Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Perkahwinan​—Asal Usul dan Tujuannya

Perkahwinan​—Asal Usul dan Tujuannya

‘Tuhan Yehuwa berfirman, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.”’​—KEJ. 2:18.

LAGU: 36, 11

1, 2. (a) Bagaimanakah perkahwinan bermula? (b) Apakah yang diketahui oleh pasangan pertama mengenai perkahwinan? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

PERKAHWINAN merupakan sebahagian daripada kehidupan. Dengan mengetahui asal usul dan tujuan perkahwinan, kita akan mempunyai pandangan yang sesuai mengenai perkahwinan dan meraih berkat. Tuhan menciptakan manusia pertama, iaitu Adam, dan memberinya tugas untuk menamakan binatang-binatang. Namun, “tiada satu pun antaranya dapat menjadi teman yang sesuai untuk menolong dia.” Maka, Tuhan menyebabkan Adam tidur nyenyak lalu mengambil satu tulang rusuknya untuk menciptakan wanita. Kemudian, Tuhan membawa wanita itu kepada Adam. (Baca Kejadian 2:20-24.) Maka, Tuhanlah yang mengasaskan perkahwinan.

2 Yesus mengulangi kata-kata Yehuwa, “Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu.” (Mat. 19:4, 5) Oleh sebab Tuhan menggunakan tulang rusuk Adam untuk menciptakan wanita, pasangan manusia yang pertama tahu bahawa hubungan mereka adalah sangat rapat. Maka aturan perceraian, atau memiliki lebih daripada satu teman hidup tidak wujud pada masa itu.

PERKAHWINAN IALAH SEBAHAGIAN TUJUAN YEHUWA

3. Apakah tujuan utama perkahwinan?

3 Adam sangat gembira dengan isterinya dan kemudian menamakannya Hawa. Sebagai “teman” Adam, Hawa akan “menolong dia.” Dengan memainkan peranan sebagai suami dan isteri, mereka akan sentiasa menikmati kebahagiaan. (Kej. 2:18) Tujuan utama perkahwinan adalah untuk memenuhi bumi dengan anak cucu mereka. (Kej. 1:28) Walaupun anak-anak mengasihi ibu bapa, mereka akan meninggalkan ibu bapa apabila berkahwin dan membina rumah tangga sendiri. Manusia akan memenuhi bumi sehingga bumi ini menjadi sebuah firdaus.

4. Apakah yang berlaku kepada perkahwinan pertama?

4 Perkahwinan pertama terjejas kerana Adam dan Hawa memilih untuk mengingkari Yehuwa. “Ular tua,” iaitu Syaitan Si Iblis menipu Hawa dan memujuknya memakan buah daripada “pokok yang memberi pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat.” Syaitan memperdayanya untuk berfikir jika dia makan buah itu, dia akan memperoleh pengetahuan luar biasa sehingga dapat memutuskan apa yang baik dan yang jahat. Hawa tidak membincangkan hal ini dengan suaminya. Oleh itu, dia tidak menghormati ketua keluarganya. Adam pula makan buah yang diberikan oleh Hawa dan mengingkari Tuhan.​—Why. 12:9; Kej. 2:9, 16, 17; 3:1-6.

5. Apakah yang dapat kita pelajari daripada jawapan Adam dan Hawa kepada Yehuwa?

5 Apabila Yehuwa mempersoalkan tindakan mereka, Adam menyalahkan isterinya dengan berkata, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.” Hawa pula menyalahkan ular itu. (Kej. 3:12, 13) Alasan mereka tidak munasabah! Yehuwa menghakimi mereka sebagai pemberontak kerana mengingkari-Nya. Pengalaman ini memang merupakan amaran bagi kita! Untuk menikmati perkahwinan yang berjaya, suami dan isteri harus mentaati Yehuwa dan bertanggungjawab atas tindakan masing-masing.

6. Bagaimanakah anda menjelaskan ayat di Kejadian 3:15?

6 Meskipun pemberontakan berlaku di Taman Eden, Yehuwa menyediakan harapan bagi manusia menerusi nubuat Bible yang pertama. (Baca Kejadian 3:15.) Makhluk roh yang memberontak ini akan diremukkan oleh “keturunan [perempuan itu].” Banyak makhluk roh yang setia berkhidmat kepada Yehuwa dan mempunyai hubungan rapat dengan-Nya. Organisasi di syurga ini digambarkan sebagai isteri-Nya. Tuhan akan menghantar salah satu makhluk roh untuk “meremukkan” Si Iblis dan membantu manusia yang setia untuk menikmati apa yang dihilangkan oleh pasangan pertama, iaitu kehidupan kekal di bumi yang merupakan tujuan asal Yehuwa.​—Yoh. 3:16.

7. (a) Apakah yang berlaku kepada perkahwinan selepas pemberontakan Adam dan Hawa? (b) Apakah nasihat Bible bagi suami dan isteri?

7 Pemberontakan Adam dan Hawa membawa kesan yang besar terhadap perkahwinan mereka dan juga perkahwinan keturunan mereka. Contohnya, Hawa dan semua keturunan perempuan akan mengalami kesakitan semasa hamil dan bersalin. Kaum wanita akan menginginkan suami mereka, dan kaum lelaki akan menguasai isteri mereka, ada kalanya mendera mereka. (Kej. 3:16) Namun, Bible menasihati bahawa para suami harus menjadi kepala keluarga yang pengasih. Manakala para isteri harus tunduk kepada suami mereka. (Ef. 5:33) Oleh sebab suami isteri Kristian bekerjasama, banyak masalah dapat dielakkan.

PERKAHWINAN SEJAK ZAMAN ADAM HINGGA BANJIR

8. Apakah sejarah mengenai perkahwinan dari zaman Adam hingga Banjir?

8 Sebelum meninggal, Adam dan Hawa mempunyai banyak anak lelaki dan perempuan. (Kej. 5:4) Anak pertama mereka, Kain, telah mengahwini salah seorang saudara perempuannya. Keturunan Kain, iaitu Lamekh, merupakan lelaki pertama dalam Bible yang mempunyai dua isteri. (Kej. 4:17, 19) Hanya terdapat segelintir individu yang merupakan penyembah sejati Yehuwa sejak generasi Adam sehingga ke Banjir pada zaman Nuh. Antaranya ialah Habel, Henokh, dan Nuh serta keluarganya. Pada zaman Nuh, Bible menyatakan, “Makhluk-makhluk ilahi nampak bahawa gadis-gadis itu cantik.” Maka, “makhluk-makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka.” Tetapi hal ini tidak sepatutnya berlaku, dan anak mereka menjadi gergasi ganas yang dikenali sebagai Nefilim. Akibatnya, “betapa jahatnya manusia di bumi” dan “fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan.”​—Kej. 6:1-5.

9. Apakah yang dilakukan Yehuwa terhadap orang jahat pada zaman Nuh, dan apakah pengajarannya bagi kita?

9 Yehuwa telah mendatangkan Banjir pada zaman Nuh untuk memusnahkan orang jahat. Pada masa itu, kebanyakan orang sibuk dengan aktiviti harian, termasuklah berkahwin, sehingga mereka tidak mengendahkan amaran yang diberikan oleh “Nuh, seorang lelaki yang menyebarkan apa yang benar.” Nuh memberitahu orang tentang kedatangan Banjir. (2 Ptr. 2:5) Yesus membandingkan keadaan pada zaman Nuh dengan keadaan kita pada hari ini. (Baca Matius 24:37-39.) Dewasa ini, kebanyakan orang menolak berita baik Kerajaan Tuhan yang sedang disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian sebelum akhir tiba. Maka, kita tidak seharusnya membiarkan hal-hal keluarga, seperti perkahwinan dan membesarkan anak, menyebabkan kita lupa akan hari Yehuwa yang semakin mendekat.

PERKAHWINAN SEJAK BANJIR HINGGA ZAMAN YESUS

10. (a) Dalam banyak budaya, apakah tanggapan orang terhadap hubungan seks yang tidak bermoral? (b) Bagaimanakah Abraham dan Sara menetapkan teladan baik menerusi perkahwinan mereka?

10 Walaupun Nuh dan tiga anak lelakinya masing-masing mempunyai seorang isteri, ramai lelaki yang lain mengamalkan poligami. Dalam banyak budaya, hubungan seks yang tidak bermoral dianggap biasa, bahkan menjadi sebahagian daripada upacara agama. Apabila Abram (Abraham) dan isterinya Sarai (Sara) mentaati Yehuwa lalu berpindah ke Kanaan, negeri itu penuh dengan amalan yang tidak menghormati perkahwinan. Oleh itu, Yehuwa memusnahkan kota Sodom dan Gomora kerana penduduknya melakukan amalan seks yang tidak bermoral dan menjijikkan. Abraham merupakan kepala keluarga yang baik dan Sara tunduk kepadanya. (Baca 1 Petrus 3:3-6.) Abraham memastikan bahawa anaknya Ishak mengahwini seorang penyembah Yehuwa. Kemudian, Ishak memastikan bahawa anaknya Yakub juga berbuat demikian. Anak-anak Yakub menjadi nenek moyang kepada 12 suku Israel.

11. Bagaimanakah Hukum Musa melindungi bangsa Israel?

11 Kemudian, Yehuwa membuat perjanjian bersama bangsa Israel. Menerusi Hukum Musa, Yehuwa menetapkan peraturan mengenai perkahwinan, termasuk poligami. Orang Israel dilarang mengahwini penyembah agama palsu. Hal ini adalah untuk melindungi orang Israel secara rohani. (Baca Ulangan 7:3, 4.) Apabila masalah serius terjadi dalam perkahwinan, para pemimpin akan membantu. Terdapat peraturan mengenai pasangan yang tidak setia, perasaan iri hati, dan perasaan syak wasangka. Perceraian dibenarkan menurut syarat tertentu. Contohnya, seorang lelaki boleh menceraikan isterinya kerana terdapat “sesuatu yang tidak disukainya pada isterinya.” (Ul. 24:1) Walaupun Bible tidak menjelaskan ungkapan “apa yang tidak disukainya,” hal ini bukannya isu yang remeh-temeh.​—Im. 19:18b.

TETAP SETIA KEPADA PASANGAN ANDA

12, 13. (a) Pada zaman Maleakhi, bagaimanakah sesetengah lelaki melayan isteri mereka? (b) Pada hari ini, jika seseorang yang telah dibaptis mengadakan hubungan dengan teman hidup orang lain, apakah akibatnya?

12 Pada zaman Nabi Maleakhi, banyak suami Yahudi tidak setia kepada isteri dengan menceraikan mereka atas sebarang alasan. Mereka menceraikan isteri mereka supaya dapat mengahwini wanita yang muda atau wanita kafir. Pada zaman Yesus, lelaki Yahudi masih menceraikan isteri mereka “atas sebarang alasan.” (Mat. 19:3) Tuhan Yehuwa membenci perceraian sedemikian.​—Baca Maleakhi 2:13-16.

13 Hari ini, ketidaksetiaan dalam perkahwinan tidak diterima dalam kalangan umat Yehuwa. Fikirkan contoh ini, seorang Saksi yang sudah berkahwin telah berzina dengan teman hidup orang lain. Kemudian dia bercerai dengan pasangannya supaya dapat berkahwin lagi. Jika dia tidak bertaubat, dia akan disingkirkan agar kebersihan moral sidang dapat dikekalkan. (1 Kor. 5:11-13) Dia harus ‘menunjukkan melalui perbuatannya bahawa dia sudah bertaubat’ sebelum diterima kembali ke dalam sidang. (Luk. 3:8; 2 Kor. 2:5-10) Walaupun tiada jangka masa spesifik yang harus berlalu sebelum dia diterima kembali, tindakannya itu, yang jarang berlaku dalam kalangan umat Tuhan, tidak akan dibiarkan. Sebenarnya, dia mungkin memerlukan satu tahun atau lebih untuk membuktikan bahawa dia bertaubat dengan ikhlas. Walaupun orang itu diterima kembali, dia masih harus “berdiri di hadapan tempat pengadilan Tuhan.”​—Rm. 14:10-12; lihat The Watchtower, terbitan 15 November 1979, muka surat 31-32.

PERKAHWINAN ANTARA ORANG KRISTIAN

14. Secara keseluruhannya, apakah tujuan Hukum Musa?

14 Orang Israel hidup di bawah Hukum Musa selama lebih daripada 1,500 tahun. Hukum tersebut telah banyak membantu umat Tuhan. Sebagai contoh, Hukum Musa memberikan umat Tuhan prinsip-prinsip yang dapat membantu menyelesaikan masalah keluarga. Hukum itu juga membimbing mereka kepada Mesias. (Gal. 3:23, 24) Hukum tersebut berakhir semasa Yesus mati dan Tuhan memulakan pengaturan yang baharu. (Ibr. 8:6) Di bawah pengaturan tersebut, sesetengah perkara yang pernah dibenarkan dalam Hukum Musa tidak lagi dibenarkan.

15. (a) Apakah seharusnya menjadi standard perkahwinan dalam sidang Kristian? (b) Apakah faktor yang harus dipertimbangkan oleh seorang Kristian yang ingin bercerai?

15 Apabila Yesus menjawab soalan mengenai perkahwinan yang ditanya orang Farisi, dia berkata bahawa perceraian yang dibenarkan dalam Hukum Musa sebenarnya “tidak demikian pada mulanya.” (Mat. 19:6-8) Yesus menjelaskan bahawa standard perkahwinan yang ditetapkan di Taman Eden harus menjadi standard perkahwinan bagi semua orang Kristian. (1 Tim. 3:2, 12) Menjadi “satu” bererti pasangan suami isteri harus hidup bersama dan membiarkan kasih kepada Tuhan dan antara satu sama lain untuk mengukuhkan hubungan perkahwinan. Jika seseorang bercerai atas alasan lain dan bukannya kerana perbuatan seks yang tidak bermoral, dia tidak bebas untuk berkahwin semula. (Mat. 19:9) Sudah tentu, seseorang boleh memilih untuk mengampuni pasangan yang telah berzina tetapi sudah bertaubat, seperti Nabi Hosea yang telah mengampuni isterinya, Gomer, yang telah berzina. Hal ini juga menggambarkan bagaimana Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada orang Israel yang telah bertaubat selepas mereka telah melakukan perzinaan secara rohani. (Hos. 3:1-5) Jadi, jika seseorang tahu bahawa pasangannya telah berzina, tetapi memilih untuk meneruskan hubungan intim dengan pasangan yang berbuat salah itu, hal ini bermaksud dia telah mengampuni pasangannya. Maka, tiada lagi apa-apa alasan yang berdasarkan Bible untuk bercerai.

16. Apakah yang dikatakan oleh Yesus tentang hidup bujang?

16 Bagi orang Kristian, Yesus mengatakan bahawa perzinaan merupakan satu-satunya sebab untuk bercerai. Yesus juga menyebut tentang mereka yang dapat hidup bujang. Dia berkata, “Jika seseorang sanggup hidup tanpa berkahwin, biarlah dia tidak berkahwin.” (Mat. 19:10-12) Banyak orang Kristian telah memilih untuk hidup bujang agar dapat berkhidmat kepada Yehuwa tanpa gangguan. Mereka yang berbuat sedemikian patut dipuji.

17. Apakah yang boleh membantu seorang Kristian untuk memutuskan sama ada dia harus berkahwin?

17 Sama ada seseorang ingin hidup bujang atau berkahwin, hal itu merupakan keputusan peribadi. Rasul Paulus menggalakkan kehidupan bujang. Namun dia juga berkata, “Memandangkan begitu ramai orang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, hendaklah setiap lelaki mempunyai isteri sendiri, dan hendaklah setiap wanita mempunyai suami sendiri.” Paulus menambah, “Jika mereka tidak dapat mengawal diri, biarlah mereka berkahwin. Lebih baik berkahwin daripada membiarkan nafsu berahi berkobar-kobar.” Jika seseorang berkahwin, hal itu mungkin dapat membantunya untuk mengelakkan tabiat buruk seperti pelancapan atau perbuatan seksual lain yang disebabkan oleh keinginan seksual yang kuat. Namun, orang bujang juga harus mempertimbangkan sama ada mereka sudah mencapai umur yang sesuai untuk berkahwin. Rasul Paulus berkata lagi, “Jika seseorang yang belum berkahwin berasa bahawa dia tidak dapat mengawal nafsunya, dan jika dia sudah melewati masa remaja, inilah yang harus dilakukan: Biarlah dia melakukan apa yang ingin dilakukannya; dia tidak berdosa. Biarlah mereka berkahwin.” (1 Kor. 7:2, 9, 36; 1 Tim. 4:1-3) Walau bagaimanapun, seseorang tidak seharusnya berkahwin hanya kerana dia mempunyai keinginan seksual yang kuat pada zaman muda. Dia mungkin belum cukup matang untuk memikul tanggungjawab dalam perkahwinan.

18, 19. (a) Apakah syarat bagi perkahwinan orang Kristian? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana yang seterusnya?

18 Perkahwinan orang Kristian seharusnya antara lelaki dan wanita yang sudah membaktikan diri kepada Yehuwa serta mengasihi-Nya dengan sepenuh hati. Mereka seharusnya mencintai satu sama lain sehingga ingin menyatukan kehidupan mereka dengan berkahwin. Sudah tentu, mereka akan diberkati kerana mengikuti nasihat untuk berkahwin dengan “pengikut Tuan kita.” (1 Kor. 7:39) Perkahwinan mereka akan berjaya jika mereka terus mentaati nasihat dalam Bible.

19 Rencana seterusnya akan membincangkan nasihat Bible yang dapat membantu orang Kristian yang telah berkahwin untuk mengatasi cabaran yang dihadapi pada “hari-hari terakhir.” Ramai lelaki dan wanita sekarang tidak mempunyai sifat baik yang diperlukan untuk menjayakan perkahwinan mereka. (2 Tim. 3:1-5) Melalui Bible, Yehuwa telah memberikan apa yang diperlukan agar perkahwinan kita dapat berjaya sambil kita menempuh jalan yang menuju kehidupan kekal.​—Mat. 7:13, 14.