Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apakah Caranya untuk Berdoa agar Didengari Tuhan?

Apakah Caranya untuk Berdoa agar Didengari Tuhan?

Tuhan Yehuwa ialah “Pendengar doa.” (Mazmur 65:2) Kita dapat berdoa kepada-Nya di mana-mana dan pada bila-bila sahaja. Bahkan doa yang diucapkan dalam hati dapat didengari-Nya. Yehuwa mahu kita memanggil-Nya “Bapa.” Sememangnya, Dia ialah Bapa yang terbaik. (Matius 6:9) Yehuwa mengajar kita cara yang betul untuk berdoa.

BERDOA KEPADA TUHAN YEHUWA MELALUI NAMA YESUS

“Bapa akan memberikan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.”​—Yohanes 16:23.

Ayat ini menunjukkan bahawa kita harus berdoa kepada Yehuwa melalui Yesus, dan bukannya melalui santo, malaikat, nenek moyang, gambar, atau patung. Apabila kita berdoa dalam nama Yesus, kita mengakui bahawa Yesus mempunyai peranan yang penting. “Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku,” kata Yesus.—Yohanes 14:6.

BERDOA DARI HATI

“Curahkanlah isi hatimu kepada-Nya.”​—Mazmur 62:8.

Berdoa kepada Yehuwa adalah seperti bercakap kepada seorang bapa yang penyayang. Jadi, kita tidak patut membaca doa atau mengucapkan doa yang dihafal. Sebaliknya, kita patut bercakap kepada-Nya dari hati dengan hormat.

BERDOA SELARAS DENGAN KEHENDAK TUHAN

“Jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak-Nya, Dia mendengarkan kita.”​—1 Yohanes 5:14.

Dalam Bible, Yehuwa memberitahu kita apa yang diingini-Nya dan apa yang akan dilakukan-Nya bagi kita. Hanya doa yang “selaras dengan kehendak-Nya” akan diterima-Nya. Untuk mengetahui kehendak-Nya, kita perlu belajar Bible dan mengenali-Nya. Dengan itu, doa kita akan menyenangkan hati-Nya.

APAKAH YANG BOLEH KITA DOAKAN?

Keperluan Kita. Kita boleh berdoa untuk keperluan seharian kita, seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Kita juga boleh minta kebijaksanaan agar dapat membuat keputusan yang betul dan kekuatan untuk menghadapi cubaan dengan tabah. Kita boleh memohon pengampunan, bantuan, dan lebih banyak iman.​—Lukas 11:3, 4, 13; Yakobus 1:5, 17.

Orang Lain. Ibu bapa berasa gembira semasa anak-anak mereka saling mengasihi. Begitu juga, Yehuwa berasa sukacita apabila anak-anak-Nya di bumi mengasihi satu sama lain. Maka, kita boleh berdoa untuk pasangan kita, ahli keluarga, anak-anak, dan kawan. Bible berkata, “Berdoa untuk satu sama lain.”​—Yakobus 5:16.

Ucapkan Syukur. Bible berkata, “Dia [Pencipta] memberi kamu hujan dari langit dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya. Dia juga memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan kamu, dan memenuhi hati kamu dengan sukacita.” (Kisah 14:17) Berkat daripada Tuhan mendorong kita untuk mengucapkan syukur kepada-Nya melalui doa. Kita juga boleh menunjukkan kesyukuran dengan mentaati Tuhan.​—Kolose 3:15.

BERSABAR DAN TERUS BERDOA

Kadangkala, anda mungkin tawar hati kerana doa anda tidak dijawab dengan serta-merta. Namun, janganlah berfikir bahawa Tuhan tidak peduli tentang anda. Pengalaman-pengalaman berikut menunjukkan pentingnya untuk berdoa dengan gigih.

Steve, yang disebut sebelum ini, berkata, “Doa telah membantu saya bertabah dan tidak putus harapan.” Apakah yang mengubah pandangannya tentang doa? Steve telah belajar Bible dan dia sedar bahawa dia perlu terus berdoa dengan tekun. “Saya sentiasa mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana memberi saya kawan-kawan baik yang selalu menyokong saya,” kata Steve. “Sekarang, saya rasa sangat gembira.”

Jenny yang rasa tidak layak untuk berdoa kepada Tuhan berkata, “Pada saat saya hilang segala harapan dalam hidup, saya merayu kepada Tuhan untuk membantu saya.” Adakah doa membantunya? Jenny berkata, “Semasa berdoa, saya dapat mengubah pandangan saya dan melihat diri dari sudut pandangan Tuhan. Walaupun hati saya selalu menghakimi saya, saya tahu Tuhan tidak akan menyalahkan saya. Saya sedar saya perlu terus melawan perasaan yang negatif dan tidak putus asa.” Apakah hasilnya? “Doa membantu saya sedar bahawa Yehuwa ialah Tuhan, Bapa, dan Sahabat, yang penyayang dan prihatin. Dia tidak akan meninggalkan saya dan akan membantu saya jika saya terus berusaha melakukan kehendak-Nya.”

“Dia ialah jawapan terbaik kepada doa saya,” kata Isabel semasa melihat Gerard yang kurang upaya menikmati hidup

Perhatikan juga pengalaman Isabel. Semasa dia hamil, doktor memberitahu dia bahawa anak dalam rahimnya akan dilahirkan cacat. Ketika itu, Isabel hancur hati. Ada yang bahkan suruh dia gugurkan kandungannya. Isabel berkata, “Hati saya begitu pilu sehingga saya rasa mahu mati.” Apakah yang dilakukannya? Isabel terus memohon kekuatan daripada Tuhan. Walaupun anaknya Gerard kurang upaya, adakah Isabel rasa bahawa Tuhan menjawab doanya? Ya. Mengapa? “Sekarang, anak saya sudah berumur 14 tahun. Walaupun dia kurang upaya, dia dapat menikmati hidup,” kata Isabel. “Dia ialah jawapan terbaik kepada doa saya, dan berkat yang terbesar daripada Tuhan Yehuwa.”

Luahan sebegini mengingatkan kita tentang kata-kata ini: “Ya Yehuwa, Engkau akan mendengarkan rayuan orang yang rendah hati. Engkau akan mempedulikan seruan mereka dan meneguhkan hati mereka.” (Mazmur 10:17) Tidakkah kita terdorong untuk terus berdoa dengan tabah?

Bible juga mencatatkan doa-doa Yesus. Doa yang paling terkenal ialah doa contoh yang diajarkan Yesus kepada muridnya. Apakah yang dapat kita belajar daripada doa itu?