Lompat ke kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Di 2 Korintus 6:14, siapakah “orang yang tidak percaya” yang disebut oleh Paulus?

Dua Korintus 6:14 berkata, “Janganlah memikul kuk bersama orang yang tidak percaya.” Jelaslah dalam konteks ayat ini, Paulus sedang merujuk kepada orang dunia yang bukan sebahagian daripada sidang Kristian. Pemahaman ini disokong oleh ayat Bible lain, di mana Paulus juga menggunakan ungkapan “orang yang tidak percaya.”

Contohnya, Paulus menegur orang Kristian kerana meminta diadili di mahkamah oleh “orang yang tidak percaya.” (1 Korintus 6:6) Dalam konteks ini, “orang yang tidak percaya” merujuk kepada para hakim dalam sistem perundangan Korintus. Dalam suratnya yang kedua pula, Paulus menyatakan bahawa “mereka yang tidak percaya telah dibutakan” oleh Syaitan. Maka selubung ini menghalang berita baik daripada menyinari mereka. Nampaknya, mereka tidak mengambil langkah untuk mencari Yehuwa, kerana Paulus pernah berkata, “Selubung itu ditanggalkan apabila seseorang berpaling kepada Yehuwa.”​—2 Korintus 3:16; 4:4.

Sesetengah orang yang tidak percaya mengamalkan perbuatan jahat atau penyembahan berhala. (2 Korintus 6:15, 16) Tetapi, bukan semua antara mereka menentang umat Yehuwa. Ada juga yang berminat tentang kebenaran. Contohnya, seseorang yang tidak menyembah Yehuwa mungkin mempunyai pasangan Kristian dan ingin terus hidup bersamanya. (1 Korintus 7:12-14; 10:27; 14:22-25; 1 Petrus 3:1, 2) Namun, ungkapan “orang yang tidak percaya” yang digunakan oleh Paulus merujuk khas kepada mereka yang bukan sebahagian daripada sidang yang “percaya kepada Tuan Yesus.”​—Kisah 2:41; 5:14; 8:12, 13.

Sememangnya, prinsip di 2 Korintus 6:14 dapat membimbing orang Kristian dalam pelbagai aspek hidup, terutamanya semasa memilih pasangan. (Matius 19:4-6) Seorang Kristian yang sudah dibaptis tidak akan mencari pasangan dalam kalangan orang yang tidak percaya. Hal ini kerana nilai moral, matlamat, dan kepercayaan mereka adalah sangat berbeza.

Bagaimana pula jika orang tersebut sedang belajar Bible dan bergaul dengan sidang Kristian? Ataupun seorang penyiar yang belum dibaptis? Adakah mereka tergolong sebagai orang yang tidak percaya? Tidak. Hal ini kerana mereka sudah menerima berita baik dan sedang membuat kemajuan untuk dibaptis. (Roma 10:10; 2 Korintus 4:13) Sebelum Kornelius dibaptis, dia dipanggil sebagai orang yang “takut akan Tuhan dan menyembah Tuhan.”​—Kisah 10:2.

Jadi, adakah bijak bagi orang yang sudah dibaptis untuk berdating dengan seorang penyiar yang belum dibaptis? Perbuatan ini adalah tidak bijak. Mengapa? Perhatikan arahan Paulus kepada balu Kristian: “Dia bebas berkahwin dengan sesiapa sahaja yang diingininya, asalkan orang itu pengikut Tuan kita.” (1 Korintus 7:39) Jadi, seorang Kristian yang sudah dibaptis harus mencari bakal teman hidup dalam kalangan “pengikut Tuan.”

Siapakah “pengikut Tuan” yang dimaksudkan oleh Paulus? Dia menjelaskannya di Roma 16:8-10 dan Kolose 4:7. Jika anda membaca ayat-ayat itu, anda akan dapati bahawa “pengikut Tuan” merujuk kepada umat Tuhan yang “bekerja bersama-sama kita,” orang yang “setia kepada Kristus,” ‘saudara yang dikasihi,’ orang yang “berkhidmat kepada Tuan dengan setia,” dan para “hamba Tuan.”

Bilakah seseorang boleh digelar sebagai “hamba Tuan”? Apabila dia dengan rela melakukan kerja seorang hamba dan mengetepikan keinginan dirinya. Yesus berkata, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.” (Matius 16:24) Sewaktu seseorang membaktikan diri kepada Tuhan, dia mula menjadi pengikut Kristus dan merelakan diri untuk melakukan kehendak Tuhan. Kemudian, dia akan dibaptis sebagai penyebar yang dilantik oleh Yehuwa dan yang mendapat perkenan-Nya. * Jadi, arahan untuk berkahwin hanya dengan “pengikut Tuan kita” bermaksud mengahwini seseorang yang sudah membaktikan diri untuk menjadi “hamba Tuhan dan hamba Tuan Yesus Kristus.”​—Yakobus 1:1.

Orang yang sedang belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan membuat kemajuan harus dipuji. Namun, dia belum lagi membaktikan diri kepada Yehuwa dan mengabdikan diri untuk melakukan kehendak-Nya. Haluan hidup ini memerlukan pengorbanan besar. Selain itu, dia masih sedang membuat perubahan. Usaha ini perlu berterusan sehingga dia sedia untuk dibaptis. Setelah itu barulah sesuai bagi dia untuk membuat satu lagi perubahan besar dalam kehidupannya, iaitu mempertimbangkan perkahwinan.

Adakah sesuai bagi seorang Kristian untuk mula berdating dengan seorang pelajar Bible yang nampaknya sedang membuat kemajuan, dan ingin berkahwin dengannya setelah dia dibaptis? Tidak. Sebab motif pelajar Bible itu mungkin tersimpang jika dia sedar bahawa penyiar yang sudah dibaptis itu hanya akan berkahwin dengannya setelah dia dibaptis.

Sebenarnya, jangka masa dari waktu seseorang menjadi penyiar belum dibaptis sehingga dia mengambil langkah untuk dibaptis biasanya tidak begitu lama. Jadi arahan untuk berkahwin dengan pengikut Tuan bukanlah sesuatu yang tidak munasabah. Bagaimana pula jika seseorang sudah bersedia untuk berumah tangga, dibesarkan dalam keluarga Kristian, dan merupakan penyiar belum dibaptis selama beberapa tahun? Dalam situasi ini, tanyalah diri, “Apakah yang menghalangnya daripada dibaptis? Mengapakah dia masih tidak mengambil langkah ini? Adakah dia mempunyai apa-apa keraguan?” Walaupun dia tidak digolongkan sebagai “orang yang tidak percaya,” dia masih belum lagi menjadi “pengikut Tuan.”

Nasihat Paulus tentang perkahwinan adalah demi kebaikan kita. (Yesaya 48:17) Jika dua orang yang ingin berkahwin sudah membaktikan diri kepada Yehuwa, ikatan perkahwinan mereka mempunyai asas yang kuat. Mereka mempunyai matlamat dan nilai moral yang sama. Sudah tentu ini akan membawa kebahagiaan. Tambahan pula, apabila kita berkahwin dengan “pengikut Tuan” kita, ini menunjukkan kita setia kepada Yehuwa. Berkat-Nya pasti akan melimpah kerana Dia “setia kepada orang yang setia.”​—Mazmur 18:25.

[Nota kaki]

^ per. 10 Surat Paulus ditujukan kepada orang Kristian yang terurap. Bagi mereka, untuk menjadi “hamba Tuan” bermaksud mereka harus diurapi sebagai anak Tuhan dan saudara-saudara Kristus.

[Gambar]

Yehuwa “setia kepada orang yang setia”