Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 51

‘Yehuwa Menyelamatkan Orang yang Tawar Hati’

‘Yehuwa Menyelamatkan Orang yang Tawar Hati’

Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati; Dia menyelamatkan orang yang tawar hati.”​—MZM. 34:18.

LAGU 30 Bapaku, Tuhanku, dan Kawanku

PENGENALAN *

1-2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

KEHIDUPAN kita singkat dan “penuh dengan kesusahan.” (Ayb. 14:1) Maka tidak hairanlah kita akan berasa tawar hati dari masa ke masa. Sebilangan hamba Yehuwa pada zaman kuno pun berasa tawar hati, dan ada yang bahkan ingin mati. (1 Raj. 19:2-4; Ayb. 3:1-3, 11; 7:15, 16) Tetapi Yehuwa selalu melegakan dan menguatkan mereka. Kisah mereka dicatatkan dalam Bible untuk melegakan dan mengajar kita.​—Rm. 15:4.

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan contoh beberapa orang hamba Yehuwa yang berasa tawar hati kerana menghadapi cubaan. Kita akan melihat contoh Yusuf anak Yakub, Naomi dan menantunya Rut, orang Lewi yang menulis Mazmur 73, dan Rasul Petrus. Bagaimanakah Yehuwa menguatkan mereka? Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan mereka? Jawapannya akan meyakinkan kita bahawa “Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati,” dan “menyelamatkan orang yang tawar hati.”​—Mzm. 34:18.

YUSUF DILAYAN DENGAN KEJAM DAN TIDAK ADIL

3-4. Apakah yang berlaku kepada Yusuf semasa dia masih muda?

3 Semasa Yusuf berumur sekitar 17 tahun, Tuhan memberinya dua mimpi. Mimpi-mimpi itu menunjukkan bahawa suatu hari nanti, Yusuf akan menjadi orang yang terhormat dalam keluarganya. (Kej. 37:5-10) Namun, tidak lama selepas dia mendapat dua mimpi itu, dia ditimpa banyak hal yang buruk. Abang-abangnya langsung tidak menghormatinya dan menjualnya. Akhirnya, dia menjadi hamba kepada Potifar, seorang pegawai di Mesir. (Kej. 37:21-28) Dalam masa yang singkat, Yusuf yang merupakan anak kesayangan bapanya telah menjadi hamba kepada pegawai Mesir yang beragama kafir.​—Kej. 39:1.

4 Kemudian, keadaan Yusuf menjadi lebih teruk lagi. Isteri Potifar memfitnah Yusuf cuba merogolnya. Tanpa menyiasat perkara itu, Potifar melemparkan Yusuf ke dalam penjara, dan Yusuf dibelenggu dengan rantai besi. (Kej. 39:14-20; Mzm. 105:17, 18) Bayangkan perasaan Yusuf terhadap tuduhan palsu itu. Fikirkan juga bagaimana tuduhan itu mungkin mempengaruhi nama Yehuwa. Yusuf pasti berasa sangat tawar hati.

5. Bagaimanakah Yusuf mengatasi rasa tawar hati?

5 Semasa Yusuf menjadi hamba dan semasa dia dipenjarakan, dia tidak dapat melakukan apa-apa untuk mengubah situasinya. Jadi bagaimanakah Yusuf dapat tetap berpandangan positif? Dia tidak berfokus kepada apa yang tidak dapat dilakukannya. Sebaliknya dia berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan tugas yang diberikan kepadanya. Yang terpenting, Yusuf selalu berusaha untuk menyenangkan hati Yehuwa. Hasilnya, Yehuwa membuat Yusuf berjaya dalam segala pekerjaannya.​—Kej. 39:21-23.

6. Bagaimanakah Yusuf mendapat kelegaan daripada mimpi yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya?

6 Yusuf juga mungkin mendapat kelegaan dengan merenungkan dua mimpi yang diberikan oleh Yehuwa kepadanya. Mimpi-mimpi itu memberinya harapan bahawa dia akan berjumpa semula dengan keluarganya, dan keadaannya akan bertambah baik. Akhirnya, mimpi Yusuf mula menjadi kenyataan dalam cara yang menakjubkan semasa dia berumur kira-kira 37 tahun.​—Kej. 37:7, 9, 10; 42:6, 9.

7. Bagaimanakah kata-kata di 1 Petrus 5:10 membantu kita menghadapi cubaan dengan tabah?

7 Pengajaran untuk kita. Kisah Yusuf mengingatkan kita bahawa dalam dunia yang kejam ini, kita akan dilayan dengan tidak adil. Ada kalanya, rakan seiman kita mungkin menyakiti kita. Namun, jika kita memandang Yehuwa sebagai gunung batu dan tempat perlindungan kita, kita tidak akan hilang semangat atau berhenti menyembah-Nya. (Mzm. 62:6, 7; baca 1 Petrus 5:10.) Ingatlah juga bahawa Yusuf mungkin berumur sekitar 17 tahun semasa Yehuwa memberinya dua mimpi yang istimewa itu. Hal ini mengajar kita bahawa Yehuwa menaruh keyakinan yang tinggi terhadap hamba-hamba-Nya yang masih muda. Dewasa ini, terdapat banyak orang muda seperti Yusuf yang beriman kepada Yehuwa. Ada antara mereka yang dipenjarakan kerana mereka ingin tetap setia kepada Tuhan.​—Mzm. 110:3.

DUA ORANG WANITA YANG HANCUR HATI

8. Apakah yang berlaku kepada Naomi dan Rut?

8 Akibat kebuluran yang dahsyat, Naomi dan suaminya serta dua orang anak lelaki mereka telah meninggalkan Yehuda dan berpindah ke Moab. Di situ, Elimelekh, iaitu suami Naomi, telah meninggal. Beberapa lama kemudian, dua orang anak lelaki Naomi telah mengahwini dua orang wanita Moab, iaitu Rut dan Orpa. Namun, kira-kira 10 tahun kemudian, dua orang anak lelaki Naomi juga meninggal tanpa mempunyai anak. (Rut 1:1-5) Bayangkan betapa sedihnya tiga orang balu itu. Rut dan Orpa dapat berkahwin semula. Namun, jika mereka berkahwin lagi, siapakah yang akan menjaga Naomi yang sudah tua? Naomi begitu tawar hati sehingga dia berkata, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara, kerana Tuhan Yang Maha Kuasa telah membiarkan kehidupan saya menjadi sangat pahit.” Kemudian, Naomi memutuskan untuk kembali ke Betlehem, dan Rut pergi bersamanya.​—Rut 1:7, 18-20.

Tuhan menunjukkan kepada Naomi dan Rut bahawa Dia dapat membantu para penyembah-Nya mengatasi rasa sedih dan rasa tawar hati. Dia pasti dapat membantu anda juga (Lihat perenggan 8-13) *

9. Berdasarkan Rut 1:16, 17, 22, bagaimanakah Rut melegakan Naomi?

9 Naomi mendapat kelegaan kerana Rut menunjukkan kasih setia kepadanya. Sebagai contoh, Rut tidak meninggalkan Naomi. (Baca Rut 1:16, 17, 22.) Selain itu, semasa di Betlehem, Rut bekerja keras untuk memungut sisa barli bagi dirinya dan Naomi. Oleh sebab Rut berbuat demikian, dia dikenali ramai sebagai seorang wanita yang sangat baik.​—Rut 3:11; 4:15.

10. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan belas kasihan terhadap orang miskin seperti Naomi dan Rut?

10 Yehuwa telah memberikan satu hukum kepada orang Israel yang menunjukkan belas kasihan-Nya terhadap orang miskin seperti Naomi dan Rut. Dia memberitahu umat-Nya bahawa apabila mereka menuai hasil di ladang mereka, mereka tidak boleh menuai hasil tanaman yang tumbuh di tepi ladang mereka sampai habis. Dengan itu, orang miskin dapat memungut sisa tuaian itu. (Im. 19:9, 10) Melalui aturan ini, Naomi dan Rut dapat memperoleh makanan tanpa perlu mengemis.

11-12. Bagaimanakah Boaz membawa sukacita kepada Naomi dan Rut?

11 Ladang tempat Rut memungut sisa tuaian dimiliki oleh Boaz, seorang lelaki yang kaya. Dia sangat tersentuh dengan kesetiaan dan kasih Rut terhadap Naomi. Oleh itu, dia menebus tanah pusaka keluarga Naomi dan mengahwini Rut. (Rut 4:9-13) Boaz dan Rut kemudiannya mendapat seorang anak lelaki yang bernama Obed. Obed ialah datuk kepada Raja Daud.​—Rut 4:17.

12 Bayangkan betapa gembiranya Naomi semasa dia mendukung Obed dan mengucapkan syukur kepada Yehuwa! Namun, semasa Naomi dan Rut dibangkitkan, mereka pasti lebih gembira apabila mengetahui bahawa Obed ialah nenek moyang Yesus Kristus, iaitu Mesias yang dijanjikan!

13. Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah Naomi dan Rut?

13 Pengajaran untuk kita. Semasa dilanda cubaan, kita mungkin berasa tawar hati dan hancur hati. Ada kalanya, kita juga mungkin kebuntuan. Pada masa sedemikian, kita perlu yakin sepenuhnya kepada Bapa kita yang di syurga dan terus bergaul rapat dengan rakan seiman kita. Memang benar, Yehuwa tidak selalunya menyelesaikan masalah kita. Sebagai contoh, Dia tidak membangkitkan suami dan anak-anak Naomi yang sudah meninggal. Tetapi, Dia akan membantu kita bertabah melalui kasih dan kesetiaan saudara saudari kita.​—Ams. 17:17.

ORANG LEWI YANG HAMPIR TERSANDUNG

Penulis Mazmur 73 hampir tersandung apabila melihat orang yang tidak mengutamakan Yehuwa nampaknya hidup berjaya. Kita harus berwaspada agar tidak berpandangan sedemikian (Lihat perenggan 14-16)

14. Mengapakah seorang lelaki Lewi berasa sangat tawar hati?

14 Penulis Mazmur 73 ialah orang Lewi. Oleh itu, dia diberi penghormatan untuk berkhidmat di Rumah Yehuwa. Namun, pernah sekali dia berasa sangat tawar hati. Mengapa? Dia mula cemburu terhadap orang yang jahat dan angkuh, kerana biarpun mereka berbuat jahat, mereka nampaknya hidup makmur dan bebas daripada masalah. (Mzm. 73:2-9, 11-14) Hal ini membuat penulis mazmur tersebut begitu tawar hati sehingga dia berkata, “Sia-sia sahaja aku menjaga hatiku supaya tetap murni dan mencuci tanganku sebagai tanda bahawa aku tidak bersalah.” Fikiran sebegini berbahaya kerana dapat membuatnya berhenti menyembah Yehuwa.

15. Menurut Mazmur 73:16-19, 22-25, bagaimanakah lelaki Lewi itu mengatasi rasa tawar hatinya?

15 Baca Mazmur 73:16-19, 22-25. Kemudian, lelaki Lewi itu “masuk ke dalam rumah suci Tuhan yang agung.” Di sana, semasa menyembah Yehuwa bersama orang lain, dia dapat berdoa dan memikirkan situasinya dengan tenang. Hasilnya, dia sedar bahawa pandangannya itu berbahaya dan akan mengancam hubungannya dengan Yehuwa. Dia juga sedar bahawa orang jahat sebenarnya berada “di jalan yang licin” dan ‘kesudahan mereka akan sangat dahsyat.’ Untuk menghilangkan rasa tawar hati dan rasa cemburunya terhadap orang jahat, lelaki Lewi itu perlu memupuk pandangan Yehuwa. Sebaik sahaja dia dapat berbuat demikian, dia berasa tenang dan gembira semula. Akhirnya dia berkata, “Aku tidak menginginkan apa-apa pun di bumi selain [Yehuwa].”

16. Apakah yang dapat kita pelajari daripada lelaki Lewi itu?

16 Pengajaran untuk kita. Janganlah kita sekali-kali cemburu terhadap orang jahat yang nampaknya hidup makmur. Kebahagiaan mereka hanyalah sementara dan mereka tidak akan hidup selama-lamanya. (Pkh. 8:12, 13) Jika kita cemburu terhadap mereka, kita akan menjadi tawar hati dan persahabatan kita dengan Yehuwa akan terjejas. Jadi, jika anda mendapati bahawa anda mula cemburu terhadap orang jahat yang nampaknya berjaya, ikutlah teladan lelaki Lewi itu. Dengarkanlah nasihat Tuhan dan bergaullah dengan orang yang melakukan kehendak-Nya. Apabila anda mengasihi Yehuwa lebih daripada segala-galanya, anda akan benar-benar bahagia. Selain itu, anda akan tetap berada di jalan yang menuju “kehidupan yang sejati.”​—1 Tim. 6:19.

PETRUS TAWAR HATI KERANA KELEMAHANNYA

Petrus mengatasi rasa tawar hati dan terus menyembah Tuhan. Teladannya dapat menguatkan kita, dan kita dapat menggunakan teladannya untuk menggalakkan orang lain (Lihat perenggan 17-19)

17. Apakah yang membuat Petrus berasa tawar hati?

17 Rasul Petrus seorang yang sangat bersemangat. Tetapi, ada kalanya dia bercakap atau bertindak tanpa berfikir panjang dan kemudiannya menyesal. Sebagai contoh, semasa Yesus memberitahu para rasul bahawa dia akan menderita dan mati, Petrus menegurnya dan berkata, “Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” (Mat. 16:21-23) Yesus telah membetulkan fikiran Petrus. Pada masa yang lain, apabila sekumpulan lelaki datang untuk menangkap Yesus, Petrus bertindak dengan terburu-buru dan mengerat telinga kanan hamba imam agung. (Yoh. 18:10, 11) Sekali lagi, Yesus membetulkan fikiran Petrus. Petrus juga terlalu yakin pada diri sendiri dan bercakap besar. Dia berkata bahawa walaupun semua rasul lain tersandung kerana apa yang bakal menimpa Kristus, dia sama sekali tidak akan tersandung! (Mat. 26:33) Tetapi dia kemudiannya menjadi sangat takut dan berkata sebanyak tiga kali bahawa dia tidak mengenal Yesus. Petrus sangat tawar hati atas perbuatannya lalu “keluar dan menangis tersedu-sedu.” (Mat. 26:69-75) Dia pasti tertanya-tanya jika Yesus masih sudi mengampuninya.

18. Bagaimanakah Yesus membantu Petrus mengatasi rasa tawar hati?

18 Namun, Petrus tidak membiarkan rasa tawar hatinya membuatnya berhenti menyembah Yehuwa. Selepas dia tersandung, dia bangkit semula dan terus menyembah Yehuwa bersama para rasul yang lain. (Yoh. 21:1-3; Kis. 1:15, 16) Apakah yang membantunya bangkit semula? Dia ingat bahawa Yesus telah berdoa bagi pihaknya agar dia tidak kehilangan iman. Yesus juga telah menggesa Petrus agar bertaubat dan meneguhkan iman saudara-saudaranya. Yehuwa telah menjawab doa Yesus. Kemudian, selepas Yesus dibangkitkan, dia menampakkan diri kepada Petrus semasa Petrus bersendirian untuk menggalakkannya. (Luk. 22:32; 24:33, 34; 1 Kor. 15:5) Yesus juga menampakkan diri kepada para rasul setelah mereka menjala ikan sepanjang malam dan tidak mendapat apa-apa hasil. Pada masa itu, Yesus memberi Petrus peluang untuk menyatakan seberapa dalam kasihnya terhadap Yesus. Ya, Yesus telah memaafkan sahabatnya itu dan memberinya lebih banyak tanggungjawab.​—Yoh. 21:15-17.

19. Apakah yang kita pelajari daripada Mazmur 103:13, 14 tentang cara Yehuwa memandang kita apabila kita melakukan kesilapan?

19 Pengajaran untuk kita. Cara Yesus melayan Petrus menunjukkan bahawa Yesus amat berbelas kasihan, dan Yesus mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna. Jadi, apabila kita melakukan kesilapan, kita tidak ingin berfikir bahawa Yehuwa tidak akan mengampuni kita, kerana Syaitanlah yang mahu kita berfikir sedemikian. Sebaliknya, kita ingin merenungkan kasih dan belas kasihan Bapa kita. Jika kita berbuat demikian, kita akan yakin bahawa Yehuwa sudi mengampuni kita, dan kita akan terdorong untuk meniru sifat-Nya semasa orang lain menyakiti kita.​—Baca Mazmur 103:13, 14.

20. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

20 Kisah Yusuf, Naomi dan Rut, lelaki Lewi itu, dan Petrus, meyakinkan kita bahawa “Yehuwa dekat dengan orang yang remuk hati.” (Mzm. 34:18) Ada kalanya Yehuwa mungkin mengizinkan kita menghadapi cubaan dan berasa tawar hati. Namun, apabila kita merasai bagaimana Yehuwa membantu kita menghadapi kesusahan dengan tabah, iman kita dikuatkan. (1 Ptr. 1:6, 7) Dewasa ini, sesetengah penyembah Yehuwa berasa tawar hati kerana ketidaksempurnaan mereka atau kerana cabaran lain. Rencana seterusnya akan membincangkan bagaimana Yehuwa memberikan sokongan kepada mereka.

LAGU 7 Yehuwalah Kekuatanku

^ per. 5 Yusuf, Naomi dan Rut, seorang lelaki Lewi, dan Rasul Petrus, pernah mengalami cubaan yang membuat mereka berasa tawar hati. Rencana ini akan membincangkan bagaimana Yehuwa melegakan dan menguatkan mereka. Kita juga akan melihat apa yang dapat kita pelajari daripada teladan mereka, dan cara Tuhan membantu mereka dengan penuh kasih.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Naomi, Rut, dan Orpa, berasa sedih dan tawar hati kerana teman hidup mereka meninggal. Kemudian, Rut, Naomi, dan Boaz, bersukacita atas kelahiran Obed.