Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mempunyai Bible Sendiri?
Saksi-Saksi Yehuwa menggunakan banyak jenis terjemahan Bible dalam bahan bacaan mereka. Namun kami biasa menggunakan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu yang terdapat dalam sesetengah bahasa. Terjemahan ini tepat dan jelas, serta mengandungi nama Tuhan.
Penggunaan nama Tuhan. Sesetengah penerbit Bible gagal menghormati Pengarang asalnya. Contohnya, satu terjemahan Bible menyenaraikan lebih daripada 70 orang yang telah menyumbang kepada pengeluarannya. Namun Bible ini sama sekali tidak menyebut nama Pengarang asalnya, iaitu Tuhan Yehuwa!
Sebaliknya, Terjemahan Dunia Baharu menggunakan nama Tuhan yang muncul beribu-ribu kali dalam tulisan asal Bible. Walaupun begitu, nama ahli jawatankuasa yang menerbitkannya tidak diketahui.
Ketepatan. Bukan semua terjemahan menyampaikan mesej Bible dengan tepat. Misalnya, Matius 7:13 dalam satu terjemahan Bible berbunyi, “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka itu lebar dan lapang!” Namun, dalam bahasa asal, perkataan “kebinasaan” digunakan dan bukannya “neraka.” Mungkin para penterjemah Bible menggunakan perkataan “neraka” kerana menganggap bahawa orang jahat akan diseksa di neraka untuk selama-lamanya. Ajaran ini tidak disokong oleh Bible. Maka, Terjemahan Dunia Baharu dengan tepat menyatakan, “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana jalan yang lebar dan luas menuju kebinasaan.”
Jelas. Terjemahan yang baik bukan sahaja harus tepat, malah patut jelas dan mudah difahami. Fikirkan contoh di Roma 12:11, Rasul Paulus menggunakan ungkapan yang secara harfiah bermaksud “semangat mendidih.” Oleh sebab ungkapan ini susah difahami oleh banyak orang, Bible Terjemahan Dunia Baharu menterjemahkannya dalam cara yang mudah difahami. Terjemahan ini menyatakan bahawa kuasa suci Tuhan akan “menyemarakkan semangat” orang Kristian.
Selain daripada mengandungi nama Tuhan, diterjemahkan dengan tepat dan jelas, Terjemahan Dunia Baharu juga diedarkan tanpa sebarang bayaran. Hasilnya, jutaan orang dapat membaca Bible ini dalam bahasa ibunda mereka, bahkan orang yang miskin pun dapat memilikinya.

