Markus 2:1-28

  • 2 Lelaki lumpuh disembuhkan (1-12)

  • Yesus memanggil Lewi (13-17)

  • Soalan tentang puasa (18-22)

  • Yesus, ‘Tuan hari Sabat’ (23-28)

2  Beberapa lama kemudian, Yesus balik ke Kapernaum dan orang mendapat tahu bahawa dia ada di rumah.  Akibatnya ramai orang berkumpul di situ sehingga dekat pintu pun tidak ada tempat. Lalu Yesus mula menyebarkan firman Tuhan kepada mereka.  Kemudian, empat orang lelaki mengusung seorang lelaki yang lumpuh kepada Yesus.  Tetapi mereka tidak dapat membawanya terus kepada Yesus kerana di situ terdapat ramai orang. Jadi mereka membuka bumbung dan membuat lubang di atas tempat Yesus berada, lalu menurunkan orang lumpuh itu yang berbaring di atas usungannya.  Semasa Yesus melihat iman mereka, dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Hai anakku, dosamu sudah diampunkan.”  Beberapa jurutulis hukum yang duduk di situ berfikir,  “Mengapakah dia berkata demikian? Dia sedang menghina Tuhan. Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa kecuali Tuhan.”  Tetapi dengan serta-merta, Yesus mengetahui apa yang sedang difikirkan oleh mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal sebegini?  Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah, angkat usunganmu, dan berjalanlah’? 10  Namun, untuk membuktikan kepada kamu bahawa Anak manusia mempunyai kuasa di bumi untuk mengampunkan dosa—” dia berkata kepada orang lumpuh itu, 11  “Aku berkata kepadamu: Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.” 12  Lelaki itu pun bangun. Dengan serta-merta dia mengangkat usungannya dan berjalan keluar di hadapan mereka semua. Orang ramai berasa sangat kagum lalu memuliakan Tuhan. Mereka berkata, “Kami belum pernah melihat hal sebegini.” 13  Sekali lagi, Yesus pergi ke tepi tasik. Semua orang datang kepadanya dan dia mula mengajar mereka. 14  Semasa dia meneruskan perjalanannya, dia nampak Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.” Dia pun berdiri dan mengikut Yesus. 15  Semasa Yesus makan di rumah Lewi, ramai pemungut cukai dan pendosa yang mengikut Yesus datang dan makan bersama Yesus dan murid-muridnya. 16  Apabila jurutulis hukum daripada golongan Farisi nampak bahawa dia sedang makan bersama pendosa dan pemungut cukai, mereka bertanya kepada murid-muridnya, “Adakah dia makan bersama pemungut cukai dan pendosa?” 17  Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit. Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.” 18  Murid-murid Yohanes dan orang Farisi sering berpuasa. Oleh itu, mereka datang dan bertanya kepada Yesus, “Mengapakah murid-murid Yohanes dan murid-murid orang Farisi sering berpuasa, tetapi murid-muridmu tidak berpuasa?” 19  Yesus menjawab, “Semasa pengantin lelaki ada bersama sahabat-sahabatnya, perlukah mereka berpuasa? Tentu tidak! Selagi pengantin lelaki ada bersama mereka, mereka tidak boleh berpuasa. 20  Tetapi masanya akan tiba apabila pengantin lelaki diambil daripada mereka. Pada waktu itulah mereka akan berpuasa. 21  Tiada orang yang mengambil kain baru untuk menampal pakaian yang lama. Jika dia berbuat demikian, kain baru itu akan mengecut dan mengakibatkan koyakan yang lebih besar pada pakaian lama itu. 22  Demikian juga, orang tidak akan menyimpan wain baru dalam kirbat lama. Jika tidak, kirbat akan pecah, wain akan tumpah, dan kirbat itu pun tidak dapat digunakan lagi. Sebaliknya orang selalu menyimpan wain baru dalam kirbat baru.” 23  Pada suatu hari Sabat, Yesus lalu di ladang gandum. Sambil berjalan, murid-muridnya mula memetik bulir gandum. 24  Jadi orang Farisi berkata kepadanya, “Lihatlah! Mengapakah mereka melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat?” 25  Dia berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan anak-anak buahnya lapar dan kehabisan makanan? 26  Tidakkah kamu membaca kisah ketua imam Abiatar tentang bagaimana Daud memasuki rumah Tuhan, memakan roti yang sudah dipersembahkan kepada Tuhan, lalu memberikan roti itu kepada anak-anak buahnya? Sebenarnya, tiada sesiapa pun yang berhak memakan roti itu kecuali para imam.” 27  Maka dia berkata kepada mereka, “Tuhan menetapkan hari Sabat untuk manusia, dan bukannya menjadikan manusia untuk mematuhi hari Sabat. 28  Lagipun Anak manusia ialah Tuan yang berkuasa ke atas hari Sabat.”

Nota Kaki