Lompat ke kandungan

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Menolak Vaksinasi?

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Menolak Vaksinasi?

 Tidak. Saksi-Saksi Yehuwa tidak menolak vaksinasi. Kami menganggap vaksinasi sebagai satu keputusan peribadi yang harus dibuat oleh setiap orang. Ramai Saksi-Saksi Yehuwa memilih untuk menerima vaksin.

 Kami berusaha mendapatkan rawatan perubatan yang baik. Kami juga menghargai kemajuan dalam bidang perubatan untuk mengurangkan risiko penyakit yang serius. Kami bersyukur atas kerja keras para pakar perubatan, terutamanya semasa krisis melanda.

 Saksi-Saksi Yehuwa memberikan kerjasama kepada para pegawai kesihatan. Contohnya, sejak bermulanya pandemik COVID-19, Saksi-Saksi Yehuwa telah menerbitkan peringatan dalam ratusan bahasa dalam laman web ini bagi menggalakkan orang untuk mematuhi arahan keselamatan tempatan. Antaranya termasuklah pentingnya mengekalkan penjarakan fizikal dan mematuhi peraturan keselamatan dalam soal perhimpunan awam, kuarantin, pencucian tangan, dan penggunaan pelitup muka serta langkah-langkah praktikal lain yang diwajibkan atau dicadangkan oleh pihak berkuasa.—Roma 13:1, 2.

 Selama puluhan tahun, bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa telah menekankan prinsip-prinsip berikut:

  •   Keputusan mengenai rawatan perubatan merupakan hal peribadi.—Galatia 6:5.

     “[Majalah ini] tidak mengesyorkan mana-mana ubat atau rawatan dan tidak memberikan nasihat perubatan. Tujuannya hanyalah untuk menyatakan fakta dan membiarkan pembaca membuat pertimbangan dan keputusan sendiri.”—Awake! terbitan 8 Februari 1987.

     “Soal sama ada anda dan anak-anak anda patut menerima vaksin atau tidak merupakan keputusan peribadi.”—Awake! terbitan 22 Ogos 1965.

  •   Kami mendapatkan rawatan perubatan kerana kami sangat menghargai nyawa.—Kisah 17:28.

     “Para Saksi memanfaatkan bantuan pelbagai pakar perubatan semasa mereka menghadapi masalah kesihatan. Mereka sangat menghargai nyawa dan akan melakukan apa yang terdaya dan yang selaras dengan ajaran Bible untuk memanjangkan nyawa mereka.”—The Watchtower terbitan 1 Julai 1975.

     “Saksi-Saksi Yehuwa rela menerima ubat dan rawatan perubatan. Mereka ingin tetap sihat dan berumur panjang. Seperti Lukas, seorang Kristian pada abad pertama, sesetengah Saksi-Saksi Yehuwa juga merupakan doktor. . . . Saksi-Saksi Yehuwa memang menghargai kerja keras mereka yang memberikan rawatan perubatan. Para Saksi juga berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh orang-orang tersebut untuk meringankan penyakit mereka.”—The Watchtower terbitan 1 Februari 2011.