Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

3 Bertahan Menghadapi Masalah

3 Bertahan Menghadapi Masalah

Sesetengah masalah kita sekarang tidak dapat dielakkan atau diselesaikan. Contohnya, jika orang tersayang anda telah meninggal atau jika anda menghidap penyakit kronik, anda perlu belajar cara untuk menghadapi keadaan itu dengan tabah. Dapatkah Bible membantu anda?

PENYAKIT KRONIK

Rose berkata, “Penyakit genetik saya membuat saya sentiasa merasai kesakitan yang amat teruk. Mutu kehidupan saya telah menurun.” Dia berasa bimbang kerana penyakit itu membuatnya susah untuk bertumpu kepada pembelajaran Bible dan hal-hal rohani. Tetapi kata-kata Yesus di Matius 19:26 amat membantunya: “Tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.” Rose telah menggunakan cara lain untuk mempelajari Bible. Memandangkan dia tidak dapat membaca akibat kesakitannya, dia mula mendengar rakaman Bible dan bahan bacaan Bible. * Dia menambah, “Jika tiada cara sebegini, saya tidak tahu macam mana untuk kekalkan kerohanian saya.”

Apabila Rose sedih kerana kemampuannya yang terhad, kata-kata di 2 Korintus 8:12 melegakan hatinya: “Seseorang yang memberi dengan rela hati sangat diperkenankan Tuhan, kerana Tuhan mahu seseorang memberi berdasarkan apa yang dimiliki, bukan apa yang tidak dimiliki.” Kata-kata itu mengingatkan Rose bahawa Tuhan berasa senang hati dengannya kerana dia sudah berusaha dengan sedaya upaya.

 KEMATIAN ORANG TERSAYANG

Delphine yang disebut tadi berkata, “Selepas anak perempuan saya yang berumur 18 tahun meninggal, saya begitu sedih sehingga saya rasa saya tidak dapat teruskan hidup. Semuanya telah berubah.” Namun, kata-kata di Mazmur 94:19 telah mengubati kesedihannya: ‘Apabila aku dilanda kekhuatiran, Tuhan menenangkan dan melegakan jiwaku.’ Dia menambah, “Saya berdoa kepada Yehuwa agar saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk melegakan kepedihan saya.”

Delphine mencurahkan masa dan tenaganya untuk kerja sukarela. Dia menyamakan dirinya dengan krayon kanak-kanak, yang masih berguna walaupun sudah patah. Meskipun hatinya hancur luluh, dia mendapati dia masih dapat membantu orang. Delphine berkata, “Saya sedar bahawa apabila saya menggunakan prinsip Bible untuk melegakan pelajar Bible saya, Yehuwa sedang melegakan hati saya juga.” Semasa dia membuat senarai watak Bible yang juga mengalami kesedihan yang mendalam, dia mendapati bahawa mereka semuanya orang yang rajin berdoa. Delphine juga berkata, “Jika Bible anda tertutup, anda tidak dapat menemui penawarnya.”

Setelah mengkaji Bible, Delphine belajar untuk memandang ke hadapan dan bukannya ke belakang. Dia menanti-nantikan harapan di Kisah 24:15 yang berbunyi, “Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.” Adakah dia benar-benar pasti bahawa Yehuwa akan membangkitkan anaknya? Delphine menjawab, “Saya dapat bayangkan saya berjumpa dengan anak perempuan saya pada masa depan. ‘Janji temu’ kami yang seterusnya sudah dibuat dan dicatatkan pada kalendar Tuhan. Saya dapat melihat kami bersama-sama di halaman rumah, dan bagi saya, harapan itu nyata sekali seperti hari anak kesayangan saya dilahirkan.”

^ per. 4 Rakaman sebegini boleh didapati di laman web jw.org.

Bible dapat membantu anda mendapat kelegaan bahkan pada detik yang paling gelap dalam hidup