Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Hidup Sebagai Rakyat Kerajaan Tuhan

Hidup Sebagai Rakyat Kerajaan Tuhan

 Hidup Sebagai Rakyat Kerajaan Tuhan

“Hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik.”​—FLP. 1:27.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

Siapakah yang berpeluang menjadi warganegara Kerajaan Tuhan?

Apakah erti mempelajari bahasa, sejarah, dan undang-undang Kerajaan Tuhan?

Bagaimanakah warganegara Kerajaan Tuhan menunjukkan bahawa mereka mencintai piawaian Tuhan?

1, 2. Mengapakah nasihat Paulus kepada sidang Filipi sangat sesuai?

PAULUS menggalakkan sidang di Filipi untuk “hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik.” (Baca Filipi 1:27.) Dalam bahasa Yunani asal, ungkapan “hidup” boleh bererti bertingkah laku atau hidup sebagai seorang rakyat atau warganegara. Mengapakah nasihat Paulus sangat sesuai bagi orang Kristian di Filipi? Kerana orang Filipi dibenarkan menjadi rakyat Roma dan dilindungi oleh kerajaan Roma. Rakyat Roma di Filipi dan di seluruh empayar Roma berasa bangga kerana dapat menjadi warganegara Roma dan menikmati faedah tertentu.

2 Ahli-ahli sidang di Filipi memiliki sebab yang lebih baik untuk berbangga. Paulus mengingatkan mereka bahawa sebagai orang Kristian terurap, ‘kewarganegaraan mereka adalah di syurga.’ (Flp. 3:20) Mereka merupakan rakyat Kerajaan Tuhan dan bukannya kerajaan manusia. Oleh itu, mereka dapat menikmati perlindungan dan faedah yang tidak terbanding.​—Ef. 2:19-22.

3. (a) Siapakah yang berpeluang untuk menjadi warganegara Kerajaan Tuhan? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

3 Nasihat Paulus untuk “hidup sebagai warganegara” sebenarnya ditujukan kepada golongan terurap yang akan memerintah bersama Kristus di syurga. (Flp. 3:20) Tetapi nasihat ini juga boleh ditujukan kepada orang yang akan menjadi warganegara Kerajaan Tuhan di bumi. Mengapa? Kerana kita semua menyembah Yehuwa dan mesti memenuhi syarat-syarat-Nya. (Ef. 4:4-6) Hari ini, manusia berusaha keras untuk menjadi warganegara negara yang maju. Tetapi peluang untuk menjadi warganegara Kerajaan Tuhan jauh lebih istimewa. Untuk membantu kita menghayati peluang  istimewa ini, mari kita bandingkan syarat untuk menjadi warganegara kerajaan manusia dengan syarat untuk menjadi warganegara Kerajaan Tuhan. Kemudian, kita akan lihat tiga perkara yang mesti kita lakukan agar kita kekal sebagai warganegara Kerajaan Tuhan.

SYARAT-SYARAT KEWARGANEGARAAN

4. Apa itu bahasa murni, dan bagaimanakah kita boleh menuturkannya?

4 Bahasa. Sesetengah kerajaan manusia menghendaki pemohon kewarganegaraan mempelajari bahasa kebangsaan. Walaupun sudah diberikan kewarganegaraan, orang perlu berusaha selama bertahun-tahun untuk menguasai bahasa baru itu. Mereka mungkin cepat belajar tatabahasanya, tetapi memerlukan masa untuk mempelajari sebutannya dengan lebih tepat. Begitu juga, rakyat Kerajaan Tuhan perlu mempelajari “bahasa yang murni.” (Baca Zefanya 3:9. *) Bahasa yang murni ialah kebenaran tentang Tuhan dan tujuan-Nya. Kita “bertutur” dalam bahasa murni apabila kita hidup selaras dengan hukum dan prinsip Tuhan. Kita mungkin mempelajari kebenaran Bible yang asas dalam masa yang singkat lalu dibaptiskan. Namun, kita perlu berusaha untuk “bertutur” dalam bahasa murni dengan lebih fasih. Bagaimana? Dengan mengamalkan prinsip Bible dalam kehidupan kita.

5. Mengapakah kita patut mempelajari seberapa banyak yang boleh tentang sejarah organisasi Yehuwa?

5 Sejarah. Seorang pemohon warganegara perlu mempelajari sedikit sebanyak tentang sejarah negara itu. Demikian juga, jika kita ingin menjadi warganegara Kerajaan Tuhan, kita perlu mengetahui seberapa banyak yang boleh tentang Kerajaan-Nya. Kita patut meniru teladan anak-anak Korah. Mereka mencintai tempat ibadat di Yerusalem, serta sejarah kota itu. Mengapa? Kerana Yerusalem ialah kota Yehuwa, “kota Raja yang agung.” Kota itu ialah pusat ibadat sejati di mana orang dapat belajar tentang Hukum Yehuwa. Yehuwa memperlihatkan kasih-Nya kepada mereka di bawah pemerintahan-Nya. (Baca Mazmur 48:2, 3, 10, 13, 14.) Adakah anda juga memiliki hasrat untuk mempelajari dan memberitahu orang lain tentang sejarah organisasi Yehuwa di bumi? Semakin banyak pengetahuan anda tentang organisasi Tuhan dan bagaimana Yehuwa mendukung umat-Nya, semakin nyatalah Kerajaan Tuhan bagi anda. Hal ini akan menguatkan tekad anda untuk menginjil kepada orang lain.​—Yer. 9:24; Luk. 4:43.

6. Mengapakah kita tidak berasa hairan bahawa Yehuwa menghendaki kita mempelajari hukum dan prinsip-Nya?

 6 Undang-undang. Kerajaan manusia menghendaki rakyat mereka mengetahui dan mematuhi undang-undang negara. Maka, kita tidak berasa hairan bahawa Yehuwa menghendaki semua warganegara-Nya mempelajari dan mematuhi hukum dan prinsip-Nya. (Yes. 2:3; Yoh. 15:10; 1 Yoh. 5:3) Undang-undang manusia tidak sempurna dan mungkin berat sebelah. Tetapi hukum ‘Yehuwa itu sempurna.’ (Mzm. 19:8) Adakah kita suka akan hukum Tuhan dan membaca Firman-Nya setiap hari? (Mzm. 1:1, 2) Kita masing-masing harus mencurahkan usaha untuk mempelajari hukum Tuhan. Tidak ada sesiapa yang boleh berbuat demikian untuk kita.

WARGANEGARA TUHAN CINTA AKAN PIAWAIANNYA

7. Mengapakah rakyat Kerajaan Tuhan mematuhi hukum-Nya?

7 Sekadar mengetahui piawaian Tuhan tidak memadai. Kita mesti cinta akan piawaian-Nya. Banyak orang berkata bahawa mereka setuju dengan undang-undang negara mereka. Tetapi jika undang-undang tersebut menyukarkan hidup mereka atau tiada orang mengawasi mereka, mereka tidak teragak-agak untuk melanggar undang-undang. Sering kali, orang sebegini hanya mahu menyenangkan hati manusia. (Kol. 3:22) Rakyat Kerajaan Tuhan adalah berbeza. Kita mencintai Yehuwa. Oleh itu kita mematuhi hukum Tuhan, bahkan semasa orang lain tidak mengawasi kita.​—Yes. 33:22, 23; baca Lukas 10:27.

8, 9. Bagaimanakah anda boleh tahu sama ada anda benar-benar mencintai hukum Tuhan?

8 Bagaimanakah anda boleh tahu sama ada anda benar-benar mencintai hukum Tuhan? Fikirkan reaksi anda semasa ditegur mengenai hal peribadi, contohnya dalam soal pakaian dan dandanan. Sebelum masuk kebenaran, anda mungkin berpakaian selekeh atau menjolok mata. Tetapi selepas mempelajari Bible, anda mungkin mengubah penampilan agar dapat memuliakan Tuhan. (1 Tim. 2:9, 10; 1 Ptr. 3:3, 4) Anda mungkin berfikir bahawa anda berpakaian sederhana. Tetapi, jika seorang penatua memberitahu anda bahawa pakaian anda membuat sebilangan ahli sidang tersandung, apakah reaksi anda? Adakah anda akan membela diri, berdendam, atau berdegil? Satu hukum asas bagi semua warganegara Kerajaan Tuhan ialah mereka mesti mengikut jejak Kristus. (1 Ptr. 2:21) Memandangkan ‘Kristus pun tidak memikirkan kesenangan dirinya sendiri,’ kita harus ‘menyenangkan hati saudara kita bagi kebaikannya, supaya imannya menjadi semakin teguh.’ (Rm. 15:2, 3) Untuk mengekalkan kedamaian sidang, seorang Kristian yang matang akan menghindari hal-hal yang boleh menggores hati nurani orang lain.​—Rm. 14:19-21.

9 Selain itu, fikirkan pandangan anda terhadap seks dan perkahwinan. Sebelum masuk kebenaran, sesetengah orang mungkin menerima hubungan sejenis, menganggap bahan lucah sebagai hiburan yang tidak berbahaya, dan berfikir bahawa perzinaan dan perceraian merupakan hal peribadi. Tetapi, rakyat Kerajaan Tuhan belajar untuk mengikis sikap mementingkan diri serta berfikir tentang kesan tindakan mereka. Walaupun banyak orang Kristian dulu hidup tidak bermoral, mereka sekarang memandang seks dan perkahwinan sebagai anugerah Tuhan. Mereka menghargai piawaian Yehuwa dan tahu bahawa orang yang sengaja melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral tidak layak menjadi warganegara Kerajaan Tuhan. (1 Kor. 6:9-11) Mereka juga sedar bahawa hati manusia licik. (Yer. 17:9) Mereka bersyukur kerana Yehuwa  memberikan amaran yang membantu mereka mengekalkan piawaian moral yang tinggi.

WARGANEGARA KERAJAAN TUHAN MENGHARGAI AMARAN

10, 11. Apakah amaran penting yang diberikan oleh Kerajaan Tuhan, dan apakah reaksi anda terhadap amaran yang diberikan?

10 Ada kalanya, kerajaan manusia mengeluarkan amaran tentang makanan atau ubat tertentu. Sudah tentu, bukan semua makanan atau ubat membahayakan. Tetapi jika terdapat produk yang memudaratkan kesihatan, kerajaan wajib mengeluarkan amaran agar rakyatnya dilindungi. Begitu juga, Kerajaan Tuhan akan memberikan amaran jika terdapat bahaya moral atau rohani yang mengancam kita. Sebagai contoh, Internet merupakan wadah komunikasi, pendidikan, dan hiburan. Bahkan organisasi Tuhan pun menggunakan Internet. Namun, banyak laman Web boleh membahayakan kesihatan moral dan rohani kita. Laman Web lucah sedang mengancam kesihatan rohani rakyat Kerajaan Tuhan. Selama puluhan tahun, golongan hamba yang setia telah mengeluarkan amaran tentangnya. Tidakkah anda berasa syukur kerana kita diberikan amaran sebegini?

11 Kebelakangan ini, ramai orang tertarik kepada sejenis laman yang lain, iaitu rangkaian sosial. Laman ini bermanfaat jika digunakan dengan berhati-hati. Malangnya, laman sebegini boleh membuat kita terdedah kepada pergaulan buruk. (1 Kor. 15:33) Itulah sebabnya hamba yang setia mengeluarkan amaran tentang laman sebegini. Sudahkah anda membaca semua bahan bacaan terkini tentang penggunaan rangkaian sosial? Adalah sangat berbahaya jika kita menggunakan laman sebegini tanpa mengendahkan amaran Tuhan! * Tindakan ini ibarat memakan ubat yang kuat tanpa membaca arahannya terlebih dahulu.

12. Mengapakah kita patut mendengar amaran Tuhan?

12 Sesiapa yang tidak menghiraukan amaran yang diberikan oleh hamba yang setia pasti mengundang nahas bagi orang tersayang dan juga diri mereka. Ada yang ketagih melihat bahan lucah atau telah melakukan perbuatan yang tidak bermoral dan kemudian memujuk diri bahawa Yehuwa tidak nampak perbuatan mereka. Janganlah tipu diri sendiri. Yehuwa nampak segala-galanya. (Ams. 15:3; baca Ibrani 4:13.) Tuhan mahu membantu semua umat-Nya dan Dia menggerakkan para penatua untuk membantu mereka. (Gal. 6:1) Namun, sepertimana kerajaan manusia berhak untuk menarik balik kerakyatan orang yang melakukan jenayah tertentu, Yehuwa tidak akan terus mengizinkan orang yang sengaja melanggar hukum-Nya untuk menjadi warganegara Kerajaan-Nya. * (1 Kor. 5:11-13) Tetapi, Dia berbelas kasihan. Orang yang bertaubat dan mengubah tingkah laku sendiri boleh menjadi sahabat Tuhan semula dan terus memegang kewarganegaraan Kerajaan Tuhan. (2 Kor. 2:5-8) Betapa besarnya penghormatan kita kerana dapat menyembah Raja Yang Maha Pengasih!

 WARGANEGARA KERAJAAN TUHAN MENGHARGAI PENDIDIKAN

13. Bagaimanakah rakyat Kerajaan Tuhan menunjukkan bahawa mereka menghargai pendidikan?

13 Banyak kerajaan manusia bertungkus lumus untuk mendidik rakyat mereka. Mereka menubuhkan sekolah yang menawarkan pendidikan asas. Rakyat Kerajaan Tuhan menghargai pendidikan sebegini dan tekun mempelajari kemahiran membaca dan menulis agar dapat menampung kehidupan. Tetapi, mereka lebih menghargai pendidikan yang diterima melalui organisasi Tuhan. Sebagai contoh, Yehuwa menggalakkan kita untuk memupuk kemahiran membaca menerusi sidang. Ibu bapa digalakkan untuk membaca kepada anak-anak mereka. Setiap bulan, hamba yang setia mencetakkan majalah The Watchtower (edisi pembelajaran dan edisi umum) dan majalah Awake! Jika anda membaca beberapa muka surat sehari, anda dapat membaca habis kesemuanya dan meraih manfaat yang besar.

14. (a) Apakah latihan yang kita terima? (b) Apakah cadangan malam Penyembahan Keluarga yang telah anda gunakan?

14 Setiap minggu, rakyat Kerajaan Tuhan menerima latihan di perjumpaan mereka. Contohnya, Sekolah Penyebaran Teokratik yang sudah berlangsung lebih daripada 60 tahun membantu para pelajar menjadi guru Bible yang mahir. Sudahkah anda menyertai sekolah ini? Akhir-akhir ini, hamba yang setia menegaskan pentingnya untuk mengadakan malam Penyembahan Keluarga setiap minggu. Aturan ini mengeratkan ikatan keluarga. Adakah anda menerapkan cadangan yang diterbitkan dalam bahan bacaan kita? *

15. Apakah penghormatan besar yang kita miliki?

15 Rakyat kerajaan manusia berusaha keras untuk menggalakkan orang lain menyokong parti politik mereka. Ada yang bahkan berkempen dari pintu ke pintu. Rakyat Kerajaan Tuhan dari seluruh pelosok dunia juga menyokong Kerajaan-Nya dengan menginjil dari pintu ke pintu dan di mana sahaja orang didapati. Seperti yang disebut dalam rencana yang pertama, majalah pembelajaran merupakan majalah yang paling laris di seluruh dunia! Kita memiliki penghormatan yang besar kerana dapat memberitahu orang lain tentang Kerajaan Tuhan. Adakah anda menginjil dengan semangat yang membara?​—Mat. 28:19, 20.

16. Bagaimanakah anda membuktikan bahawa anda ialah rakyat Kerajaan Tuhan yang baik?

16 Kerajaan Tuhan bakal menjadi satu-satunya kerajaan yang memerintah bumi, dan hukum Tuhan akan membimbing seluruh hidup kita. Adakah anda akan menjadi rakyat Kerajaan Tuhan yang baik? Sekaranglah masanya untuk membuktikannya. Setiap hari, buatlah keputusan yang memuliakan Yehuwa. Buktikan bahawa anda merupakan warganegara Kerajaan Tuhan yang mempunyai sahsiah tinggi dan terpuji!​—1 Kor. 10:31.

[Nota kaki]

^ per. 4 Zefanya 3:9 (NW): “Dan pada waktu itu Aku akan mengubah bahasa semua bangsa ke suatu bahasa yang murni, agar mereka semua berseru kepada nama Yehuwa, dan berganding bahu untuk berkhidmat kepada-Nya.”

^ per. 11 Sila lihat Awake! Julai 2011, muka 24-27; Ogos 2011, muka 10-13; dan Februari 2012, muka 3-9.

^ per. 12 Lihat majalah pembelajaran 15 Mac 2012, muka 30-31.

^ per. 14 Lihat majalah pembelajaran 15 Ogos 2011, muka 6-7 dan Kerja Teokratik Kita terbitan Januari 2011, muka 3-6.

[Soalan Pembelajaran]

[Petikan daripada perenggan pada muka surat 14]

Adakah anda mendengar amaran Tuhan tentang Internet?

[Gambar pada muka surat 12]

Seperti anak-anak Korah, adakah anda mencintai ibadat sejati dan sejarahnya?

[Gambar pada muka surat 15]

Malam Penyembahan Keluarga boleh membantu anda sekeluarga untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan yang terpuji