Lompat ke kandungan

Kiri: Saudara saudari bersukacita semasa pengeluaran buku Matius dalam Bahasa Isyarat Australia diumumkan. Kanan: Saudara Hideyuki Motoi mengumumkan pengeluaran itu dengan bantuan seorang penterjemah

13 MAC 2024
BERITA GLOBAL

Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Australia

Buku Matius Dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Australia

Pada 2 Mac 2024, Saudara Hideyuki Motoi, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Australasia, telah mengeluarkan buku Matius dalam Bahasa Isyarat Australia, yang juga dikenali sebagai Auslan. Pengeluaran ini diumumkan semasa program istimewa yang diadakan di Dewan Perjumpaan di Brisbane, Australia. Sebanyak 159 saudara saudari telah menghadiri program ini secara bersemuka. Sebanyak 377 orang lagi dari Australia, New Zealand, dan Samoa menonton program tersebut melalui persidangan video. Pengeluaran ini dapat dimuat turun dengan serta-merta di jw.org dan aplikasi JW Library Bahasa Isyarat.

Kira-kira 20,000 orang yang tinggal di Australia, New Zealand, Samoa, dan Tonga menggunakan Bahasa Isyarat Australia atau bahasa isyarat lain yang hampir sama. Saksi-Saksi Yehuwa mula menterjemahkan bahan bacaan Bible ke dalam Bahasa Isyarat Australia pada 2001. Bahan bacaan pertama yang diterjemahkan ialah brosur “Apabila Seseorang Meninggal” (When Someone You Love Dies). Pada April 2023, sebuah pejabat penterjemahan telah ditubuhkan di Brisbane. Hari ini, hampir 350 saudara saudari berkhidmat di satu sidang dan 18 kumpulan bahasa isyarat di seluruh kawasan cawangan.

Inilah buku Bible pertama yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Isyarat Australia. Setelah mendapat pengeluaran ini, seorang saudari kata, “Kata-kata Yesus dalam Ceramah Di Atas Gunung sangat menyentuh hati saya. Saya dapat rasa kasih dan kebaikan hatinya melalui ceramah itu. Semasa saya menontonnya dalam Bahasa Isyarat Australia, saya rasa seolah-olah Yesus sedang bercakap kepada saya!”

Seorang saudari pekak di sidang bahasa isyarat di Brisbane berkata, “Buku Matius dalam Bahasa Isyarat Australia bantu saya meniru sifat Yesus dengan lebih baik. Saya juga jadi lebih mahir dalam kerja penyebaran. Terima kasih Yehuwa!”

Kita sangat gembira mendengar buku Matius kini dikeluarkan dalam Bahasa Isyarat Australia. Kita yakin pengeluaran ini akan bantu ramai orang menempuh haluan yang menuju kehidupan.—Matius 7:13, 14.