Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Adakah Merokok Suatu Perbuatan yang Berdosa?

Jawapan Bible

Meskipun Bible tidak pernah menyebut tentang merokok * atau cara lain menggunakan tembakau, prinsip Bible menunjukkan bahawa Tuhan membenci segala perbuatan yang tidak suci dan yang memudaratkan kesihatan. Jadi, Dia memandang merokok sebagai perbuatan yang berdosa.

  • Menghormati nyawa. “Tuhan . . . memberikan kehidupan dan nafas . . . kepada semua orang.” (Kisah 17:24, 25) Memandangkan nyawa ialah kurniaan daripada Tuhan, kita tidak patut melakukan aktiviti yang boleh memendekkan jangka hayat kita, seperti merokok. Di seluruh dunia, merokok adalah salah satu penyebab utama kematian yang boleh dielakkan.

  • Mengasihi orang lain. “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Matius 22:39) Merokok di sekeliling orang lain tidak menunjukkan kasih. Orang yang selalu terdedah kepada asap si perokok (yang juga dikenali sebagai asap rokok basi) menghadapi risiko kesihatan yang lebih tinggi daripada perokok.

  • Orang Kristian perlu suci. “Mempersembahkan tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci dan yang menyenangkan hati Tuhan.” (Roma 12:1) “Marilah kita menyucikan diri daripada semua perkara yang menajiskan jiwa dan raga. Hendaklah kita takut akan Tuhan supaya kita menjadi suci dengan sepenuhnya.” (2 Korintus 7:1) Merokok ialah perbuatan yang tidak normal dan tidak suci, kerana orang yang menggunakan tembakau sedang mengambil toksin secara sengaja untuk merosakkan tubuh mereka.

Apakah pandangan Bible tentang penggunaan dadah rekreasi seperti ganja dan sebagainya?

Bible tidak menyebut secara langsung nama dadah seperti ganja dan sebagainya. Tetapi Bible mengandungi prinsip-prinsip yang jelas menunjukkan bahawa kita tidak harus menggunakan dadah untuk tujuan rekreasi. Selain daripada prinsip-prinsip yang telah disebut sebelum ini, sila perhatikan prinsip-prinsip yang berikut juga:

  • Kita perlu mengawal daya pemikiran. “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan . . . segenap akal.” (Matius 22:37, 38) “Peliharalah daya pemikiran kamu dengan sepenuhnya.” (1 Petrus 1:​13) Apabila seseorang menyalahgunakan dadah dan menjadi ketagih, dia tidak dapat mengawal sepenuhnya minda dan fikirannya. Fikiran mereka tertumpu pada cara mendapatkan dadah untuk memenuhi ketagihan mereka, dan bukannya perkara yang membina.​—Filipi 4:8.

  • Mematuhi undang-undang negara. “Patuh kepada kerajaan dan pihak berkuasa.” (Titus 3:1) Di banyak negara, terdapat undang-undang yang digubal supaya penggunaan sesetengah jenis dadah dikawal ketat. Jika kita ingin menyenangkan hati Tuhan, kita harus mematuhi pihak berkuasa.​—Roma 13:1.

^ per. 3 Perkataan “merokok” di sini bermaksud menghisap dengan sengaja asap tembakau daripada rokok, cerut, paip, atau shisha. Namun, prinsip yang dibincangkan juga sesuai digunakan untuk tabiat mengunyah tembakau, menyedut serbuk tembakau melalui hidung (snuff), penggunaan rokok elektronik yang mengandungi nikotin, dan sebagainya.