Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Jika seorang Kristian menceraikan isterinya tanpa sebab yang berdasarkan Bible dan berkahwin lagi, apakah pandangan sidang terhadap perkahwinannya yang dahulu dan perkahwinannya yang sekarang?

Dalam situasi sebegini, sidang akan memandang perkahwinan yang dahulu itu sudah berakhir apabila lelaki itu berkahwin lagi, dan perkahwinannya yang sekarang ialah perkahwinan yang sah. Untuk memahami sebab di sebalik pandangan ini, perhatikan apa yang dikatakan Yesus tentang perbuatan bercerai dan berkahwin lagi.

Di Matius 19:9, Yesus menyatakan bahawa hanya ada satu sebab yang dibenarkan dalam Bible untuk bercerai. Dia berkata, “Sesiapa yang menceraikan isterinya padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, dia berzina jika dia berkahwin dengan wanita lain.” Daripada kata-kata Yesus, kita belajar bahawa (1) perbuatan seks yang tidak bermoral merupakan satu-satunya sebab yang boleh menjadi dasar untuk mengakhiri sebuah perkahwinan dan (2) jika seorang lelaki menceraikan isterinya atas sebab-sebab lain dan berkahwin lagi, dia sudah berzina. a

Adakah Yesus bermaksud bahawa jika seorang lelaki melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral lalu menceraikan isterinya, dia bebas untuk berkahwin lagi menurut prinsip Bible? Tidak semestinya. Apabila seorang suami berzina, isterinya, iaitu pihak yang tidak bersalah, boleh memilih untuk mengampuninya atau mengakhiri perkahwinan mereka. Jika isterinya enggan menerimanya sebagai suami lagi, mereka berdua bebas untuk berkahwin lagi selepas permohonan mereka untuk bercerai disahkan.

Jika isteri yang tidak bersalah itu tidak ingin mengakhiri perkahwinan mereka, dia akan memberitahu suaminya bahawa dia sudi mengampuninya. Namun, bagaimana pula jika suami yang berzina itu enggan berbaik semula dengan isterinya dan membuat permohonan cerai tanpa persetujuan bersama? Memandangkan isterinya sudi mengampuninya, suami itu tidak bebas untuk berkahwin lagi menurut prinsip Bible. Jadi jika suami itu mengahwini orang lain, dia berzina lagi. Maka jawatankuasa pengadilan perlu dibentuk sekali lagi untuk menangani kes salah lakunya.​—1 Kor. 5:1, 2; 6:9, 10.

Jika seorang lelaki berkahwin lagi padahal dia tidak bebas untuk berbuat demikian, apakah pandangan sidang terhadap perkahwinannya yang dahulu dan perkahwinannya yang sekarang? Adakah perkahwinannya yang dahulu masih sah menurut prinsip Bible? Adakah pihak yang tidak bersalah masih mempunyai pilihan sama ada dia ingin mengampuni bekas suaminya atau tidak? Adakah perkahwinan baharu lelaki itu akan terus dipandang sebagai perbuatan zina?

Dahulu, sidang akan terus memandang perkahwinannya yang baharu sebagai perbuatan zina selagi pasangannya yang tidak bersalah itu masih hidup, tidak berkahwin lagi, dan tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Namun, perhatikan bahawa semasa Yesus membincangkan isu bercerai dan berkahwin lagi di Matius 19:9, fokusnya bukanlah pada pasangan yang tidak bersalah. Sebaliknya, dia menjelaskan bahawa jika seorang lelaki menceraikan isterinya tanpa sebab yang berdasarkan Bible dan berkahwin lagi, lelaki itu berzina. Dalam keadaan sebegini, perbuatan zina lelaki itu sudah mengakhiri perkahwinannya yang dahulu.

“Sesiapa yang menceraikan isterinya padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, dia berzina jika dia berkahwin dengan wanita lain.”​—Mat. 19:9

Apabila seorang lelaki menceraikan isterinya dan berkahwin lagi, tindakannya sudah mengakhiri perkahwinannya yang dahulu. Oleh itu, bekas isterinya tidak lagi mempunyai pilihan sama ada mahu memaafkannya atau tidak. Memandangkan bekas isteri itu tidak mampu melakukan apa-apa lagi, dia tidak perlu dibebani rasa bersalah kerana keputusan bekas suaminya. Selain itu, sidang akan memandang perkahwinan baharu bekas suaminya sebagai perkahwinan yang sah, biarpun bekas isteri itu masih hidup, tidak berkahwin lagi, atau tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. b

Dalam contoh di atas, si suami telah berzina dan kemudiannya bercerai lalu berkahwin lagi. Namun, bagaimana pula jika suami itu tidak berzina tetapi hanya bercerai lalu berkahwin lagi? Atau bagaimana pula jika suami itu berzina selepas dia bercerai, lalu berkahwin lagi padahal isterinya sudi memaafkannya? Dalam semua kes ini, suami itu telah bercerai dan berkahwin lagi. Dengan berbuat demikian, dia telah berzina, dan tindakannya sudah mengakhiri perkahwinannya yang dahulu. Perkahwinannya yang baharu merupakan perkahwinan yang sah di sisi undang-undang. The Watchtower terbitan 15 November 1979, muka surat 32, menyatakan, “Sekarang dia sudah terikat kepada perkahwinan yang baharu. Jadi dia tidak boleh mengakhiri perkahwinan itu dengan sesuka hati dan kembali kepada perkahwinannya yang dahulu. Perkahwinannya yang dahulu sudah berakhir semasa dia bercerai, berzina, dan berkahwin lagi.”

Pemahaman yang dikemaskinikan ini tidak bermaksud bahawa perkahwinan tidak lagi suci atau perzinaan bukan lagi dosa serius. Seorang lelaki yang menceraikan isterinya tanpa sebab yang berdasarkan Bible, lalu berkahwin lagi padahal dia tidak bebas untuk berbuat demikian menurut prinsip Bible, sudah berzina dan akan dikenakan tindakan oleh jawatankuasa pengadilan. (Jika wanita yang dikahwininya itu ialah orang Kristian, wanita itu juga berzina dan akan dikenakan tindakan oleh jawatankuasa pengadilan.) Walaupun perkahwinan mereka yang sekarang tidak akan terus dipandang sebagai perbuatan zina, lelaki itu tidak akan diberi apa-apa tanggungjawab istimewa dalam sidang untuk suatu jangka masa yang lama. Sebelum memberinya tanggungjawab semula, para penatua akan mengambil kira jika orang lain masih berasa marah dengan perbuatannya yang dahulu, atau jika mereka sudah mula menghormatinya lagi. Para penatua juga akan mempertimbangkan sama ada dia telah menggunakan cara licik untuk menceraikan isterinya, dan mengambil kira kesan perceraian itu terhadap isterinya. Jika dia meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil semasa menceraikan isterinya, para penatua juga akan mengambil kira kesan perceraian itu terhadap mereka.​—Mal. 2:14-16.

Jika seseorang bercerai dan berkahwin lagi atas sebab yang tidak berdasarkan Bible, hal itu akan membawa kesan yang serius. Oleh itu, orang Kristian yang bijak akan memupuk pandangan Yehuwa dan menganggap perkahwinan sebagai aturan yang suci.​—Pkh. 5:4, 5; Ibr. 13:4.

a Dalam rencana ini, kita anggap lelaki ialah pihak yang berzina dan wanita ialah pihak yang tidak bersalah. Namun, seperti yang dicatatkan di Markus 10:11, 12, nasihat Yesus adalah untuk lelaki dan wanita.

b Penjelasan ini merupakan pemahaman yang dikemaskinikan. Dahulu, kita faham bahawa perkahwinan baharu ini akan terus dianggap sebagai perbuatan zina sehinggalah pasangan yang tidak bersalah itu meninggal, berkahwin lagi, atau melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.