Tahukah Anda?
Bagaimanakah sumbangan bagi Rumah Tuhan dibuat pada zaman Yesus?
Peti persembahan di Rumah Tuhan terletak di bahagian Halaman Wanita. Menurut buku The Temple—Its Ministry and Services, “Terdapat 13 peti persembahan atau “trompet” pada deretan tiang yang menghadap ke arah dinding di mana sumbangan diletakkan.”
Peti persembahan dipanggil trompet kerana bentuknya muncung di atas dan lebar di bawah. Setiap peti ditandakan untuk persembahan yang berlainan, dan sumbangan yang diterima dikhaskan bagi kegunaan tertentu. Yesus berada di bahagian Halaman Wanita semasa dia memperhatikan orang ramai, termasuk seorang balu miskin yang memberikan sumbangan.—Lukas 21:1, 2.
Peti pertama dan kedua dikhaskan untuk cukai Rumah Tuhan bagi tahun itu dan tahun sebelumnya. Peti ke-3 hingga ke-7 adalah untuk mengumpulkan sumbangan yang ditetapkan bagi burung terkukur, merpati, kayu, kemenyan, dan pasu emas. Jika seorang ingin memberikan sumbangan lebih daripada yang ditetapkan, maka wang lebihan itu boleh dimasukkan dalam salah sebuah peti yang lain. Peti ke-8 adalah untuk wang lebihan daripada korban untuk mengampunkan dosa. Peti ke-9 hingga ke-12 adalah untuk wang lebihan daripada korban bagi membayar ganti rugi, korban burung, korban orang Nazir, dan korban orang yang berpenyakit kulit. Peti ke-13 adalah untuk sumbangan sukarela.
Adakah catatan sejarah Lukas tepat?
Catatan buku Lukas dan buku Kisah Rasul-Rasul ditulis oleh Lukas. Dia “telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya.” Namun, beberapa cendekiawan meragui catatannya. (Lukas 1:3) Jadi, adakah catatannya tepat?
Catatan Lukas boleh disahkan melalui fakta sejarah. Contohnya, dia menggunakan beberapa gelaran Yunani yang unik bagi pegawai kerajaan Roma seperti stratégoi di Filipi dan politarches di Tesalonika yang merujuk kepada pemerintah-pemerintah kota. Gelaran Asiarches pula adalah untuk pegawai kerajaan daerah Efesus iaitu orang yang menganjurkan perayaan dan pertandingan. (Kisah 16:20, 17:6; 19:31) Lukas memanggil Herodes Antipas sebagai tetraarchis atau gabenor, dan memanggil Sergius Paulus sebagai proconsul iaitu gabenor Siprus.—Kisah 13:1, 7; 28:7.
Penggunaan gelaran-gelaran yang tepat dalam catatan Lukas sangat penting. Semasa pemerintahan Roma bertukar tangan, gelaran sebegini juga berubah. Namun, cendekiawan Bible, Bruce Metzger berkata, “Rujukan yang terdapat di dalam buku Kisah terbukti tepat jika dibandingkan dengan masa dan tempat buku ini ditulis.” Seorang cendekiawan yang bernama William Ramsay pula menggelar Lukas sebagai “seorang sejarawan yang ulung.”