Lompat ke kandungan

Apakah Pandangan Saksi-Saksi Yehuwa tentang Pendidikan?

Apakah Pandangan Saksi-Saksi Yehuwa tentang Pendidikan?

 Pandangan kami tentang pendidikan dibimbing oleh prinsip-prinsip Bible. Setiap Saksi akan membuat keputusan berdasarkan hati nuraninya yang dilatih oleh prinsip-prinsip Bible. Marilah kita membincangkan beberapa prinsip itu. a

 Pendidikan amat penting

 Pendidikan membantu seseorang untuk memiliki “hikmat dan pengertian,” dan Bible menitikberatkan hal ini. (Amsal 2:​10, 11; 3:​21, 22) Selain itu, Yesus mengatakan bahawa para pengikutnya harus mengajar orang lain. (Matius 28:19, 20) Maka, kami membantu dan menggalakkan mereka dalam sidang kami untuk mendapatkan pendidikan asas, seperti mengasah kemahiran membaca, menulis, dan berkomunikasi, b serta menimba pengetahuan tentang agama dan budaya yang lain.​—1 Korintus 9:​20-​22; 1 Timotius 4:​13.

 Pihak kerajaan juga menitikberatkan pendidikan dan mewajibkan orang muda untuk menerima pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah. Kami mematuhi undang-undang ini kerana Bible menyatakan, “Setiap orang harus taat kepada pihak berkuasa.” (Roma 13:1) Tambahan lagi, kami menggalakkan anak-anak kami untuk belajar dengan rajin dan tidak bersikap sambil lewa dalam hal-hal pendidikan. c Hal ini demikian kerana Firman Tuhan menyatakan, “Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah kamu melakukannya untuk Tuhan dan bukan untuk manusia.”​—Kolose 3:​23, Alkitab Berita Baik.

 Pendidikan membantu kami menampung kehidupan keluarga. Menurut Bible, “jika sesiapa tidak menyediakan keperluan orang di bawah jagaannya, terutamanya anggota rumah tangganya, dia sudah menyangkal iman dan lebih teruk daripada orang yang tidak beriman.” (1 Timotius 5:8) Pendidikan sekular dapat membantu kami mematuhi hukum Tuhan untuk menjaga keperluan keluarga kami. Seperti yang dinyatakan dalam The World Book Encyclopedia, tujuan utama pendidikan adalah untuk “membolehkan orang untuk menjadi insan yang berguna dalam masyarakat . . . yang dapat menyumbang kepada ekonomi.” Seseorang yang mempunyai pendidikan dan kemahiran dapat menampung kehidupan keluarganya dengan lebih baik berbanding seseorang yang tidak mempunyai kemahiran atau pendidikan yang asas.​—Amsal 22:29.

 Ibu bapa juga perlu menyediakan anak-anak mereka untuk menghadapi masa depan, dan pendidikan formal ialah salah satu cara mereka dapat berbuat demikian. (2 Korintus 12:14) Meskipun sesetengah negara tidak memberikan pendidikan secara percuma dan sesetengah budaya tidak mementingkan pendidikan, kami masih menggalakkan ibu bapa untuk memberikan pendidikan formal kepada anak-anak mereka. d Kami juga memberikan nasihat-nasihat yang bernas tentang bagaimana ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka dari segi pendidikan. e

 Berpandangan seimbang tentang pendidikan

 Kami memilih pendidikan dengan cermat. Bible menyatakan, “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.” (Amsal 14:15) Kami menerapkan prinsip ini dengan mempertimbangkan semua pilihan pendidikan lanjutan (iaitu, pendidikan selepas sekolah menengah) dengan sebaik-baiknya, dan mengira perbelanjaan bagi setiap pilihan. Contohnya, latihan vokasional biasanya tidaklah terlalu mahal dan tidak memakan masa yang lama.

 Pendidikan rohani lebih bernilai daripada pendidikan sekular. Tidak seperti pendidikan sekular, pendidikan rohani yang berdasarkan Bible dapat membekalkan pengetahuan daripada Tuhan yang dapat memelihara nyawa seseorang. (Yohanes 17:3) Pendidikan rohani juga mengajarkan nilai-nilai moral agar seseorang dapat memahami “apa yang benar, adil, dan saksama.” (Amsal 2:9) Rasul Paulus pernah menerima pendidikan tinggi yang disamakan dengan pendidikan universiti hari ini, tetapi dia mengakui bahawa ‘pengetahuan tentang Kristus Yesus jauh lebih bernilai.’ (Filipi 3:8; Kisah 22:3) Demikian juga, banyak Saksi-Saksi Yehuwa pernah melanjutkan pelajaran, tetapi mereka mengakui bahawa pendidikan rohani jauh lebih bernilai. f

Pendidikan rohani mengajarkan nilai-nilai moral yang baik

 Pendidikan tinggi dapat mendatangkan bahaya moral dan rohani

 Bible menyatakan, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.” (Amsal 22:3) Saksi-Saksi Yehuwa berasa bahawa persekitaran dalam sesetengah universiti atau institusi pendidikan tinggi dapat mendatangkan bahaya moral dan rohani. Itulah sebabnya banyak Saksi atau anak-anak mereka memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran di tempat-tempat sebegini. Mereka berasa bahawa institusi pendidikan tinggi selalu menggalakkan idea-idea salah yang berikut:

  •   Duit membawa kebahagiaan dan keselamatan

     Banyak orang berfikir bahawa pendidikan tinggi ialah jaminan untuk mendapatkan kerja yang bergaji lumayan. Maka tujuan utama banyak orang pergi ke universiti adalah untuk menjadi kaya. Ada yang berharap bahawa duit akan membawa kebahagiaan dan keselamatan, tetapi Bible menunjukkan bahawa pemikiran sedemikian salah sama sekali. (Pengkhutbah 5:10) Yang terpenting, Bible juga mengajarkan bahawa “sikap cinta akan wang ialah akar kepada segala macam kejahatan” dan dapat membuat seseorang kehilangan iman. (1 Timotius 6:​10) Maka Saksi-Saksi Yehuwa berusaha untuk menjauhkan diri daripada “tipu daya kekayaan.”​—Matius 13:22.

  •   Orang yang berpendidikan tinggi akan mempunyai kedudukan sosial yang tinggi dan disegani orang

     Contohnya, Nika Gilauri, bekas perdana menteri Georgia, pernah menulis, “Di Georgia, banyak orang menganggap ijazah universiti sebagai tanda status mereka. . . . [Pada zaman dahulu,] orang muda yang tidak mempunyai ijazah akan memalukan keluarga mereka.” g Tetapi, Bible menasihati orang agar tidak mengejar kemasyhuran dan kedudukan dalam dunia ini. Yesus pernah berkata kepada para pemimpin agama yang mengejar kemasyhuran, “Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada aku jika kamu suka menerima kemuliaan daripada satu sama lain?” (Yohanes 5:44) Pendidikan tinggi menggalakkan orang untuk bersikap angkuh, dan sikap ini dibenci oleh Tuhan.​—Amsal 6:​16, 17; 1 Petrus 5:5.

  •   Setiap orang berhak menentukan apa yang betul dan apa yang salah

     Saksi-Saksi Yehuwa menerima piawaian Tuhan tentang apa yang betul dan apa yang salah. (Yesaya 5:​20) Namun menurut sebuah rencana yang diterbitkan dalam Journal of Alcohol and Drug Education, tekanan rakan sebaya di universiti menyebabkan banyak pelajar “membuat keputusan yang bercanggah dengan pendirian mereka tentang apa yang betul dan salah.” h Petikan ini membuktikan bahawa kata-kata Bible berikut memang betul: “Pergaulan yang buruk merosakkan akhlak yang baik.” (1 Korintus 15:33) Di universiti, perbuatan yang dikutuk oleh Tuhan, seperti kemabukan, penggunaan dadah, dan hubungan seks sebelum perkahwinan, berlaku secara meluas dan bahkan digalakkan.​—1 Korintus 6:​9, 10; 2 Korintus 7:1.

  •   Pendidikan tinggi ialah cara yang terbaik untuk mengubah dunia

     Kami sedar bahawa banyak orang mendapatkan pendidikan tinggi bukan untuk mengejar kekayaan dan kemasyhuran, atau memuaskan keinginan yang salah. Sebaliknya, mereka ingin memperbaik kehidupan sendiri dan mengubah dunia. Kami memuji niat baik mereka, tetapi Saksi-Saksi Yehuwa memilih cara yang lain untuk berbuat demikian. Seperti Yesus, kami percaya bahawa hanya Kerajaan Tuhan yang dapat menyelesaikan semua masalah dunia. (Matius 6:​9, 10) Biarpun begitu, kami tidak menunggu kedatangan kerajaan ini sambil berpeluk tubuh. Seperti Yesus, kami menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” ke seluruh bumi. Menerusi kerja ini, kami telah membantu ribuan orang setiap tahun untuk memperbaik kehidupan mereka. i​—Matius 24:14.

a Anak-anak Saksi-Saksi Yehuwa yang masih berada di bawah jagaan ibu bapa perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh ibu bapa mereka berkenaan pendidikan, asalkan peraturan itu tidak bercanggah dengan hukum Tuhan.​—Kolose 3:​20.

b Oleh itu, kami telah menerbitkan lebih daripada 11 juta naskhah bahan bacaan untuk membantu orang yang buta huruf, seperti brosur Apply Yourself to Reading and Writing. Kami juga mengadakan kelas membaca di serata dunia, dan kelas-kelas ini diadakan dalam 120 bahasa. Dari tahun 2003 hingga tahun 2017, kami telah mengajar kira-kira 70,000 orang untuk membaca dan menulis.

d Contohnya, kami menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak lelaki dan anak perempuan mereka ke sekolah. Lihat rencana Haruskah Anak Saya Bersekolah? dalam majalah Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Mac 2003.

f Lihat bahagian “Pandangan tentang Asal Usul Kehidupan” di jw.org/ms.

g Practical Economics: Economic Transformation and Government Reform in Georgia 2004​—2012, muka surat 170.

h Jilid 61, No. 1, April 2017, muka surat 72.

i Lihat bahagian “Bible Mengubah Hidup” di jw.org/ms untuk membaca kisah hidup tentang bagaimana Bible dan mesej Kerajaan Tuhan telah mengubah hidup orang.