Lompat ke kandungan

Siapakah Maria Magdalena?

Siapakah Maria Magdalena?

Jawapan Bible

 Maria Magdalena merupakan pengikut Yesus Kristus yang setia. Nama Magdalena, mungkin diambil daripada nama kota Magdala (mungkin Magadan), yang terletak berhampiran Tasik Galilea. Dia mungkin pernah tinggal di sana.

 Maria Magdalena dan sekumpulan wanita telah menyertai Yesus dan murid-muridnya serta membantu menjaga keperluan mereka. (Lukas 8:1-3) Dia telah menyaksikan sendiri bagaimana Yesus dibunuh. Setelah Yesus dibangkitkan, dia juga merupakan antara saksi pertama yang melihat Yesus.—Markus 15:40; Yohanes 20:11-18.

 Adakah Maria Magdalena seorang pelacur?

 Bible tidak menyatakan bahawa Maria Magdalena ialah seorang pelacur. Mengenai latar belakangnya, Bible hanya menyatakan bahawa Yesus pernah membebaskannya daripada tujuh roh jahat.—Lukas 8:2.

 Mengapakah ramai orang percaya bahawa dia dahulunya seorang pelacur? Ratusan tahun selepas kematiannya, sesetengah orang berkata bahawa dia ialah wanita (kemungkinan seorang pelacur) yang membasahi kaki Yesus dengan air matanya lalu mengeringkan kaki Yesus dengan rambutnya. (Lukas 7:36-38) Namun tiada ayat Bible yang menyokong pandangan tersebut.

 Adakah Maria Magdalena “rasul kepada para rasul”?

 Tidak. Gereja Katolik memanggil Maria sebagai “Santo Maria Magdalena” dan “rasul kepada para rasul.” Hal ini kerana dialah antara orang pertama yang menyampaikan berita tentang pembangkitan Yesus kepada rasul yang lain. (Yohanes 20:18) Namun hal itu tidak bermaksud Maria ialah seorang rasul. Bible juga tidak pernah memberinya gelaran itu.—Lukas 6:12-16.

 Bible selesai ditulis pada akhir abad pertama Masihi. Tetapi, ratusan tahun kemudian, pihak gereja mula meninggikan Maria dan memanggilnya “santo.” Pada abad kedua dan ketiga pula, ada yang menulis bahawa sesetengah rasul Yesus berasa cemburu terhadap Maria. Sebenarnya, tulisan-tulisan itu bukanlah sebahagian daripada Bible yang diilhami Tuhan dan hanyalah rekaan semata-mata.

 Adakah Maria Magdalena isteri Yesus Kristus?

 Tidak. Bible dengan jelas menunjukkan bahawa Yesus tidak pernah berkahwin. a