Markus 9:1-50

  • Rupa Yesus berubah (1-13)

  • Anak yang dirasuk disembuhkan (14-29)

    • Tiada yang mustahil jika beriman (23)

  • Kematian Yesus dinubuatkan sekali lagi (30-32)

  • Bertengkar tentang siapa yang terbesar (33-37)

  • Yang tidak melawan kita berpihak kepada kita (38-41)

  • Batu sandungan (42-48)

  • “Memiliki garam dalam diri” (49, 50)

9  Dia berkata lagi kepada mereka, “Ketahuilah: Beberapa orang yang berdiri di sini tidak akan mati selagi mereka tidak melihat Kerajaan Tuhan memerintah dengan penuh kuasa.”  Enam hari kemudian, Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes ke atas sebuah gunung yang tinggi. Hanya mereka berempat berada di situ. Rupa Yesus berubah di depan mereka,  dan jubah luarnya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi yang dapat membasuh kain sehingga menjadi lebih putih daripada itu.  Elia dan Musa juga muncul di depan mereka dan berbual-bual dengan Yesus.  Maka Petrus berkata kepada Yesus, “Rabbi, kami berasa sangat gembira kerana dapat berada di sini. Biarlah kami mendirikan tiga buah khemah: Satu untukmu, satu untuk Musa, dan satu untuk Elia.”  Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakan, kerana mereka berasa agak takut.  Kemudian, sekepul awan terbentuk dan meliputi mereka. Kedengaran suara dari awan itu yang berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah dia.”  Namun semasa mereka memandang di sekeliling, mereka tidak nampak sesiapa pun kecuali Yesus.  Semasa mereka turun dari gunung, dia melarang mereka daripada memberitahu sesiapa pun tentang apa yang telah dilihat oleh mereka sehingga Anak manusia telah dibangkitkan daripada kematian. 10  Maka mereka tidak memberitahu sesiapa pun tentang hal itu. Tetapi semasa mereka bersendirian, mereka membincangkan apa yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia mengatakan bahawa dia akan dibangkitkan daripada kematian. 11  Kemudian mereka bertanya, “Mengapakah para jurutulis hukum mengatakan bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?” 12  Dia menjawab, “Elia memang akan datang terlebih dahulu dan memulihkan segala sesuatu. Namun mengapakah ada tertulis bahawa Anak manusia mesti mengalami banyak penderitaan dan dihina? 13  Aku berkata kepada kamu: Sebenarnya Elia sudah datang. Seperti yang tertulis tentang dia, mereka memperlakukannya dengan sesuka hati.” 14  Semasa mereka pergi kepada murid-murid yang lain, mereka mendapati murid-murid itu dikelilingi ramai orang. Para jurutulis hukum sedang berdebat dengan mereka. 15  Sebaik sahaja orang ramai nampak Yesus, mereka terkejut lalu berlari untuk menemuinya. 16  Oleh itu dia bertanya kepada mereka, “Kamu sedang berdebat dengan mereka tentang apa?” 17  Salah seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, aku membawa anak lelakiku kepada Guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. 18  Setiap kali roh jahat itu menyerangnya, anakku akan dihempaskan ke tanah. Mulutnya akan berbuih-buih dan dia akan menggertakkan giginya serta menjadi lemah. Aku meminta murid-muridmu mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” 19  Yesus berkata kepada mereka, “Hai generasi yang tidak beriman. Berapa lamakah aku mesti terus bersama kamu? Berapa lamakah aku mesti bersabar dengan kamu? Bawalah dia kepadaku.” 20  Maka mereka membawa budak lelaki itu kepadanya. Tetapi sebaik sahaja roh itu nampak Yesus, roh itu menyebabkan budak itu terkejang-kejang dan menggigil, lalu jatuh terguling-guling di tanah. Mulutnya juga berbuih. 21  Maka Yesus bertanya kepada bapa budak itu, “Sudah berapa lama hal ini berlaku kepadanya?” Dia menjawab, “Sejak kecil lagi. 22  Roh itu sering membuangnya ke dalam api dan air untuk membunuhnya. Tetapi jika Guru dapat menyembuhkannya, kasihanilah kami dan tolonglah kami.” 23  Yesus berkata kepada dia, “Mengapakah kamu berkata, ‘Jika Guru dapat’? Tiada apa-apa yang mustahil bagi orang yang beriman.” 24  Bapa budak kecil itu segera berseru, “Aku beriman! Bantulah aku untuk menguatkan imanku!” 25  Yesus nampak bahawa orang ramai sedang berlari ke arah mereka. Maka dia menegur roh jahat itu, “Roh bisu dan pekak, aku memerintahkan kamu agar keluar daripada budak ini dan jangan memasukinya lagi!” 26  Roh jahat itu menjerit dengan kuat dan menyebabkan budak itu menggigil dan terkejang-kejang. Selepas roh itu keluar, budak itu terbaring seolah-olah sudah mati. Maka kebanyakan orang di situ berkata, “Dia sudah mati!” 27  Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolongnya bangun. Maka dia pun berdiri. 28  Kemudian, Yesus masuk ke dalam sebuah rumah. Semasa tiada orang lain di situ, murid-muridnya bertanya kepadanya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” 29  Dia menjawab, “Roh jahat sebegitu hanya dapat diusir dengan doa.” 30  Kemudian mereka meninggalkan tempat itu dan lalu di Galilea. Yesus tidak mahu orang lain mengetahui di mana dia berada, 31  kerana dia sedang mengajar murid-muridnya. Dia berkata kepada mereka, “Anak manusia akan dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan musuhnya lalu dibunuh. Walaupun mereka membunuhnya, tiga hari kemudian dia akan bangkit daripada kematian.” 32  Namun, mereka tidak memahami kata-katanya, dan mereka tidak berani bertanya kepadanya. 33  Mereka pun tiba di Kapernaum. Ketika dia berada di dalam rumah, dia bertanya kepada mereka, “Semasa dalam perjalanan tadi, kamu semua bertengkar tentang apa?” 34  Mereka diam sahaja kerana dalam perjalanan, mereka bertengkar tentang siapa antara mereka yang lebih besar. 35  Jadi dia duduk dan memanggil 12 orang rasulnya lalu berkata kepada mereka, “Jika sesiapa ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi yang terakhir dan menjadi hamba kepada semua.” 36  Selepas itu, dia memanggil seorang anak kecil dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka. Yesus meletakkan tangannya di atas bahu anak itu dan berkata kepada mereka, 37  “Sesiapa yang menerima seorang anak kecil seperti ini demi namaku menerima aku, dan sesiapa yang menerima aku, tidak menerima aku sahaja, tetapi juga menerima Dia yang mengutus aku.” 38  Yohanes berkata kepadanya, “Guru, kami nampak seseorang yang menggunakan nama Guru untuk mengusir roh jahat. Kami cuba menghalangnya kerana dia bukan salah seorang daripada kita.” 39  Tetapi Yesus berkata, “Janganlah halang dia kerana tiada orang yang dapat bercakap buruk tentang aku sejurus selepas melakukan mukjizat dengan menggunakan namaku. 40  Sesiapa yang tidak melawan kita sedang berpihak kepada kita. 41  Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang memberi kamu secawan air untuk diminum kerana kamu milik Kristus tidak akan kehilangan ganjarannya. 42  Tetapi bagi sesiapa yang menyebabkan salah seorang muridku yang bagaikan anak kecil tersandung, lebih baik jika batu kisar besar yang ditarik oleh keldai digantung pada lehernya lalu dia dibuang ke dalam laut. 43  “Jika sebelah tangan kamu membuat kamu tersandung, potonglah tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan dan menerima kehidupan daripada memiliki dua tangan tetapi dibuang ke dalam Gehena,* ke dalam api yang tidak dapat dipadamkan. 44 * —— 45  Jika sebelah kaki kamu membuat kamu tersandung, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah kaki dan menerima kehidupan daripada memiliki dua kaki tetapi dibuang ke dalam Gehena.* 46 * —— 47  Begitu juga, jika sebelah mata kamu membuat kamu tersandung, cungkillah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata dan menerima kehidupan daripada memiliki dua belah mata tetapi dibuang ke dalam Gehena.* 48  Ulat di sana tidak mati dan api di sana tidak padam.  49  “Sebagaimana garam ditaburkan ke atas makanan, begitulah Tuhan akan menurunkan api ke atas semua orang.* 50  Garam itu baik, tetapi jika garam hilang rasa masinnya, apakah yang akan kamu gunakan untuk memulihkan rasanya? Maka hendaklah kamu memiliki garam dalam diri kamu, dan teruslah berdamai dengan satu sama lain.”

Nota Kaki

Lihat Daftar Kata.
Ayat ini tidak terdapat dalam beberapa naskhah kuno dan nampaknya bukan sebahagian daripada Ayat-Ayat Suci yang diilhami.
Lihat Daftar Kata.
Ayat ini tidak terdapat dalam beberapa naskhah kuno dan nampaknya bukan sebahagian daripada Ayat-Ayat Suci yang diilhami.
Lihat Daftar Kata.
Iaitu, mereka yang dibuang ke dalam Gehena.