Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 11

Sudahkah Anda Bersedia untuk Dibaptis?

Sudahkah Anda Bersedia untuk Dibaptis?

“Pembaptisan . . . menyelamatkan kamu.”​—1 PTR. 3:21.

LAGU 28 Menjadi Sahabat Yehuwa

PENGENALAN *

1. Apakah yang harus dilakukan sebelum seseorang mula membina rumahnya?

BAYANGKAN seseorang yang ingin membina sebuah rumah. Dia tahu jenis rumah yang ingin dibinanya, tetapi haruskah dia segera membeli bahan dan mula membina? Tidak. Terdapat satu hal penting yang perlu dilakukannya terlebih dahulu: Mengira perbelanjaan projek itu. Mengapa? Kerana dia perlu tahu sama ada wangnya cukup atau tidak. Jika dia mengira perbelanjaannya terlebih dahulu, kemungkinan besar dia dapat menyiapkan projeknya.

2. Menurut Lukas 14:27-30, apakah yang perlu anda fikirkan sebelum dibaptis?

2 Adakah kasih dan penghargaan anda kepada Yehuwa membuat anda ingin dibaptis? Jika ya, anda seperti orang yang ingin membina rumah itu. Mengapa? Perhatikan kata-kata Yesus di Lukas 14:27-30. (Baca.) Dalam ayat-ayat itu, Yesus berkata bahawa orang yang ingin menjadi muridnya mesti rela menanggung “perbelanjaannya,” iaitu cabaran dan pengorbanan yang terlibat. (Luk. 9:23-26; 12:51-53) Jadi, sebelum anda dibaptis, anda perlu memikirkan hal-hal itu dengan teliti. Dengan itu, anda dapat terus menyembah Tuhan dengan setia selepas dibaptis.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Untuk dibaptis, seseorang perlu membuat pengorbanan dan menghadapi cabaran. Tetapi adakah semua itu berbaloi? Sudah pasti! Pembaptisan merupakan pintu kepada berkat yang tidak terhingga, baik sekarang mahupun pada masa depan. Sekarang, mari kita bincangkan beberapa soalan penting tentang pembaptisan. Dengan itu, anda akan dapat menjawab soalan berikut: “Sudahkah saya bersedia untuk dibaptis?”

APA YANG PERLU ANDA TAHU TENTANG PEMBAKTIAN DAN PEMBAPTISAN

4. (a) Apakah itu pembaktian? (b) Apakah maksud “menolak kepentingan sendiri” yang disebut di Matius 16:24?

4 Apakah itu pembaktian? Sebelum anda dibaptis, anda mesti membaktikan diri kepada Tuhan. Maksudnya, anda mesti berdoa dengan ikhlas kepada Yehuwa dan memberitahu-Nya bahawa anda akan menggunakan kehidupan anda untuk menyembah-Nya selama-lamanya. Semasa anda membaktikan diri, anda “menolak kepentingan sendiri” dan menerima penghormatan besar untuk menjadi milik Yehuwa. (Baca Matius 16:24; Rm. 14:8) Dalam kata lain, anda memberitahu Yehuwa bahawa mulai sekarang, tumpuan anda adalah untuk menyembah-Nya dan bukan mencari kesenangan diri. Ya, pembaktian merupakan ikrar atau janji kepada Tuhan. Yehuwa tidak memaksa kita untuk membuat ikrar ini, tetapi jika kita sudah membaktikan diri kepada-Nya, Dia ingin kita menunaikan ikrar kita.​—Mzm. 116:12, 14.

5. Apakah kaitan antara pembaktian dengan pembaptisan?

5 Apakah kaitan antara pembaktian dengan pembaptisan? Pembaktian melibatkan anda dan Yehuwa sahaja; tiada orang lain yang mengetahuinya. Pembaptisan pula berlaku di khalayak ramai, biasanya semasa perhimpunan atau konvensyen. Semasa dibaptis, anda menyatakan kepada orang lain bahawa anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. * Melalui pembaptisan, anda menyatakan bahawa anda mengasihi Yehuwa, Tuhan anda, dengan sepenuh hati, jiwa, minda, dan kekuatan, dan bahawa anda bertekad untuk menyembah-Nya selama-lamanya.​—Mrk. 12:30.

6-7. Menurut 1 Petrus 3:18-22, apakah dua sebab pembaptisan begitu penting?

6 Mestikah seseorang dibaptis? Fikirkan kata-kata di 1 Petrus 3:18-22. (Baca.) Bahtera merupakan bukti yang dapat dilihat bahawa Nuh beriman. Begitu juga, pembaptisan merupakan bukti yang dapat dilihat bahawa anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa. Namun, mestikah seseorang dibaptis? Ya. Petrus telah menjelaskan sebabnya. Pertama, pembaptisan dapat ‘menyelamatkan kita.’ Pembaptisan dapat menyelamatkan kita jika kita menunjukkan melalui tindakan kita bahawa kita beriman kepada Yesus dan percaya bahawa dia telah mati demi kita, dibangkitkan ke syurga, dan kini “berada di sebelah kanan Tuhan.”

7 Kedua, pembaptisan memberi kita “hati nurani yang bersih.” Semasa kita membaktikan diri dan dibaptis, kita menjalin hubungan yang istimewa dengan Tuhan. Oleh sebab kita benar-benar bertaubat dan beriman kepada tebusan, Tuhan rela mengampunkan dosa kita. Hasilnya, kita menikmati hati nurani yang bersih di hadapan-Nya.

8. Apakah sepatutnya sebab utama anda ingin dibaptis?

8 Apakah sepatutnya sebab anda ingin dibaptis? Setelah mengkaji Bible dengan teliti, anda telah belajar tentang banyak sifat Yehuwa dan cara Dia bertindak. Hal-hal yang anda pelajari telah menyentuh hati anda dan membuat anda sangat mengasihi Yehuwa. Kasih anda terhadap Yehuwa haruslah menjadi sebab terpenting anda ingin dibaptis.

9. Apakah maksud dibaptis atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan, seperti yang disebutkan di Matius 28:19, 20?

9 Satu lagi sebab anda ingin dibaptis adalah kerana kebenaran Bible yang anda percayai. Semasa Yesus memberikan arahan untuk menjadikan orang pengikutnya, dia berkata bahawa orang yang dibaptis haruslah dibaptis “atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan.” (Baca Matius 28:19, 20.) Apakah maksud kata-kata Yesus? Maksudnya, anda mesti percaya dengan sepenuh hati kebenaran Bible tentang Yehuwa, Anak-Nya Yesus, dan kuasa suci Tuhan. Kebenaran-kebenaran itu sangat penting dan dapat menyentuh hati anda. (Ibr. 4:12) Mari kita ulang kaji beberapa kebenaran itu.

10-11. Apakah kebenaran tentang Bapa yang sudah anda pelajari dan percayai?

10 Fikirkan kembali masanya anda mempelajari kebenaran-kebenaran berikut tentang Bapa: Nama-Nya ialah Yehuwa, Dialah “Tuhan Yang Maha Tinggi di seluruh bumi,” dan satu-satunya “Tuhan yang benar.” (Mzm. 83:18; Yes. 37:16) Dialah Pencipta dan Penyelamat kita. (Mzm. 3:8; 36:9) Dia telah mengaturkan supaya kita diselamatkan daripada dosa dan kematian, dan memberi kita peluang untuk hidup kekal. (Yoh. 17:3) Dengan membaktikan diri dan dibaptis, anda menunjukkan bahawa anda seorang Saksi-Saksi Yehuwa. (Yes. 43:10-12) Anda akan menyertai keluarga rohani antarabangsa yang berbangga untuk menyandang dan mengumumkan nama Tuhan.​—Mzm. 86:12.

11 Alangkah besarnya penghormatan kita kerana dapat memahami ajaran Bible tentang Bapa! Apabila anda mempercayai kebenaran-kebenaran ini, anda akan terdorong untuk membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis.

12-13. Apakah kebenaran tentang Anak yang sudah anda pelajari dan percayai?

12 Apakah perasaan anda semasa anda mempelajari kebenaran-kebenaran berikut tentang Anak? Yesus ialah individu yang kedua terpenting di alam semesta. Dialah Penebus kita, yang rela mengorbankan nyawanya demi kita. Apabila kita menunjukkan melalui tindakan kita bahawa kita beriman kepada tebusan, dosa kita dapat diampunkan, kita dapat menjadi sahabat Tuhan, dan kita dapat hidup selama-lamanya. (Yoh. 3:16) Yesus ialah Imam Agung kita. Dia ingin membantu kita meraih manfaat daripada tebusan dan menikmati hubungan akrab dengan Tuhan. (Ibr. 4:15; 7:24, 25) Selaku Raja Kerajaan Tuhan, Yesuslah yang akan digunakan oleh Yehuwa untuk menyucikan nama-Nya, mengakhiri kejahatan, dan membawa berkat yang berkekalan di bumi firdaus. (Mat. 6:9, 10; Why. 11:15) Yesus juga teladan terbaik untuk kita, kerana dia menggunakan kehidupannya untuk melakukan kehendak Tuhan.​—Yoh. 4:34; 1 Ptr. 2:21.

13 Apabila anda mempercayai ajaran Bible tentang Anak kesayangan Tuhan, anda akan mengasihinya. Kasih itu akan menggerakkan anda untuk meniru Yesus dan menggunakan kehidupan anda untuk melakukan kehendak Tuhan. Hasilnya, anda akan terdorong untuk membaktikan diri dan dibaptis.

14-15. Apakah kebenaran tentang kuasa suci Tuhan yang sudah anda pelajari dan percayai?

14 Apakah reaksi anda semasa mempelajari kebenaran-kebenaran berikut tentang kuasa suci Tuhan? Kuasa suci Tuhan bukanlah makhluk roh, tetapi merupakan tenaga atau daya aktif yang digunakan oleh Tuhan untuk melakukan kehendak-Nya. Melalui kuasa suci-Nya, Yehuwa membimbing orang untuk menulis Bible, dan membantu kita memahami dan menerapkan ajaran Bible. (Yoh. 14:26; 2 Ptr. 1:21) Kuasa suci Yehuwa juga memberi kita “kuasa luar biasa.” (2 Kor. 4:7) Dengan kuasa itu, kita dapat menginjil, melawan godaan, mengatasi rasa tawar hati, dan menghadapi cubaan dengan tabah. Kuasa suci Tuhan juga membantu kita memupuk pelbagai aspek “buah kuasa suci Tuhan.” (Gal. 5:22) Tuhan akan memberikan kuasa suci-Nya dengan murah hati kepada orang yang percaya kepada-Nya dan yang meminta daripada-Nya.​—Luk. 11:13.

15 Ya, kuasa suci Tuhan akan membantu umat Yehuwa untuk menyembah-Nya dengan setia. Tidakkah hal ini melegakan kita? Apabila anda mempercayai kebenaran tentang kuasa suci Tuhan, anda akan terdorong untuk membaktikan diri dan dibaptis.

16. Apakah yang telah kita pelajari setakat ini?

16 Keputusan untuk membaktikan diri dan dibaptis merupakan keputusan yang penting. Setakat ini, anda sudah belajar bahawa anda mesti sudi menanggung “perbelanjaannya,” iaitu cabaran dan pengorbanan yang terlibat. Namun, apa sahaja pengorbanan anda akan mendatangkan berkat yang jauh lebih besar. Pembaptisan dapat menyelamatkan anda dan memberi anda hati nurani yang murni di depan Tuhan. Anda juga belajar bahawa kasih untuk Tuhan Yehuwa haruslah menjadi sebab terpenting untuk dibaptis. Selain itu, anda mesti percaya dengan sepenuh hati kebenaran tentang Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Setelah mempelajari semua itu, apakah jawapan anda kepada soalan ini: “Sudahkah saya bersedia untuk dibaptis?”

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN SEBELUM DIBAPTIS

17. Apakah sesetengah langkah yang diperlukan sebelum seseorang dibaptis?

17 Jika anda berasa bahawa anda bersedia untuk dibaptis, sudah tentu anda telah berusaha untuk menjalin hubungan yang baik dengan Yehuwa. * Contohnya, anda telah mengkaji Bible secara tetap dan mengenali Yehuwa dan Yesus. Anda juga telah membina iman. (Ibr. 11:6) Anda yakin sepenuhnya bahawa janji Yehuwa dalam Bible akan ditunaikan, dan anda percaya bahawa iman anda kepada korban Yesus dapat menyelamatkan anda daripada dosa dan kematian. Selain itu, anda telah bertaubat. Anda menyesali dosa anda dan meminta pengampunan Yehuwa. Kemudian, anda berpaling daripada haluan yang salah dan hidup menurut cara yang diperkenankan Tuhan. (Kis. 3:19) Anda ingin memberitahu orang lain tentang kepercayaan anda, jadi anda telah memenuhi syarat untuk menjadi penyiar yang belum dibaptis dan mula menginjil bersama sidang. (Mat. 24:14) Yehuwa sangat gembira dan bangga dengan anda kerana mengambil semua langkah itu.​—Ams. 27:11.

18. Apa lagi yang perlu dilakukan sebelum anda boleh dibaptis?

18 Sebelum anda boleh dibaptis, terdapat beberapa hal lagi yang perlu dilakukan. Seperti yang dinyatakan tadi, anda mesti membaktikan diri kepada Tuhan. Maka, semasa anda bersendirian, berdoalah dengan ikhlas dan berjanjilah kepada Tuhan bahawa anda akan menggunakan kehidupan anda untuk melakukan kehendak-Nya. (1 Ptr. 4:2) Kemudian, beritahulah koordinator badan penatua bahawa anda ingin dibaptis. Dia akan mengaturkan beberapa orang penatua untuk berjumpa dengan anda. Saudara-saudara itu memang mengenali anda dan mengasihi anda, jadi janganlah takut. Mereka akan mengulang kaji ajaran Bible yang asas bersama anda untuk memastikan bahawa anda memahami ajaran itu dan menyedari pentingnya pembaktian dan pembaptisan. Jika mereka mendapati bahawa anda sudah bersedia, mereka akan memberitahu anda bahawa anda boleh dibaptis semasa perhimpunan atau konvensyen yang akan datang.

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN SETELAH DIBAPTIS

19-20. Apakah yang perlu anda lakukan selepas dibaptis? Bagaimanakah anda dapat melakukannya?

19 Apakah yang perlu anda lakukan setelah dibaptis? * Ingatlah bahawa pembaktian merupakan ikrar anda kepada Yehuwa. Maka, selepas dibaptis, anda perlu menunaikan ikrar anda. Bagaimana?

20 Teruslah bergaul rapat dengan sidang anda. Selepas dibaptis, anda kini menyertai keluarga rohani yang terdiri daripada “saudara seiman” anda. (1 Ptr. 2:17) Dengan menghadiri perjumpaan secara tetap, anda akan semakin akrab dengan mereka. Selain itu, bacalah Bible setiap hari, dan luangkanlah masa untuk merenungkan apa yang anda baca. (Mzm. 1:1, 2) Dengan itu, Firman Tuhan dapat mencapai hati anda. ‘Teruslah berdoa,’ kerana doa yang ikhlas akan membantu anda menghampiri Yehuwa. (Mat. 26:41) Berusahalah untuk “sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan,” iaitu dengan mengutamakan kerja penyebaran. (Mat. 6:33) Jika anda menginjil secara tetap, iman anda akan tetap kuat, dan anda mungkin berpeluang membantu orang lain menempuh jalan yang menuju kehidupan.​—1 Tim. 4:16.

21. Apakah berkat yang menantikan orang yang dibaptis?

21 Keputusan untuk membaktikan diri dan dibaptis merupakan keputusan yang terpenting dalam hidup anda. Memang benar, anda perlu menanggung “perbelanjaannya,” tetapi semua pengorbanan anda amat berbaloi. Apa sahaja kesusahan yang anda hadapi dalam dunia lama ini “hanyalah sementara dan tidak seberapa berat.” (2 Kor. 4:17) Tetapi pembaptisan akan membuat hidup anda lebih bahagia sekarang dan membawa “kehidupan yang sejati” pada masa depan. (1 Tim. 6:19) Maka, berdoalah dan fikirkanlah jawapan anda kepada soalan ini: “Sudahkah saya bersedia untuk dibaptis?”

LAGU 50 Doa Pembaktian Aku

^ per. 5 Adakah anda berhasrat untuk dibaptis? Jika ya, rencana ini disediakan khas untuk anda. Kita akan membincangkan beberapa soalan penting tentang pembaptisan. Jawapan anda akan membantu anda tahu sama ada anda sudah bersedia untuk dibaptis atau tidak.

^ per. 19 Jika anda belum selesai mempelajari buku Apakah yang Diajarkan Bible? dan Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan, anda perlu meneruskan pembelajaran anda dengan bantuan seorang guru Bible.