Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Keadaan Dunia Mencerminkan Kehendak Tuhan?

Adakah Keadaan Dunia Mencerminkan Kehendak Tuhan?

BACALAH surat khabar, tontonlah televisyen, atau dengarlah radio. Banyak berita tentang jenayah, peperangan, dan keganasan disiarkan! Fikirlah sejenak tentang masalah-masalah anda. Mungkin penyakit atau kematian orang yang tersayang sedang menyebabkan anda menderita. Anda mungkin berasa seperti seorang lelaki baik yang bernama Ayub. Dia berkata, “Aku tidak mendapat ketenteraman, dan kesusahanku tidak berkesudahan.”​—Ayub 3:26, ABB.

Tanyalah diri:

  • Adakah ini kehendak Tuhan bagi saya dan seluruh umat manusia?

  • Dari manakah saya boleh mendapat bantuan untuk menangani masalah-masalah saya?

  • Adakah kita mempunyai harapan untuk menikmati keamanan di bumi?

Bible memberikan jawapan yang memuaskan kepada soalan-soalan ini.

BIBLE MENGAJARKAN BAHAWA TUHAN AKAN MEMBAWA PERUBAHAN-PERUBAHAN BERIKUT DI BUMI.

“Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan.”​—Penyingkapan 21:4

“Orang lumpuh akan melompat seperti rusa.”​—Yesaya 35:6

“Orang buta akan dapat melihat.”​—Yesaya 35:5

“Semua orang mati akan . . . keluar dari kubur.”​—Yohanes 5:28, 29

“Tiada sesiapa . . . akan mengeluh kerana sakit.”​—Yesaya 33:24

“Biji-bijian melimpah di seluruh negeri.”​—Mazmur 72:16

PEROLEH MANFAAT DARIPADA AJARAN BIBLE

Janganlah anggap bahawa apa yang ditunjukkan di muka surat sebelum ini merupakan angan-angan kosong sahaja. Tuhan telah menjanjikan perubahan-perubahan ini, dan Bible menjelaskan bagaimana Dia akan melaksanakan perubahan-perubahan ini.

Bible bukan sahaja memberitahu anda tentang berkat-berkat yang akan anda nikmati pada masa hadapan, malah Bible dapat membantu anda menikmati kehidupan yang bahagia sekarang. Fikirlah sejenak tentang kekhuatiran hidup dan masalah-masalah anda. Anda mungkin menghadapi masalah kewangan, masalah keluarga, kesihatan yang merosot, atau kematian orang yang tersayang. Bible boleh membantu anda menangani masalah-masalah yang anda hadapi hari ini dan melegakan hati anda dengan memberikan jawapan kepada soalan-soalan berikut:

  • Mengapakah kita menderita?

  • Bagaimanakah kita dapat menangani kekhuatiran hidup?

  • Bagaimanakah kita boleh menjadikan kehidupan keluarga kita lebih bahagia?

  • Apakah yang berlaku apabila kita mati?

  • Adakah kita berpeluang untuk berjumpa semula dengan orang tersayang yang telah mati?

  • Bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan pasti akan menunaikan janji-janji-Nya untuk masa hadapan?

Dengan membaca buku ini, anda menunjukkan bahawa anda ingin mengetahui apa yang diajarkan di dalam Bible. Buku ini dapat membantu anda untuk mempelajari Bible. Perhatikan bahawa terdapat soalan-soalan bagi setiap perenggan. Soalan-soalan ini digunakan untuk membincangkan isi dalam setiap perenggan. Jutaan orang suka akan kaedah soal jawab yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa untuk membincangkan Bible dengan mereka. Kami berharap anda juga akan berasa sedemikian. Usaha anda akan membawa kebaikan yang berkekalan. Semoga anda diberkati Tuhan seraya anda mempelajari ajaran Bible yang sebenar!