyak orang yang mungkin untuk beriman terhadap Pencipta kita. (1 Tim. 2:3, 4) Dengan itu, kita dapat menantikan saatnya apabila semua orang di bumi akan melaungkan kata-kata di Wahyu 4:11, “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan . . . kerana Engkau menciptakan segala sesuatu.”

LAGU 2 Yehuwalah Nama-Mu

^ per. 5 Bible dengan jelas mengajar kita bahawa Yehuwa ialah Pencipta. Namun, ramai orang tidak mempercayai hal ini. Mereka percaya bahawa kehidupan muncul secara kebetulan. Namun, kata-kata mereka tidak akan menggoyahkan keyakinan kita jika kita berusaha menguatkan iman kita kepada Yehuwa dan Bible. Rencana ini akan menjelaskan cara kita dapat berbuat demikian.

^ per. 5 Banyak sekolah di serata dunia tidak mengajar murid-murid bahawa manusia mungkin telah diciptakan oleh Tuhan. Sesetengah guru mengatakan bahawa jika mereka mengajar tentang penciptaan, mereka sedang memaksa murid-murid untuk percaya bahawa Tuhan wujud.

^ per. 7 Komen daripada sekitar 60 orang pakar yang percaya akan penciptaan, termasuk ahli sains, terdapat dalam buku “Indeks” bahasa Indonesia. Lihat subjek Sains> “ilmuwan yang percaya akan penciptaan.” Anda juga dapat mendengar komen mereka di jw.org. Lihat Perpustakaan > Video > Temu Ramah dan Pengalaman > Pandangan tentang Asal Usul Kehidupan.

^ per. 12 Sebagai contoh, lihat rencana “Adakah Ajaran Bible Selaras dengan Sains?” di jw.org/ms. (Lihat AJARAN BIBLE > JAWAPAN KEPADA SOALAN BIBLE > BIBLE.) Lihat juga rencana “Apa yang Yehuwa Nubuatkan Menjadi Kenyataandalam Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 1 Januari 2008.