Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Kerja Penyebaran Anda seperti Embun?

Adakah Kerja Penyebaran Anda seperti Embun?

KERJA PENYEBARAN kita penting dan bernilai. Namun, bukan semua orang menghargai kerja ini. Walaupun orang berminat dengan Bible, mereka mungkin berasa bahawa mempelajari Bible dengan kita tidak penting.

Mari kita lihat contoh Gavin. Dia menghadiri perjumpaan, tetapi tidak ingin belajar Bible dengan Saksi. Gavin tidak mahu orang tahu bahawa pengetahuan Biblenya sangat sedikit. Selain itu, dia takut untuk menyertai kumpulan agama dan tidak mahu diperdaya. Jika anda berjumpa Gavin, adakah anda berasa bahawa anda dapat membantu Gavin? Fikirkan kesan baik daripada ajaran Bible atas seseorang. Yehuwa memberitahu orang Israel, ‘Ajaranku seperti embun dan seperti hujan rintik-rintik yang turun ke atas rumput.’ (Ul. 31:19, 30; 32:2) Mari kita belajar bagaimana embun dapat disamakan dengan kerja penyebaran yang membantu “segala macam orang.”—1 Tim. 2:3, 4.

KERJA PENYEBARAN SEPERTI EMBUN

Embun itu lembut. Embun terhasil daripada wap air yang bertukar menjadi titisan air. Bagaimanakah kata-kata Yehuwa “seperti embun”? Yehuwa bercakap kepada umat-Nya dengan lembut, baik, dan bertimbang rasa. Kita mengikut teladan-Nya dengan menghormati pandangan orang. Kita menggalakkan mereka untuk berfikir dengan mendalam dan membuat kesimpulan sendiri. Apabila kita menunjukkan keprihatinan sebegini, lebih senang bagi mereka untuk mendengar kata-kata kita, dan kerja penyebaran kita akan berkesan.

Embun menyegarkan. Kerja penyebaran kita menyegarkan orang jika kita memikirkan pelbagai cara untuk membantu mereka. Chris telah menawarkan pembelajaran Bible kepada Gavin. Tetapi, dia tidak memaksa Gavin. Sebaliknya, Chris mencuba cara lain agar Gavin berasa selesa untuk berbincang tentang Bible. Chris memberitahu Gavin bahawa mempelajari mesej penting yang terkandung dalam Bible akan membantunya lebih memahami apa yang dibincangkan semasa perjumpaan. Kemudian Chris menjelaskan bagaimana nubuat Bible meyakinkannya bahawa Bible adalah tepat. Hasilnya, mereka banyak berbincang mengenai nubuat Bible yang menjadi kenyataan. Perbincangan sedemikian menyegarkan Gavin, dan akhirnya dia bersetuju mempelajari Bible.

Embun penting bagi kehidupan. Ketika cuaca panas di Israel, hujan mungkin tidak turun selama beberapa bulan. Tanpa embun, tumbuhan akan layu dan mati. Yehuwa bernubuat bahawa hari ini juga terdapat keadaan yang bagaikan kemarau, iaitu orang mendahagakan ‘perkhabaran daripada Yehuwa.’ (Am. 8:11) Tuhan berkata bahawa kaum terurap yang menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan bagaikan ‘embun menyegarkan yang dikirim oleh-Nya.’ Mereka disokong oleh “biri-biri lain.” (Mi. 5:6; Yoh. 10:16) Mesej yang kita sampaikan merupakan sebahagian daripada aturan Yehuwa untuk memberikan hidup kepada orang yang mendahagakan kebenaran. Adakah kita menghargai mesej ini?

Embun berkat daripada Yehuwa. (Ul. 33:13) Kerja penyebaran membawa berkat bagi mereka yang menyambut berita baik. Semasa belajar Bible, Gavin diberkati kerana mendapat jawapan kepada semua soalannya. Dalam masa yang singkat, dia membuat kemajuan rohani dan dibaptis. Kini, dia menikmati kerja penyebaran bersama isterinya, Joyce.

Saksi-Saksi Yehuwa menyegarkan bumi dengan berita baik Kerajaan Tuhan

HARGAILAH KERJA PENYEBARAN

Dengan membandingkan kerja penyebaran seperti embun, kita sedar bahawa usaha setiap orang sangat bernilai. Mengapa? Setitis air tidak membawa banyak manfaat. Tetapi jutaan titisan air akan melembapkan tanah. Begitu juga, usaha kita secara individu dalam kerja penyebaran mungkin sedikit. Namun, gabungan usaha jutaan penyembah Yehuwa membolehkan kita menginjil “kepada semua bangsa.” (Mat. 24:14) Adakah kerja penyebaran kita membawa berkat kepada orang lain? Sudah tentu, mesej kita seperti embun yang lembut, menyegarkan, dan penting bagi kehidupan!