Markus 1:1-45

  • Perkhabaran Yohanes Pembaptis (1-8)

  • Pembaptisan Yesus (9-11)

  • Yesus digoda Syaitan (12, 13)

  • Yesus mula menginjil di Galilea (14, 15)

  • Murid-murid pertama dipanggil (16-20)

  • Roh jahat diusir (21-28)

  • Ramai orang di Kapernaum disembuhkan (29-34)

  • Berdoa di tempat sunyi (35-39)

  • Pesakit kusta disembuhkan (40-45)

1  Inilah permulaan berita baik tentang Yesus Kristus, iaitu Anak Tuhan:  Seperti yang ditulis oleh nabi Yesaya, “(Lihatlah! Aku akan menghantar utusan-Ku di hadapanmu. Dia akan membuka jalan bagimu.)  Seseorang sedang berseru di padang belantara, ‘Hendaklah kamu menyediakan jalan bagi Yehuwa! Luruskanlah jalan bagi-Nya.’”  Demikianlah Yohanes Pembaptis tiba di padang belantara. Dia menyebarkan berita bahawa orang perlu dibaptis* sebagai lambang mereka sudah bertaubat. Dengan ini dosa mereka akan diampunkan.  Oleh itu, semua orang Yudea dan semua penduduk Yerusalem datang menemuinya. Mereka mengakui dosa di hadapan umum dan dibaptis* olehnya di Sungai Yordan.  Pakaian Yohanes diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya diperbuat daripada kulit, manakala makanannya ialah belalang dan madu hutan.  Dia menyebarkan berita ini: “Selepas aku, seseorang yang lebih berkuasa daripada aku akan datang. Aku tidak layak untuk membongkok dan membuka tali kasutnya.  Aku membaptis kamu dengan air, tetapi dia akan membaptis kamu dengan daya aktif Tuhan.”  Pada waktu itu, Yesus datang dari Nasaret di Galilea dan dibaptis oleh Yohanes dalam Sungai Yordan. 10  Sebaik sahaja Yesus keluar dari air, dia nampak langit terbuka dan daya aktif Tuhan turun seperti burung merpati ke atasnya. 11  Kemudian, kedengaran suara dari langit yang berkata, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadamu.” 12  Yesus segera dipimpin oleh daya aktif Tuhan ke padang belantara. 13  Dia berada di padang belantara selama 40 hari bersama binatang-binatang liar. Dia digoda oleh Syaitan, tetapi selepas itu para malaikat datang untuk melayaninya. 14  Selepas Yohanes ditangkap, Yesus pergi ke Galilea untuk menyebarkan berita baik daripada Tuhan. 15  Dia berkata, “Masa yang ditetapkan telah tiba dan Kerajaan Tuhan sudah dekat. Bertaubatlah dan percayalah kepada berita baik daripada Tuhan.” 16  Ketika Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, dia nampak dua orang nelayan, iaitu Simon dan saudara kandungnya Andreas. Mereka sedang menebarkan jala ke dalam tasik. 17  Maka Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah aku, dan aku akan menjadikan kamu penjala manusia.” 18  Dengan serta-merta, mereka meninggalkan jala lalu mengikutnya. 19  Yesus meneruskan perjalanannya lalu nampak Yakobus anak Zebedeus dan saudara kandungnya Yohanes. Mereka sedang membaiki jala dalam perahu mereka. 20  Tanpa berlengah-lengah dia memanggil mereka, maka mereka meninggalkan bapa mereka, iaitu Zebedeus, dalam perahu bersama para pekerja lalu mengikut Yesus. 21  Kemudian mereka pergi ke Kapernaum. Sebaik sahaja hari Sabat bermula, dia pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar. 22  Orang di situ sangat kagum dengan cara dia mengajar, kerana dia mengajar mereka sebagai seorang yang berwibawa dan bukan seperti para jurutulis hukum. 23  Pada masa itu, terdapat seorang lelaki di rumah ibadat yang dirasuk roh jahat. Dia berteriak, 24  “Apa kena-mengena kami denganmu, hai Yesus orang Nasaret? Adakah kamu datang untuk membinasakan kami? Aku tahu siapa kamu. Kamu Hamba Suci Tuhan!” 25  Yesus menegur roh jahat itu dan berkata, “Diamlah, dan keluarlah daripada orang ini!” 26  Roh jahat itu membuat lelaki tersebut menggigil dan terkejang-kejang. Roh jahat itu kemudiannya menjerit dengan sekuat hati lalu keluar. 27  Orang di situ sangat hairan dan mula berbincang sesama sendiri. Mereka berkata, “Apakah ajaran baru ini? Dia berkuasa untuk mengusir roh-roh jahat dan mereka patuh kepadanya.” 28  Dengan cepat, berita tentangnya tersebar luas ke seluruh kawasan Galilea. 29  Selepas itu mereka meninggalkan rumah ibadat lalu pergi ke rumah Simon dan Andreas. Yakobus dan Yohanes juga mengikut mereka. 30  Pada masa itu, ibu mentua Simon berbaring di tempat tidur kerana demam. Oleh itu, mereka segera memberitahu Yesus tentang hal itu. 31  Yesus menghampiri ibu mentua Simon lalu memegang tangannya dan membantu dia bangun. Demamnya pun hilang dan dia mula melayani mereka. 32  Pada lewat petang, selepas matahari terbenam, orang mula membawa sesiapa sahaja yang sakit dan dirasuk roh jahat kepadanya. 33  Semua penduduk kota berkumpul di pintu rumah itu, 34  lalu Yesus menyembuhkan ramai orang yang menghidap pelbagai penyakit dan mengusir banyak roh jahat. Dia tidak mengizinkan roh-roh jahat untuk mengatakan apa-apa, kerana mereka tahu bahawa dia ialah Kristus. 35  Pada awal pagi ketika hari masih gelap, Yesus bangun dan keluar. Dia pergi ke suatu tempat yang sunyi dan mula berdoa. 36  Tetapi Simon dan murid-murid yang lain mencarinya di merata tempat. 37  Selepas mereka menemuinya, mereka berkata, “Semua orang sedang mencari Guru.” 38  Dia berkata kepada mereka, “Marilah kita pergi ke tempat lain, ke pekan-pekan yang berhampiran. Aku hendak menyebarkan berita baik di sana juga, kerana itulah sebabnya aku datang.” 39  Maka dia pergi ke seluruh kawasan Galilea untuk menyebarkan berita baik di rumah-rumah ibadat dan mengusir roh-roh jahat. 40  Kemudian, seorang pesakit kusta datang lalu berlutut di hadapannya. Dia merayu, “Jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.” 41  Yesus mengasihaninya lalu menghulurkan tangannya dan menyentuh lelaki itu sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” 42  Dengan serta-merta penyakit kustanya hilang, dan dia pun sembuh. 43  Sebelum menyuruhnya pergi, Yesus memberi dia amaran tegas yang berikut: 44  “Jangan beritahu sesiapa pun tentang hal ini. Pergilah berjumpa dengan imam. Kemudian, persembahkanlah korban mengikut arahan dalam Hukum Musa untuk membuktikan kepada para imam bahawa kamu sudah sembuh.” 45  Tetapi selepas lelaki itu beredar dari sana, dia asyik bercakap tentang peristiwa itu dan menyebarkannya ke merata tempat. Oleh itu, Yesus tinggal di tempat yang sunyi kerana dia tidak dapat masuk ke dalam kota secara terbuka. Namun demikian, orang ramai dari pelbagai tempat masih datang kepadanya.

Nota Kaki

Atau “dibenamkan.”
Atau “dibenamkan.”