Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA

Lindungi Diri daripada Jenayah!

Lindungi Diri daripada Jenayah!

“Bila hari sudah gelap, biasanya kawan-kawan saya akan teman saya balik. Tapi ada satu malam, saya sangat penat. Jadi saya pun naik teksi.

“Tiba-tiba saya sedar pemandu teksi itu bukannya bawa saya balik ke rumah. Dia bawa saya ke kawasan yang terbiar dan cuba merogol saya. Saya teriak sekuat hati dan dia cepat-cepat undur. Tapi dia mula mendekati saya lagi dan kali ini, saya teriak dan melarikan diri.

“Dulu saya fikir, ‘Apa gunanya menjerit jika saya dalam keadaan yang bahaya?’ Tapi sekarang saya tahu itu memang berkesan!”—KARIN. *

DI BANYAK negara, kadar jenayah sangat tinggi. Di salah sebuah negara itu, seorang hakim kata, “Sedihnya, persoalannya bukanlah sama ada anda akan jadi mangsa jenayah atau tidak, tapi bila hal itu akan berlaku.” Di negara lain pula, kadar jenayah mungkin lebih rendah. Biarpun begitu, kita tidak patut leka kerana ini mungkin menyebabkan kita senang menjadi sasaran penjenayah.

Tidak kira anda tinggal di kawasan yang selamat atau bahaya, bagaimanakah anda dapat melindungi diri dan orang yang tersayang? Satu cara adalah dengan menerapkan nasihat Bible ini: “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.” (Amsal 22:3, Alkitab Berita Baik) Pihak berkuasa pun menggalakkan kita untuk mengambil langkah pencegahan agar tidak menjadi mangsa jenayah.

Hal ini amat penting kerana mangsa jenayah bukan hanya mengalami kecederaan fizikal atau kerugian harta benda. Banyak mangsa juga mengalami trauma mental dan emosi yang berpanjangan. Jadi mari kita belajar langkah-langkah untuk melindungi diri daripada empat jenis jenayah, iaitu rompakan, serangan seksual, jenayah siber, dan pencurian identiti.

ROMPAKAN

Merangkumi apa? Menggunakan kekerasan atau ugutan untuk mencuri.

Apakah kesannya? Selepas beberapa rompakan bersenjata di Britain, seorang peguam menyatakan bahawa semua mangsa kejadian itu mengalami trauma walaupun mereka tidak cedera. “Beberapa antara mereka susah tidur dan sering cemas,” katanya, “dan hampir semua mengatakan bahawa kehidupan seharian mereka terjejas.”

Apa yang dapat anda lakukan?

  • Pencuri suka ambil kesempatan; perhatikanlah persekitaran anda

    Sentiasa peka. Pencuri suka ambil kesempatan atas orang yang tidak berhati-hati. Jadi, perhatikanlah persekitaran anda untuk kenal pasti orang yang mencurigakan. Jangan menyalahgunakan dadah atau alkohol kerana hal ini menumpulkan daya pemerhatian anda. Satu ensiklopedia kesihatan menyatakan, “Apabila seseorang mengambil dadah atau minum alkohol, lebih susah bagi dia untuk menilai sama ada suatu situasi bahaya atau tidak.”

  • Jaga harta benda anda. Pastikan kenderaan serta pintu dan tingkap rumah anda selalu dikunci. Jangan izinkan orang yang tidak dikenali memasuki rumah anda. Selain itu, simpan barang berharga di tempat yang selamat. Amsal 11:2 kata, “Kebijaksanaan ada pada orang yang rendah hati.” Perompak, termasuk kanak-kanak juga, suka mencuri daripada orang yang menunjuk-nunjuk barang kemas atau alat elektronik yang mahal.

  • Minta nasihat. “Orang bodoh menganggap diri mereka benar, tetapi orang bijak menerima nasihat.” (Amsal 12:15) Jika anda sedang bercuti, dengarlah nasihat pihak berkuasa dan orang tempatan yang dapat dipercayai. Mereka dapat memberitahu anda tempat yang harus dielakkan dan cara untuk melindungi barang anda.

SERANGAN SEKSUAL

Merangkumi apa? Ini termasuk rogol, dan kelakuan seksual yang melibatkan paksaan, ugutan, atau kekerasan.

Apakah kesannya? “Kesan buruknya bukan hanya dirasai sewaktu kejadian itu berlaku,” kata seorang mangsa rogol. “Tetapi pengalaman itu akan terus menghantui anda buat masa yang lama dan mengubah pandangan anda tentang hidup. Sebenarnya hidup orang di sekeliling anda pun terjejas.” Namun demikian, mangsa serangan seksual tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Si pelaku itulah yang bersalah.

Apa yang dapat anda lakukan?

  • Jangan remehkan perasaan anda. Pihak polis di Carolina Utara, A.S. berkata, “Jika suatu tempat atau seseorang buat anda rasa terancam atau kurang selesa, beredarlah dari situ dengan segera.” Mereka menyambung, “Jangan biarkan sesiapa memujuk anda untuk ubah fikiran anda.”

  • Bersikap yakin dan fokus. Pemangsa seksual mencari sasaran mudah, iaitu orang yang nampak kurang yakin dan tidak peka. Maka, berjalanlah dengan yakin dan sentiasa berwaspada.

  • Bertindak dengan cepat. Teriaklah. (Ulangan 22:25-27) Segera beredar dari situ atau pertahankan diri apabila dia tidak menjangkakannya. Jika dapat, lari ke tempat yang selamat dan hubungi polis. *

JENAYAH SIBER

Merangkumi apa? Semua jenayah yang dibuat secara online, termasuk scam, penipuan cukai, penipuan kad kredit, dan penipuan bantuan kebajikan. Selain itu, sesetengah penjual menerima duit tanpa niat untuk menghantarkan barangan. Jenayah siber juga merangkumi penipuan pelaburan dan penipuan lelong dalam talian.

Apakah kesannya? Secara keseluruhan, mangsa jenayah siber mengalami kerugian yang menjangkau berbilion dolar Amerika. Sebagai contoh, Sandra menerima e-mel yang dia sangka dihantar oleh banknya. E-mel itu meminta dia untuk mengemaskinikan butirannya. Beberapa minit kemudian, dia terkejut apabila sedar bahawa $4,000 (A.S.) telah dipindahkan daripada akaunnya ke bank lain. Pada saat itu juga dia sedar dia telah ditipu.

Apa yang dapat anda lakukan?

  • Selalu berhati-hati. Jangan ditipu oleh laman web yang nampaknya profesional. Ingatlah, syarikat kewangan yang sah tidak akan meminta anda menghantar maklumat peribadi yang sulit melalui e-mel. Sebelum membeli atau membuat pelaburan melalui Internet, periksalah reputasi syarikat itu. Selain itu, berhati-hatilah semasa berurusan dengan syarikat luar negara. Jika masalah timbul, adalah lebih susah untuk menyelesaikannya. Amsal 14:15 kata, “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”

  • Cari tahu tentang syarikat itu dan polisinya. Tanyalah diri, “Apakah alamat syarikat itu? Adakah nombor telefonnya tepat? Adakah terdapat kos tersembunyi bagi pembelian saya? Bilakah barang saya akan dihantar? Adakah barang itu atau wang saya dapat dikembalikan?”

  • Jangan cepat percaya tawaran yang terlalu baik. Orang tamak dan orang yang ingin mendapatkan sesuatu tanpa usaha ialah sasaran utama penjenayah siber. Mereka suka mengumpan orang dengan menawarkan wang besar, pinjaman wang atau kad kredit walaupun anda tidak layak, atau pulangan besar bagi pelaburan yang kononnya berisiko rendah. Menurut satu agensi kerajaan Amerika Syarikat, “Semakin tinggi pulangan yang dijanjikan, semakin tinggi risikonya. Jangan membiarkan orang lain menekan anda untuk membuat keputusan yang terburu-buru. Ambillah masa untuk memastikan bahawa pelaburan itu adalah sah.”

PENCURIAN IDENTITI

Merangkumi apa? Ini termasuk mendapatkan dan menggunakan maklumat peribadi seseorang secara tidak sah untuk melakukan penipuan atau jenayah lain.

Apakah kesannya? Pencuri mungkin menggunakan identiti anda untuk membuka akaun, mendapatkan kad kredit, atau membuat pinjaman. Akibatnya, anda mungkin berhutang keliling pinggang. Biarpun anda akhirnya dapat membatalkan hutang itu, reputasi kewangan anda sudah terjejas selama bertahun-tahun. Seorang mangsa pencurian identiti kata, “Sejarah kredit yang buruk mempengaruhi segala-galanya, dan lebih teruk berbanding duit anda dicuri.”

Apa yang dapat anda lakukan?

  • Lindungi maklumat sulit anda. Jika anda buat transaksi bank atau membeli barang online, pastikan anda menukar kata laluan anda dengan kerap terutamanya jika anda menggunakan komputer di tempat awam. Seperti yang sudah disebut sebelum ini, jangan cepat mempercayai e-mel yang meminta maklumat peribadi anda.

    Penjenayah tidak mencuri identiti melalui komputer sahaja. Mereka akan mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan dokumen penting anda seperti penyata bank, kad kredit, dan nombor keselamatan sosial. Jadi pastikan semua maklumat ini disimpan dengan baik, dan koyak semua dokumen sulit sebelum membuangnya. Jika anda mengesyaki dokumen anda hilang atau dicuri, laporkannya dengan segera.

  • Selalu pantau akaun anda. Sebuah agensi kerajaan Amerika Syarikat menyatakan, ‘Jika kita selalu peka, kita dapat mengesan sekiranya ada seseorang cuba mencuri identiti kita dan kita dapat mengelak daripada menanggung kerugian yang lebih besar.’ Jadi periksalah akaun anda dengan kerap dan cuba mengenal pasti jika terdapat transaksi yang luar biasa. Biasanya, bank akan memaklumkan pelanggan mereka jika terdapat transaksi yang mencurigakan. * Namun anda digalakkan untuk memeriksa dengan teliti penyata akaun dan kad sebaik sahaja anda menerimanya.

Hakikatnya di dunia yang jahat ini, bahkan orang yang paling berhati-hati pun mungkin menjadi mangsa jenayah. Tapi kita masih dapat meraih manfaat dengan mengikut nasihat Bible berikut: “Janganlah tinggalkan hikmat, maka hikmat akan melindungimu. Cintailah kebijaksanaan, maka kebijaksanaan akan menjagamu.” (Amsal 4:6) Bukan itu sahaja, Bible menjanjikan bahawa semua jenayah bakal dilenyapkan.

Jenayah Bakal Lenyap

Mengapakah kita yakin Tuhan akan menghapuskan jenayah? Perhatikan hal-hal berikut:

  • Tuhan sangat ingin mengakhiri jenayah. “Aku, Yehuwa, mencintai keadilan; Aku membenci perompakan dan kejahatan.”​—Yesaya 61:8.

  • Dia ada kuasa untuk menghentikan jenayah. ‘Sungguh besar kuasa Tuhan; Dia jujur dan adil terhadap manusia.’​—Ayub 37:23, Alkitab Berita Baik.

  • Dia sudah berjanji untuk hapuskan orang jahat dan menyelamatkan orang baik. “Orang jahat akan dilenyapkan.” “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”​—Mazmur 37:9, 29.

  • Dia telah menjanjikan dunia baharu yang aman untuk orang yang setia. “Orang yang rendah hati akan memiliki bumi, dan mereka akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.”​—Mazmur 37:11.

Adakah kata-kata itu menyentuh hati anda? Jika ya, luangkanlah masa untuk mengkaji Bible dan belajar lebih banyak tentang tujuan Tuhan bagi manusia. Tidak ada buku lain yang mengandungi begitu banyak nasihat yang bermanfaat, dan tidak ada buku lain yang dapat memberi kita harapan sejati bagi masa depan yang aman dan selamat. *

Tuhan menjanjikan dunia baharu yang aman tanpa jenayah

^ per. 5 Nama-nama dalam rencana ini telah diubah.

^ per. 22 Kebanyakan mangsa serangan seksual kenal penyerang mereka. Untuk maklumat lanjut, lihat rencana, “Bagaimana Aku Melindungi Diri dari Pemangsa Seksual?” pada muka surat 228 buku Pertanyaan Kaum Muda​—Jawaban yang Praktis, Jilid 1 (bahasa Indonesia). Buku ini juga tersedia di www.jw.org.

^ per. 36 Di sesetengah negara, terdapat syarikat kewangan yang menyediakan perkhidmatan untuk memantau akaun anda. Mereka akan menghubungi anda jika terdapat sebarang perubahan atau transaksi yang luar biasa.

^ per. 44 Untuk mengetahui lebih banyak tentang ajaran asas Bible, lihatlah buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? Dapatkan salinan percuma daripada Saksi-Saksi Yehuwa atau bacanya di www.jw.org/ms.