Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 5

Kasih yang Dimiliki Kristus Mendorong Kita

Kasih yang Dimiliki Kristus Mendorong Kita

“Kasih yang dimiliki Kristus menguasai kami, . . . supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri.”​—2 KOR. 5:14, 15.

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

PENGENALAN a

1-2. (a) Apakah mungkin perasaan kita semasa merenungkan kehidupan Yesus dan kerja yang dilakukannya di bumi? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

 SEMASA orang tersayang kita meninggal, kita pasti sangat merinduinya. Pada mulanya, kita mungkin amat sedih dan pilu semasa memikirkan hari-hari sebelum kematiannya, terutamanya jika dia mengalami banyak penderitaan. Namun seraya masa berlalu, kita mungkin mula rasa gembira semasa teringat sesuatu yang pernah diajarkannya, atau sesuatu yang pernah dilakukan atau dikatakannya untuk menggalakkan kita atau membuat kita tersenyum.

2 Semasa musim Peringatan, kita biasanya meluangkan lebih banyak masa untuk merenungkan betapa berharganya pengorbanan Yesus. (1 Kor. 11:24, 25) Kita memang berasa sedih semasa membaca tentang bagaimana Yesus diseksa dan dibunuh. Tetapi kita berasa gembira semasa merenungkan hal-hal yang dilakukan dan dikatakan oleh Yesus semasa di bumi. Kita juga berasa teruja semasa memikirkan apa yang sedang dan akan dilakukan oleh Yesus untuk kita. Apabila kita merenungkan hal-hal ini dan kasih Yesus terhadap kita, kita akan didorong untuk menunjukkan penghargaan menerusi perbuatan kita. Rencana ini akan membincangkan beberapa cara kita dapat berbuat demikian.

PENGHARGAAN MENDORONG KITA UNTUK TERUS MENGIKUT YESUS

3. Mengapakah kita menghargai korban tebusan?

3 Kita rasa bersyukur semasa merenungkan kehidupan dan kematian Yesus. Sepanjang masa Yesus menginjil di bumi, dia mengajar orang tentang berkat-berkat yang akan dibawa oleh Kerajaan Tuhan. Kita sangat menghargai kebenaran yang diajarkan Yesus. Kita bersyukur atas korban tebusan, kerana tebusan membuka jalan bagi kita untuk menjadi sahabat rapat dengan Yehuwa dan Yesus. Orang yang beriman kepada Yesus juga berpeluang untuk hidup selama-lamanya dan berjumpa lagi dengan orang kesayangan yang sudah meninggal. (Yoh. 5:28, 29; Rm. 6:23) Sebenarnya, kita tidak layak menerima berkat-berkat sebegini, dan kita tidak mungkin dapat membalas segala yang dilakukan oleh Tuhan dan Kristus bagi kita. (Rm. 5:8, 20, 21) Namun begitu, kita dapat menunjukkan betapa dalamnya penghargaan kita terhadap mereka. Bagaimana?

Bagaimanakah teladan Maria Magdalena mendorong anda untuk menunjukkan penghargaan? (Lihat perenggan 4-5)

4. Bagaimanakah Maria Magdalena menunjukkan penghargaan atas apa yang telah Yesus lakukan untuknya? (Lihat gambar.)

4 Perhatikan contoh seorang wanita Yahudi yang bernama Maria Magdalena. Dia sangat terseksa kerana dirasuk oleh tujuh roh jahat, dan dia mungkin berfikir tiada sesiapa pun yang dapat membantunya. Bayangkan betapa bersyukurnya Maria semasa Yesus mengusir roh-roh jahat daripadanya! Perasaan syukur telah mendorongnya untuk menjadi pengikut Yesus dan menggunakan masa, tenaga, dan hartanya untuk menyokong Yesus dalam kerja penyebaran. (Luk. 8:1-3) Maria sangat menghargai bantuan Yesus, tetapi dia mungkin tidak sedar bahawa Yesus akan membantunya dalam cara yang lebih mengagumkan pada masa depan. Yesus akan menyerahkan nyawanya demi manusia, “supaya setiap orang yang beriman kepadanya” dapat menikmati kehidupan kekal. (Yoh. 3:16) Walaupun Maria tidak memahami hal itu, dia menunjukkan penghargaannya dengan menjadi pengikut Yesus yang setia. Contohnya, semasa Yesus di tiang seksaan, Maria berada di sampingnya dan memberikan sokongan emosi kepada Yesus dan orang lain. (Yoh. 19:25) Selepas kematian Yesus, Maria dan dua orang wanita lain membawa bahan-bahan wangi untuk pengebumian Yesus. (Mrk. 16:1, 2) Maria diberkati atas kesetiaannya dan diberi penghormatan yang tidak diberikan kepada kebanyakan pengikut Yesus. Selepas Yesus dibangkitkan, Maria berpeluang untuk berjumpa dengannya dan bercakap dengannya.—Yoh. 20:11-18.

5. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kesyukuran atas segala yang dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus untuk kita?

5 Kita dapat menunjukkan kesyukuran kita kepada Yehuwa dan Yesus atas segala yang dilakukan oleh mereka demi kita dengan menggunakan masa, tenaga, dan wang kita untuk melakukan kerja Yehuwa. Sebagai contoh, kita dapat menyertai kerja membina dan menyelenggarakan bangunan teokratik.

KASIH TERHADAP YEHUWA DAN YESUS MENDORONG KITA UNTUK MENGASIHI ORANG LAIN

6. Mengapakah kita boleh berkata bahawa tebusan merupakan hadiah peribadi kepada kita masing-masing?

6 Semasa kita memikirkan betapa dalamnya kasih Yehuwa dan Yesus terhadap kita, kita terdorong untuk membalas kasih mereka. (1 Yoh. 4:10, 19) Kasih kita terhadap mereka bertambah dalam apabila kita sedar bahawa Yesus telah mati untuk setiap seorang daripada kita. Rasul Paulus menyebut tentang hal ini dan meluahkan kesyukurannya semasa dia menulis kepada sidang di Galatia, “[Anak Tuhan] mengasihi aku dan telah menyerahkan dirinya bagi aku.” (Gal. 2:20) Menerusi korban tebusan, Yehuwa telah memimpin anda kepada-Nya supaya anda dapat menjadi sahabat-Nya. (Yoh. 6:44) Tidakkah hati anda tersentuh kerana Yehuwa melihat sesuatu yang baik dalam diri anda dan sanggup membayar harga yang tertinggi supaya anda dapat menjadi sahabat-Nya? Tidakkah hal ini membuat anda semakin mengasihi Yehuwa dan Yesus? Kita boleh menanya diri, “Kasih itu akan mendorong saya untuk melakukan apa?”

Kasih kita terhadap Tuhan dan Kristus mendorong kita untuk mengongsi mesej Kerajaan Tuhan dengan semua orang (Lihat perenggan 7)

7. Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, bagaimanakah kita semua dapat menunjukkan kasih terhadap Yehuwa dan Yesus? (2 Korintus 5:14, 15; 6:1, 2)

7 Apabila kasih terhadap Tuhan dan Kristus menguasai kita, kita akan didorong untuk menunjukkan kasih terhadap orang lain. (Baca 2 Korintus 5:14, 15; 6:1, 2.) Salah satu cara kita melakukannya adalah dengan menginjil dengan bersemangat. Kita mengongsi mesej Bible kepada semua orang yang kita jumpa, tidak kira bangsa, kaum, kekayaan, atau kedudukan mereka. Dengan berbuat demikian, kita sedang melakukan kehendak Yehuwa, kerana Dia ingin “segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.”​—1 Tim. 2:4.

8. Bagaimanakah kita menunjukkan kasih kepada saudara saudari kita?

8 Kita membuktikan bahawa kita mengasihi Tuhan dan Kristus dengan menunjukkan kasih kepada saudara saudari kita. (1 Yoh. 4:21) Contohnya, kita ambil berat terhadap mereka dan menyokong mereka semasa mereka menghadapi kesusahan. Kita melegakan hati mereka semasa mereka kehilangan orang tersayang, melawat mereka semasa mereka sakit, dan melakukan yang terbaik untuk menggalakkan mereka semasa mereka tawar hati. (2 Kor. 1:3-7; 1 Tes. 5:11, 14) Kita juga terus berdoa untuk mereka, kerana kita tahu “doa yang sungguh-sungguh daripada orang yang melakukan apa yang benar sangat berkesan.”​—Yak. 5:16.

9. Apakah satu lagi cara kita menunjukkan kasih kepada saudara saudari kita?

9 Kita juga menunjukkan kasih kepada saudara saudari kita dengan berusaha untuk berdamai dengan mereka. Seperti Yehuwa, kita ingin rela mengampuni. Jika Yehuwa rela mengorbankan Anak-Nya demi dosa kita, tidakkah kita patut rela mengampuni saudara saudari yang berdosa terhadap kita? Janganlah kita menjadi seperti hamba yang jahat dalam perumpamaan Yesus. Tuan kepada hamba itu sudi membatalkan hutangnya yang besar, tetapi hamba itu enggan memaafkan seorang hamba lain yang hanya berhutang sedikit wang dengannya. (Mat. 18:23-35) Jadi, jika timbulnya perselisihan faham antara anda dengan seorang rakan seiman, dapatkah anda mencarinya untuk berdamai sebelum menghadiri Peringatan? (Mat. 5:23, 24) Dengan berbuat demikian, anda menunjukkan bahawa anda sangat mengasihi Yehuwa dan Yesus.

10-11. Bagaimanakah para penatua dapat menunjukkan kasih terhadap Yehuwa dan Yesus? (1 Petrus 5:1, 2)

10 Bagaimanakah para penatua dapat menunjukkan bahawa mereka mengasihi Yehuwa dan Yesus? Salah satu cara yang penting adalah dengan menjaga bebiri Yesus. (Baca 1 Petrus 5:1, 2.) Kita tahu akan hal ini menerusi kata-kata Yesus kepada Rasul Petrus. Selepas menyangkal Yesus tiga kali, Petrus ingin sekali membuktikan bahawa dia sebenarnya mengasihi Yesus. Setelah dibangkitkan, Yesus menanya Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi aku?” Sudah pasti pada masa itu, Petrus sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan bahawa dia mengasihi Yesus. Maka Yesus berkata kepada Petrus, “Hendaklah kamu menggembala anak bebiriku.” (Yoh. 21:15-17) Itulah yang dilakukan Petrus sepanjang hayatnya. Dia membuktikan kasihnya kepada Yesus dengan menjaga biri-birinya dengan penuh kasih sayang.

11 Para penatua, semasa musim Peringatan, bagaimanakah anda dapat membuktikan bahawa kata-kata Yesus kepada Petrus penting bagi anda? Anda dapat menunjukkan betapa dalamnya kasih anda untuk Yehuwa dan Yesus dengan menjalankan kerja penggembalaan dengan lebih aktif dan dengan mencurahkan usaha yang istimewa untuk membantu mereka yang tidak aktif untuk kembali kepada Yehuwa. (Yeh. 34:11, 12) Anda juga dapat menunjukkan minat peribadi terhadap pelajar Bible dan orang baru yang menghadiri Peringatan, dan melakukan apa yang terdaya untuk membuat mereka rasa dialu-alukan. Mudah-mudahan mereka terdorong untuk menjadi pengikut Yesus.

KASIH TERHADAP KRISTUS MENDORONG KITA MENJADI BERANI

12. Jika kita merenungkan kata-kata yang diucapkan oleh Yesus pada malam sebelum kematiannya, bagaimanakah hal itu membantu kita menjadi berani? (Yohanes 16:32, 33)

12 Pada malam sebelum kematiannya, Yesus memberitahu murid-muridnya, “Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu! Aku sudah menakluki dunia.” (Baca Yohanes 16:32, 33.) Apakah yang membantu Yesus menghadapi tentangan dengan berani dan tetap setia sehingga mati? Dia bergantung pada Yehuwa. Yesus tahu bahawa murid-muridnya juga akan menghadapi cabaran seperti yang berlaku kepadanya. Jadi dia meminta Yehuwa untuk menjaga mereka. (Yoh. 17:11) Bagaimanakah kata-kata Yesus membantu kita menjadi berani? Kita diingatkan bahawa Yehuwa lebih kuat daripada semua musuh kita dan Dia melihat segala-galanya. (1 Yoh. 4:4) Jika kita bergantung pada Yehuwa, Dia pasti membantu kita mengatasi rasa takut dan menjadi berani.

13. Bagaimanakah Yusuf dari Arimatea menunjukkan keberanian?

13 Perhatikan contoh Yusuf dari Arimatea. Dia seorang ahli Majlis Orang Yahudi, iaitu mahkamah agung orang Yahudi, dan mempunyai kedudukan yang tinggi. Semasa Yesus menginjil di bumi, Yusuf bukan seorang yang berani. Walaupun dia berminat terhadap mesej Yesus dan merupakan murid Yesus, “dia tidak memberitahu orang lain tentang hal itu kerana dia takut akan orang Yahudi.” (Yoh. 19:38) Barangkali dia takut kehilangan kedudukannya. Namun, selepas kematian Yesus, Yusuf menjadi berani. Bible kata bahawa dia “menghadap Pilatus dan meminta mayat Yesus.” (Mrk. 15:42, 43) Yusuf tidak lagi menyembunyikan identitinya sebagai murid Yesus.

14. Apakah yang patut anda lakukan jika anda bergelut dengan perasaan takut akan manusia?

14 Seperti Yusuf, adakah anda juga takut akan manusia? Di tempat kerja atau di sekolah, adakah anda kadangkala malu untuk memberitahu orang lain bahawa anda seorang Saksi-Saksi Yehuwa? Adakah anda masih belum menjadi seorang penyiar atau dibaptis kerana takut akan pandangan orang lain? Jika ya, janganlah izinkan perasaan sebegitu untuk menghalang anda daripada melakukan apa yang betul. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa dan minta-Nya untuk memberi anda keberanian untuk melakukan kehendak-Nya. Apabila anda melihat bagaimana Yehuwa menjawab doa-doa anda, anda akan menjadi lebih kuat dan lebih berani.​—Yes. 41:10, 13.

SUKACITA MENDORONG KITA UNTUK MENYEMBAH YEHUWA TANPA PUTUS ASA

15. Sukacita yang dirasai murid-murid Yesus setelah melihatnya mendorong mereka untuk melakukan apa? (Lukas 24:52, 53)

15 Semasa Yesus mati, murid-muridnya sangat sedih. Mereka bukan sahaja kehilangan sahabat tersayang mereka, malah berasa seperti hilang harapan. (Luk. 24:17-21) Namun, semasa Yesus menampakkan diri kepada mereka, dia menjelaskan bagaimana penderitaan dan kematiannya sudah dinubuatkan dalam Bible. Dia juga mengamanahkan tugas yang penting kepada mereka. (Luk. 24:26, 27, 45-48) Semasa Yesus kembali ke syurga 40 hari kemudian, kesedihan murid-muridnya sudah berubah menjadi sukacita. Mereka sangat gembira kerana Tuan mereka sudah hidup dan sedia membantu mereka melaksanakan tugas mereka. Sukacita itu mendorong mereka untuk memuji Yehuwa tanpa henti-henti.​—Baca Lukas 24:52, 53; Kis. 5:42.

16. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan murid-murid Yesus?

16 Bagaimanakah kita dapat meniru teladan murid-murid Yesus? Kita dapat menyembah Yehuwa dengan sukacita, bukan sahaja semasa musim Peringatan, tetapi juga sepanjang tahun. Untuk berbuat demikian, kita perlu mengutamakan Kerajaan Tuhan dalam kehidupan kita. Sebagai contoh, ramai saudara saudari mengubah jadual kerja mereka supaya dapat menginjil, menghadiri perjumpaan, dan melakukan penyembahan keluarga secara tetap. Yang lain pula sanggup mengorbankan keselesaan hidup supaya dapat melakukan lebih banyak kerja dalam sidang atau berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. Kita memerlukan ketabahan untuk terus menyembah Yehuwa, tetapi Dia berjanji untuk memberkati kita dengan melimpah jika kita mengutamakan Kerajaan Tuhan dalam kehidupan kita.​—Ams. 10:22; Mat. 6:32, 33.

Sepanjang musim Peringatan, luangkanlah masa untuk merenungkan apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus bagi anda (Lihat perenggan 17)

17. Apakah tekad anda sepanjang musim Peringatan ini? (Lihat gambar.)

17 Kita tidak sabar-sabar untuk menyambut Peringatan kematian Yesus pada hari Selasa, 4 April. Namun, janganlah tunggu sehingga tarikh itu untuk merenungkan kehidupan dan kematian Yesus, serta kasih yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Yesus terhadap kita. Sebaliknya, ambillah setiap kesempatan sepanjang musim Peringatan untuk berbuat demikian. Sebagai contoh, luangkanlah sedikit masa untuk membaca dan merenungkan peristiwa dalam carta “Minggu Terakhir Kehidupan Yesus di Bumi,” yang terdapat di Lampiran B12 dalam Bible Terjemahan Dunia Baharu. Seraya anda berbuat demikian, carilah ayat-ayat Bible yang dapat membantu anda untuk menunjukkan kesyukuran, kasih, keberanian, dan sukacita. Kemudian, kenal pasti cara-cara spesifik anda dapat menunjukkan penghargaan anda. Anda dapat yakin bahawa Yesus akan menghargai segala usaha anda untuk memperingatinya sepanjang musim Peringatan ini.​—Why. 2:19.

LAGU 17 “Aku Rela”

a Semasa musim Peringatan, kita digalakkan untuk merenungkan kehidupan dan kematian Yesus, serta kasih yang ditunjukkan olehnya dan Bapanya terhadap kita. Dengan berbuat demikian, kita akan terdorong untuk menunjukkan penghargaan menerusi perbuatan kita. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat menunjukkan penghargaan terhadap tebusan dan kasih kita terhadap Yehuwa dan Yesus. Rencana ini juga akan membincangkan bagaimana kita dapat menunjukkan kasih terhadap saudara saudari kita, menunjukkan keberanian, dan berkhidmat kepada Tuhan dengan sukacita.