Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dapatkah Nasihat Bible Diguna Pakai pada Zaman Ini?

Dapatkah Nasihat Bible Diguna Pakai pada Zaman Ini?

ADA YANG KATA “TIDAK.” Seorang doktor mengatakan bahawa menggunakan nasihat Bible sama seperti menggunakan buku teks tahun 1920-an untuk mengajar kelas kimia. Orang yang tidak menghormati Bible mungkin akan bertanya sama ada anda akan menggunakan panduan untuk komputer usang semasa menggunakan komputer yang terkini. Pendek kata, mereka berasa bahawa Bible sudah ketinggalan zaman.

Perlukah kita menggunakan sebuah buku panduan yang kuno pada zaman moden yang canggih ini? Terdapat banyak laman web dan blog yang sentiasa menyajikan nasihat terkini. Di kaca TV, terdapat banyak cadangan dan pendapat daripada ahli psikologi, pakar, guru, dan pengarang. Dunia penerbitan juga dibanjiri dengan buku panduan yang menjana keuntungan berbilion-bilion dolar setiap tahun.

Dengan adanya semua maklumat itu yang dikemaskinikan setiap hari, adakah kita memerlukan panduan Bible, iaitu sebuah buku yang ditulis hampir 2,000 tahun lalu? Adakah Bible seperti panduan untuk komputer usang atau buku teks kimia yang ketinggalan zaman? Perbandingan itu sebenarnya salah. Sains dan teknologi maju dengan pesat, tetapi keperluan asas manusia tetap sama. Manusia masih menginginkan hidup yang bermakna, kegembiraan, keamanan, hubungan keluarga yang baik, dan persahabatan yang erat.

Biarpun kuno, Bible dapat memenuhi semua keperluan itu. Bible dikatakan buku yang diilhami Pencipta kita, dan mengandungi bimbingan untuk setiap aspek kehidupan, serta melengkapi kita untuk menghadapi cabaran. (2 Timotius 3:16, 17) Tambahan lagi, nasihat Bible tidak lapuk dan dapat digunakan sehingga kini! Bible menyatakan, “Firman Tuhan itu hidup.”​—Ibrani 4:12.

Adakah hal itu benar? Adakah Bible ketinggalan zaman, atau merupakan buku yang “hidup,” iaitu buku yang masih praktikal dan dapat dipercayai? Terbitan ini, yang merupakan majalah pertama dalam satu siri istimewa, akan menjawab soalan-soalan tersebut.