Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

 LAMPIRAN

Perjamuan Malam Tuan​—Sambutan yang Memuliakan Tuhan

Perjamuan Malam Tuan​—Sambutan yang Memuliakan Tuhan

PENGANUT agama Kristian diperintahkan untuk memperingati kematian Kristus. Maka, sambutan yang dipanggil Perjamuan Malam Tuan diraikan oleh mereka. Mengapakah  sambutan ini penting? Bilakah dan bagaimanakah sambutan ini patut diraikan?

Pada tahun 33 M, Yesus Kristus memperkenalkan sambutan ini pada malam perayaan Paska. Perayaan Paska ialah sebuah sambutan yang diraikan oleh orang Yahudi sekali setiap tahun, pada hari ke-14 bulan Nisan dalam kalendar Yahudi. Nampaknya orang Yahudi menunggu sehingga ekuinoks musim bunga untuk mengetahui bila sambutan ini harus diraikan. Ekuinoks musim bunga merujuk kepada hari yang mempunyai lebih kurang 12 jam siang dan 12 jam malam. Anak bulan pertama yang dilihat paling dekat dengan ekuinoks musim bunga menandakan permulaan bulan Nisan. Perayaan Paska disambut 14 hari kemudian, selepas matahari terbenam.

Selepas Yesus meraikan perayaan Paska dengan hawari-hawarinya, Yudas Iskariot meninggalkan mereka. Kemudian, Yesus memperkenalkan sambutan Perjamuan Malam Tuan. Perjamuan ini menggantikan perayaan Paska dan patut disambut hanya sekali dalam setahun.

Buku Matius menyatakan, ‘Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikutnya sambil berkata, “Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuhku.” Kemudian dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Tuhan, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikutnya sambil berkata, “Minumlah, kamu semua. Inilah darahku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Tuhan dengan umat-Nya; darahku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan.”’​—Matius 26:26-28, ABB.

Sesetengah orang percaya bahawa Yesus telah menukarkan roti menjadi dagingnya dan wain menjadi darahnya secara harfiah. Tetapi, tubuh fizikal Yesus masih sempurna semasa dia memberikan roti ini. Maka, adakah hawari-hawarinya memakan daging dan meminum darah Yesus secara harfiah? Tidak mungkin! Perbuatan sebegitu merupakan kanibalisme (amalan manusia memakan daging manusia) dan melanggar hukum Tuhan. (Kejadian 9:3, 4; Imamat 17:10) Menurut Lukas 22:20, Yesus berkata, ‘Cawan wain ini perjanjian Tuhan yang baru, yang disahkan dengan darahku, darah yang dicurahkan untuk kamu.’ Adakah cawan ini bertukar menjadi ‘perjanjian Tuhan yang baru’ secara harfiah? Sudah tentu  tidak. Sebuah perjanjian ialah persetujuan antara dua pihak, dan bukannya suatu objek yang nyata.

Jadi, roti dan wain yang digunakan hanyalah lambang. Roti melambangkan tubuh Kristus yang sempurna. Yesus menggunakan baki roti yang tertinggal selepas jamuan perayaan Paska. Roti itu tidak mengandungi ragi atau ibu roti. (Keluaran 12:8) Bible sering menggunakan ragi sebagai lambang dosa atau “kerosakan.” Maka roti itu melambangkan tubuh sempurna yang dikorbankan oleh Yesus, iaitu tubuhnya yang bebas daripada dosa.​—Matius 16:11, 12; 1 Korintus 5:6, 7; 1 Petrus 2:22; 1 Yohanes 2:1, 2.

Wain merah melambangkan darah Yesus. Darahnya mengesahkan perjanjian baru. Yesus berkata bahawa darahnya dicurahkan supaya ‘dosa banyak orang diampunkan.’ Maka, dari sudut pandangan Tuhan, manusia boleh menjadi bersih daripada dosa dan menjadi sebahagian daripada perjanjian baru dengan Yehuwa. (Ibrani 9:14; 10:16, 17) Perjanjian, atau kontrak ini membolehkan 144,000 orang Kristian yang setia untuk pergi ke syurga. Di syurga, mereka akan berkhidmat sebagai raja dan penghentar untuk membawa berkat kepada semua manusia.​—Kejadian 22:18; Yeremia 31:31-33; 1 Petrus 2:9; Penyingkapan 5:9, 10; 14:1-3.

Siapakah yang patut makan atau minum lambang-lambang Peringatan? Menurut logik, hanya mereka yang merupakan sebahagian daripada perjanjian baru, iaitu mereka yang memiliki harapan untuk pergi ke syurga. Daya aktif Tuhan meyakinkan mereka bahawa mereka dipilih untuk menjadi raja di syurga. (Roma 8:16) Mereka juga merupakan sebahagian daripada perjanjian Kerajaan dengan Yesus.​—Lukas 22:29.

Bagaimana pula dengan mereka yang memiliki harapan untuk hidup selama-lamanya di Firdaus di bumi? Mereka mematuhi perintah Yesus dan menghadiri Perjamuan Malam Tuan. Dengan penuh hormat, mereka hadir sebagai pemerhati, tetapi mereka tidak memakan atau meminum lambang-lambang. Sekali setahun selepas matahari terbenam pada 14 Nisan, Saksi-Saksi Yehuwa menyambut Perjamuan Malam Tuan. Walaupun hanya beberapa ribu orang di seluruh dunia mengaku bahawa mereka mempunyai harapan untuk naik ke syurga, sambutan ini sangat berharga kepada semua orang Kristian. Sambutan ini membuka peluang kepada semua orang untuk merenungi kasih terunggul yang diperlihatkan oleh Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus.​—Yohanes 3:16.