Lompat ke kandungan

Apakah yang Dikatakan Bible tentang Asal Usul Halloween?

Jawapan Bible

Bible tidak menyebut tentang Halloween. Namun, asal usul dan cara perayaan ini disambut menunjukkan bahawa Halloween berkaitan dengan kepercayaan tentang orang mati dan makhluk roh, atau roh-roh jahat.​—Lihat  “Asal usul dan kepercayaan mengenai Halloween.”

Bible memberikan amaran ini: “Jangan didapati dalam kalangan kamu . . . orang yang meminta petunjuk daripada orang mati.” (Ulangan 18:10-​12, Alkitab Versi Borneo) Walaupun ada yang menyambut Halloween sekadar untuk berseronok, Bible menyatakan bahawa adat dan kebiasaan perayaan ini berbahaya. Di 1 Korintus 10:20, 21, Bible menyatakan, “Aku tidak mahu kamu menjadi satu dengan roh-roh jahat. Kamu tidak boleh minum daripada cawan Tuhan, lalu minum pula daripada cawan roh jahat.”​—Alkitab Berita Baik.

 Asal usul dan kepercayaan mengenai Halloween

  1. Samhain: Menurut The World Book Encyclopedia, Halloween berasal daripada perayaan Samhain, iaitu perayaan yang disambut oleh orang Celt sejak lebih 2,000 tahun yang lalu. Buku itu menyatakan, “Orang Celt percaya bahawa orang mati akan kembali bersama orang yang masih hidup sewaktu [perayaan] ini. Semasa [perayaan] Samhain, orang yang hidup dapat berhubung dengan orang mati.” Namun, Bible dengan jelas mengajarkan bahawa orang yang mati “tidak tahu apa-apa pun.” (Pengkhutbah 9:5) Maka, mereka tidak boleh berhubung dengan orang yang masih hidup.

  2. Pakaian Halloween, gula-gula, dan “trick or treat”: Menurut buku Halloween​—An American Holiday, An American History, sesetengah orang Celt memakai pakaian yang menyeramkan agar roh jahat menyangka bahawa mereka juga sama dengan hantu dan tidak mengganggu mereka. Ada juga yang mempersembahkan gula-gula kepada roh untuk menyenangkan hati mereka. Pada Zaman Pertengahan di Eropah, pemimpin agama Katolik mencampurkan adat kafir ke dalam agama mereka. Mereka juga menyuruh pengikut mereka untuk memakai kostum dan pergi dari rumah ke rumah untuk meminta hadiah kecil. Namun, Bible melarang adat agama palsu untuk dicampurkan dalam ibadat Tuhan.​—2 Korintus 6:​17.

  3. Hantu, puntianak, serigala jadian, ahli sihir, dan zombi: Semua yang disebutkan ini dikaitkan dengan alam roh jahat. (Halloween Trivia) Bible dengan jelas menyatakan bahawa kita harus melawan roh-roh jahat dan bukannya menyambut perayaan yang berkaitan dengan mereka.​—Efesus 6:​12.

  4. Labu Halloween: Pada Zaman Pertengahan di Britain, “sesetengah orang akan pergi dari rumah ke rumah untuk meminta makanan lalu mengucapkan doa untuk orang mati. Mereka juga mengangkat tanglung yang diperbuat daripada lobak bulat. Lilin dalam tanglung melambangkan roh yang terkurung di suatu alam dan sedang dimurnikan dalam api penyucian.” (Halloween​—From Pagan Ritual to Party Night) Sesetengah orang juga percaya bahawa tanglung tersebut digunakan untuk menghalau roh-roh jahat. Sekitar tahun 1800 di Amerika Utara, lobak tidak lagi digunakan. Sebaliknya, labu digunakan kerana jumlahnya yang banyak, mudah diukir, dan isinya senang dikeluarkan. Semua kebiasaan ini berasal daripada kepercayaan yang tidak berdasarkan Bible, seperti roh yang tidak dapat mati, api penyucian, dan doa kepada orang mati.​—Yehezkiel 18:4.