Lompat ke kandungan

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Percaya pada Perjanjian Lama?

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Percaya pada Perjanjian Lama?

 Ya. Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa ‘semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Tuhan dan berguna.’ (2 Timotius 3:16) Biasanya Bible dipisahkan kepada Perjanjian Lama dan Perjanjian Baharu. Namun, Saksi-Saksi Yehuwa merujuk kepada dua bahagian Bible ini sebagai Kitab Ibrani dan Kitab Yunani Kristian. Kami tidak menganggap bahawa sebahagian daripada Bible sudah lama atau ketinggalan zaman.

Mengapakah orang Kristian memerlukan Perjanjian Lama dan Perjanjian Baharu?

 Tuhan mengilhami rasul Paulus untuk menulis, “Segala yang tertulis di dalam Alkitab adalah untuk mengajar kita.” (Roma 15:4) Sememangnya terdapat maklumat penting dalam Kitab Ibrani. Maklumat ini merangkumi sejarah yang berguna dan nasihat yang bermanfaat.

  •   Sejarah yang berguna. Kitab Ibrani menceritakan dengan terperinci tentang penciptaan dan bagaimana manusia mula berdosa. Tanpa maklumat ini, kita tidak dapat menjawab soalan seperti: Dari manakah asal kita? Mengapakah manusia mati? (Kejadian 2:7, 17) Selain itu, Kitab Ibrani menerangkan cara Yehuwa memperlakukan umat-Nya. Mereka juga mengalami sukacita dan cabaran seperti kita hari ini.​—Yakobus 5:17.

  •   Nasihat yang berguna. Buku Amsal dan Pengkhutbah adalah sebahagian daripada Kitab Ibrani. Buku-buku ini mengandungi nasihat yang berguna dalam kehidupan seharian. Selain itu, buku-buku ini mengajar cara untuk menikmati kehidupan keluarga yang bahagia (Amsal 15:17), cara untuk mempunyai pandangan yang seimbang terhadap pekerjaan (Amsal 10:4; Pengkhutbah 4:6), dan cara kaum muda dapat menikmati zaman muda mereka (Pengkhutbah 11:9–​12:1).

 Lebih-lebih lagi, kita boleh mendapat manfaat dengan mempelajari Hukum Musa yang tercatat dalam Taurat (lima buku pertama dalam Bible). Walaupun orang Kristian tidak perlu mengikut Hukum Musa, prinsip-prinsipnya dapat membantu kita untuk hidup dengan penuh sukacita.​—Imamat 19:18; Ulangan 6:​5-7.