Saudara Artur Lokhvitskiy bersama isterinya, Anna

26 JANUARI 2021
RUSIA

Saudara Artur Lokhvitskiy Mungkin Dipenjarakan Selama Empat Tahun Selepas Serbuan Rumah di Birobidzhan

Saudara Artur Lokhvitskiy Mungkin Dipenjarakan Selama Empat Tahun Selepas Serbuan Rumah di Birobidzhan

Keputusan Mahkamah

Pada 2 Februari 2021, a Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi dijadualkan untuk mengumumkan keputusannya dalam kes yang melibatkan Saudara Artur Lokhvitskiy. Dia mungkin dipenjarakan selama empat tahun.

Profil

Artur Lokhvitskiy

  • Tarikh Lahir: 1986 (Belgorodskoye, Wilayah Autonomi Yahudi)

  • Biografi: Ayahnya meninggal semasa Artur berumur tujuh tahun. Seorang juruelektrik, dan pakar dalam bidang perlindungan kebakaran. Pernah menerima anugerah kerana memiliki etika kerja yang baik dan rajin

    Semasa Artur masih muda, ibunya menanam kasih kepada Yehuwa dalam hatinya. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 1998, ketika berumur 11 tahun. Berkahwin dengan isterinya, Anna, pada 2018. Mereka suka melancong dan melakukan aktiviti luar rumah

Sejarah Kes

Pada Mei 2018, tiga bulan selepas Artur dan Anna berkahwin, para pegawai menyerbu rumah mereka. Serbuan tersebut merupakan sebahagian daripada operasi yang diberi nama kod “Hari Penghakiman.” Terdapat 150 pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) menyerbu 22 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Rumah Irina, yang merupakan ibu Artur, juga digeladah. Pada 31 Julai 2019, para pegawai FSB di Birobidzhan membuka kes jenayah terhadap Artur kerana kononnya dia melakukan aktiviti ekstremis. Anna dan Irina juga didakwa dalam kes yang berasingan.

Kes tersebut menyebabkan keluarga ini tidak cukup wang untuk kehidupan seharian. Pihak berkuasa telah membeku akaun bank Artur. Tambahan pula, majikan mengancam untuk memberhentikan kerjanya.

Proses siasatan jenayah yang berterusan itu menjejaskan rutin harian mereka. Artur menjelaskan: “Cara hidup normal kami berubah sama sekali. Untuk rancang aktiviti mingguan (atau sehari pun) sangat susah. [Polis] suruh kami melaporkan diri pada masa yang berlainan dan sesuai bagi mereka. Jadi, kami sering kali terpaksa mengubah rancangan untuk hari itu.”

Artur dan Anna bersyukur atas bantuan daripada rakan seiman. Artur menjelaskan: “Saudara saudari amat menggalakkan kami dan membantu kami tetap tenang serta rapat dengan Yehuwa. . . . Kata-kata tidak dapat mengungkapkan betapa gembiranya kami kerana menjadi sebahagian persaudaraan Kristian ini dan diberi penghormatan untuk membela nama Yehuwa dalam perbicaraan mahkamah! Jelaslah bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan umat milik-Nya!”

Keluarga Lokhvitskiy juga mendapat kekuatan dan keberanian dengan mengekalkan rutin rohani. Namun, hal itu tidak mudah. Sejurus selepas serbuan “Hari Penghakiman” itu, Artur berkata, “Kami tiba-tiba tiada makanan rohani.” Pada mulanya, Artur rasa bimbang. Dia tertanya-tanya bagaimana dia dan keluarga dapat terus mengkaji Bible. Tetapi dia segera teringat satu kebenaran penting: “[Pegawai FSB] tidak dapat menghalang kami daripada berdoa. Kami terus berdoa dan itulah yang telah membantu kami.”

Yehuwa segera menjawab doa mereka dan memberi makanan rohani yang diperlukan agar dapat meneruskan rutin rohani. Artur berkata, “Kami buat apa yang terdaya untuk teruskan tabiat pembelajaran keluarga, persiapan perjumpaan, dan pembacaan Bible sekeluarga. Dengan berbuat demikian, kami bukan sahaja menjadi lebih rapat, malahan merasai bantuan Tuhan dan dapat mengekalkan sikap yang positif.”

Selain itu, satu perkara yang benar-benar membantu mereka ialah merenungkan berkat masa depan. Artur berkata, “Kami mula lebih memikirkan harapan masa hadapan dan membayangkan diri di dunia baharu. Kami ingin mengambil bahagian untuk membersihkan bumi dan selepas itu kerja pembinaan. Hal itu menguatkan kami dan memberi kami dorongan.”

Sambil menunggu ketibaan hari itu, Artur dan Anna sering kali memikirkan tentang Ibrani 13:6, yang berbunyi, “Yehuwa ialah penolongku; aku tidak akan berasa takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?” Artur menjelaskan: “Kami bertumpu pada kenyataan bahawa meskipun kebebasan kami disekat, perjumpaan kami diharamkan, ataupun Anna dan saya dipisahkan, mereka tidak boleh menyekat apa yang tersemat dalam hati kami, iaitu hubungan kami dengan Yehuwa, doa, dan harapan masa depan.”

a Tertakluk kepada perubahan.