Lompat ke kandungan

Apakah Itu Babilon Besar?

Apakah Itu Babilon Besar?

Jawapan Bible

Babilon Besar atau kota Babel, yang digambarkan dalam buku Wahyu, merujuk kepada semua agama palsu di dunia yang tidak diterima oleh Tuhan. * (Wahyu 14:8; 17:5; 18:21) Walaupun agama-agama itu berbeza, semuanya menyebabkan orang menyimpang daripada menyembah satu-satunya Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa.—Ulangan 4:​35.

Cara untuk mengenal pasti Babilon Besar

  1. Babilon Besar melambangkan sesuatu. Bible menggambarkannya sebagai “seorang wanita” dan “pelacur besar,” yang diberi nama yang misteri, iaitu “Babilon Besar.” (Wahyu 17:​1, 3, 5) Buku Wahyu menggunakan banyak “lambang.” Jadi, memang masuk akal untuk menyimpulkan bahawa Babilon Besar melambangkan sesuatu dan bukannya betul-betul merujuk kepada seorang wanita. (Wahyu 1:1) Tambahan pula, wanita itu “duduk di atas air yang banyak,” yang melambangkan “kaum, orang ramai, bangsa, dan bahasa.” (Wahyu 17:​1, 15) Sudah tentu seorang wanita yang harfiah tidak dapat berbuat demikian.

  2. Babilon Besar ialah sebuah organisasi antarabangsa. Babilon Besar dikenali sebagai “kota besar yang berkuasa atas raja-raja di bumi.” (Wahyu 17:18) Maka, pengaruh Babilon Besar meliputi seluruh dunia.

  3. Babilon Besar ialah sebuah organisasi agama, dan bukannya organisasi politik atau perdagangan. Babilon kuno merupakan sebuah kota yang berpengaruh dalam soal keagamaan, yang terkenal dengan penggunaan ‘jampi’ dan “ilmu sihir.” (Yesaya 47:​1, 12, 13; Yeremia 50:​1, 2, 38) Penduduk kota itu mengamalkan agama palsu yang menentang Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa. (Kejadian 10:​8, 9; 11:​2-4, 8) Para pemerintah Babilon yang sombong menganggap diri lebih tinggi daripada Yehuwa dan meremehkan penyembahan kepada-Nya. (Yesaya 14:​4, 13, 14; Daniel 5:​2-4, 23) Begitu juga dengan Babilon Besar yang terkenal dengan ‘amalan-amalan sihir.’ Hal ini membuktikan bahawa Babilon Besar ialah sebuah organisasi agama.​—Wahyu 18:23.

    Babilon Besar bukan sebuah organisasi politik kerana “raja-raja di bumi” menangis apabila melihat kemusnahannya. (Wahyu 17:​1, 2; 18:9) Babilon Besar juga bukan sebuah organisasi perdagangan kerana Bible menyatakan bahawa Babilon Besar berbeza daripada “para saudagar di bumi.”​—Wahyu 18:11, 15.

  4. Batu pahatan menunjukkan Raja Nabonidus dari Babilon dan lambang tuhan tritunggal Sin, Ishtar, dan Shamash

    Amalan Babilon Besar sama seperti apa yang dinyatakan dalam Bible tentang agama palsu. Agama palsu mengajar pengikutnya menyembah tuhan-tuhan lain, dan bukannya menyembah Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa. Bible menyamakan perbuatan ini dengan kecurangan. (Imamat 20:6; Keluaran 34:15, 16) Babilon kuno mempercayai ajaran-ajaran palsu seperti Tritunggal, roh yang masih hidup setelah seseorang mati, dan penggunaan patung berhala. Sehingga hari ini, amalan sedemikian masih dilakukan oleh agama palsu. Ajaran-ajaran mereka juga dicampurkan dengan hal-hal duniawi. Bible menyatakan perbuatan yang tidak setia ini sebagai perzinaan rohani.​—Yakobus 4:4.

    Agama palsu juga mewah dan makmur. Hal ini sesuai dengan gambaran Bible tentang Babilon Besar yang “berpakaian ungu dan merah marak, dan memakai perhiasan emas, batu permata, dan mutiara.” (Wahyu 17:4) Babilon Besar ialah sumber “hal-hal yang menjijikkan di bumi.” Maksudnya, ajaran dan tindakannya menghina Tuhan. (Wahyu 17:5) Pengikut agama palsu terdiri daripada “kaum, orang ramai, bangsa, dan bahasa” yang menyokong Babilon Besar.​—Wahyu 17:15.

Babilon Besar bertanggungjawab atas kematian “semua orang yang telah dibunuh di bumi.” (Wahyu 18:24) Sepanjang sejarah manusia, agama palsu bukan sahaja menyebabkan peperangan tetapi juga mengapi-apikan kegiatan pengganas. Mereka juga gagal mengajar kebenaran tentang Yehuwa, Tuhan yang pengasih. (1 Yohanes 4:8) Kegagalan ini telah menyumbang kepada begitu banyak pertumpahan darah. Oleh itu, sesiapa yang ingin menyenangkan hati Tuhan mesti ‘keluar daripada [Babilon Besar],’ atau mengasingkan diri daripada agama palsu.​—Wahyu 18:4; 2 Korintus 6:​14-​17.

^ per. 3 Lihat rencana “Bagaimanakah Saya Dapat Mencari Agama yang Benar?”