Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Apakah Itu Paska?

Jawapan Bible

Orang Yahudi menyambut perayaan Paska untuk memperingati bagaimana Tuhan membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir pada tahun 1513 SM. Tuhan menyuruh orang Israel untuk memperingati peristiwa itu setiap tahun pada hari ke-14 bulan Abib, yang kemudiannya dipanggil bulan Nisan.​—Keluaran 12:42; Imamat 23:5.

Mengapakah sambutan itu dipanggil Paska?

Dalam bahasa Ibrani, perkataan “Paska” bererti “melewati.” Sebelum Tuhan mendatangkan tulah untuk membunuh semua anak sulung di Mesir, dia menyuruh orang Israel untuk memercikkan darah anak bebiri atau anak kambing pada ambang dan tiang pintu mereka. (Keluaran 12:21, 22, 27; 13:15) Semasa Tuhan melihat darah yang dipercikkan itu, Dia akan “melewati” rumah orang Israel dan anak sulung mereka tidak akan dibunuh.​—Keluaran 12:​7, 13.

Bagaimanakah Paska disambut pada zaman Bible?

Tuhan memberi orang Israel arahan tentang cara menyambut perayaan Paska yang pertama. * Menurut Bible, beberapa arahan itu merangkumi:

  • Korban: Setiap keluarga perlu memilih seekor anak bebiri (atau kambing) yang berusia satu tahun pada hari ke-10 bulan Abib (Nisan) dan menyembelihnya pada hari ke-14. Semasa Paska yang pertama, orang Yahudi memercikkan darah binatang itu pada tiang dan ambang pintu rumah mereka, memanggang seluruh binatang itu tanpa memotongnya, dan memakannya.​—Keluaran 12:3-9.

  • Makanan: Selain memakan biri-biri (atau kambing), orang Israel juga memakan roti yang tidak beragi dan sayur pahit.​—Keluaran 12:8.

  • Perayaan: Orang Israel menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari selepas Paska. Sepanjang masa itu, mereka tidak makan apa-apa yang beragi.​—Keluaran 12:17-​20; 2 Tawarikh 30:21.

  • Pendidikan: Semasa perayaan Paska, ibu bapa akan mengajar anak tentang Yehuwa.​—Keluaran 12:25-27.

  • Perjalanan: Orang Israel kemudiannya perlu pergi ke Yerusalem untuk menyambut perayaan Paska.​—Ulangan 16:5-7; Lukas 2:​41.

  • Amalan lain: Pada zaman Yesus, orang juga minum wain dan menyanyi semasa sambutan Paska.​—Matius 26:19, 30; Lukas 22:15-​18.

Tanggapan yang salah mengenai Paska

Tanggapan yang salah: Orang Israel makan hidangan Paska pada 15 Nisan.

Kebenaran: Tuhan memerintahkan orang Israel untuk menyembelih anak bebiri sejurus selepas matahari terbenam pada 14 Nisan dan memakannya pada malam yang sama. (Keluaran 12:​6, 8) Menurut kalender orang Israel, hari bermula atau berakhir semasa matahari terbenam. (Imamat 23:32) Maka, orang Israel menyembelih anak bebiri dan makan hidangan Paska pada permulaan 14 Nisan.

Tanggapan yang salah: Orang Kristian patut menyambut Paska.

Kebenaran: Selepas Yesus menyambut Paska pada 14 Nisan 33 M, dia memperkenalkan satu sambutan baharu iaitu Perjamuan Malam Tuan. (Lukas 22:19, 20; 1 Korintus 11:20) Sambutan itu menggantikan perayaan Paska kerana diadakan untuk memperingati pengorbanan “Kristus, bebiri Paska kita.” (1 Korintus 5:7) Korban tebusan Yesus lebih bernilai daripada korban Paska kerana dapat membebaskan semua orang daripada dosa dan kematian.​—Matius 20:28; Ibrani 9:​15.

^ per. 7 Namun, seraya masa berlalu, beberapa perubahan telah dibuat. Contohnya, orang Israel menyambut Paska yang pertama dengan tergesa-gesa kerana mereka perlu bersedia meninggalkan Mesir. (Keluaran 12:11) Setelah mereka tiba di Tanah yang Dijanjikan, mereka tidak perlu menyambut Paska secara tergesa-gesa lagi.