Lompat ke kandungan

Apakah Itu Pembangkitan?

Apakah Itu Pembangkitan?

Jawapan Bible

 Dalam Bible, perkataan “pembangkitan” berasal daripada perkataan Yunani a·naʹsta·sis, yang bermaksud “bangun” atau “berdiri semula.” Selepas seseorang dibangkitkan, dia dihidupkan kembali daripada kematian sebagai orang yang sama.​—1 Korintus 15:12, 13.

 Biarpun perkataan “pembangkitan” tidak muncul dalam Kitab Ibrani, yang sering dipanggil Perjanjian Lama, ajaran tentang pembangkitan sebenarnya tersirat di dalamnya. Sebagai contoh, melalui Nabi Hosea, Tuhan berjanji, “Akulah yang menyelamatkan orang dari Kuburan. Ya, Akulah yang melepaskan orang daripada cengkaman maut.”​—Hosea 13:14; Ayub 14:13-​15; Yesaya 26:19; Daniel 12:​2, 13.

 Di manakah orang yang dibangkitkan akan hidup? Ada orang yang akan dibangkitkan ke syurga, dan mereka akan memerintah sebagai raja bersama Kristus. (2 Korintus 5:1; Wahyu 5:​9, 10) Bible memanggil pembangkitan ini sebagai “pembangkitan yang pertama” dan “pembangkitan yang lebih awal.” Kedua-dua ungkapan ini menunjukkan bahawa ada pembangkitan lain yang akan menyusul. (Wahyu 20:6; Filipi 3:​11) Pembangkitan lain itu ialah pembangkitan bagi kebanyakan orang yang akan dihidupkan kembali di bumi.​—Mazmur 37:29.

 Bagaimanakah orang akan dibangkitkan? Tuhan memberi Yesus kuasa untuk membangkitkan orang mati. (Yohanes 11:25) Yesus akan membangkitkan “semua orang di dalam makam peringatan,” dan mereka akan dibangkitkan dengan identiti, personaliti, dan memori masing-masing. (Yohanes 5:​28, 29) Orang yang dibangkitkan ke syurga akan dibangkitkan dengan tubuh roh, tetapi orang yang dibangkitkan di bumi akan dibangkitkan dengan tubuh fizikal yang sihat, kuat, dan tiada cacat cela.​—Yesaya 33:24; 35:​5, 6; 1 Korintus 15:42-​44, 50.

 Siapakah yang akan dibangkitkan? Bible memberitahu kita bahawa Tuhan akan “membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.” (Kisah 24:15) Orang yang baik termasuk orang seperti Nuh, Sara, dan Abraham. (Kejadian 6:9; Ibrani 11:11; Yakobus 2:​21) Orang yang tidak baik merangkumi orang yang tidak mematuhi piawaian Tuhan kerana tidak berpeluang untuk mempelajari dan mematuhi ajaran Bible.

 Tetapi, orang yang sangat jahat sehingga mustahil untuk berubah tidak akan dibangkitkan. Selepas mereka mati, mereka akan binasa dan mereka tidak mempunyai harapan untuk dibangkitkan.​—Matius 23:33; Ibrani 10:26, 27.

 Bilakah orang akan dibangkitkan? Bible menubuatkan bahawa pembangkitan ke syurga akan berlaku semasa kehadiran Kristus, yang bermula pada tahun 1914. (1 Korintus 15:21-​23) Pembangkitan di bumi akan berlaku semasa Pemerintahan Seribu Tahun Yesus Kristus, iaitu semasa bumi diubah menjadi sebuah firdaus.​—Lukas 23:43; Wahyu 20:​6, 12, 13.

 Mengapakah ajaran pembangkitan dapat dipercayai? Bible memberi kita maklumat terperinci tentang sembilan kisah pembangkitan, dan setiap kisah itu disaksikan orang. (1 Raja-Raja 17:17-​24; 2 Raja-Raja 4:​32-​37; 13:20, 21; Lukas 7:​11-​17; 8:​40-​56; Yohanes 11:38-​44; Kisah 9:​36-​42; Kisah 20:​7-​12; 1 Korintus 15:​3-6) Pembangkitan Lazarus sangat menarik kerana Yesus telah membangkitkan Lazarus yang telah mati selama empat hari dan hal itu disaksikan oleh banyak orang. (Yohanes 11:39, 42) Musuh Yesus pun tidak dapat menafikan bahawa Yesus telah membangkitkan Lazarus. Maka mereka telah berkomplot untuk membunuh Yesus dan Lazarus.​—Yohanes 11:47, 53; 12:​9-​11.

 Bible memberitahu kita bahawa Tuhan mempunyai kemampuan dan keinginan untuk membangkitkan orang. Memori dan kuasa Yehuwa tiada batasnya. Dia dapat mengingat semua perincian tentang setiap orang yang akan dibangkitkan-Nya. (Ayub 37:23; Matius 10:30; Lukas 20:37, 38) Sememangnya, Tuhan dapat membangkitkan orang yang telah mati, dan Dia mahu berbuat demikian! Bible menggambarkan perasaan Tuhan dengan menyatakan, “Engkau sangat rindu akan orang yang telah Engkau ciptakan.”​—Ayub 14:15.

Tanggapan yang salah tentang pembangkitan

 Sangkaan orang: Pembangkitan ialah penyatuan semula jiwa dengan tubuh.

 Kebenaran: Bible mengajarkan bahawa manusia ialah jiwa. Tidak ada apa-apa dalam diri seseorang yang akan terus hidup setelah dia mati. (Kejadian 2:7; Yehezkiel 18:4) Orang yang dibangkitkan tidak akan disatukan semula dengan jiwanya kerana dia akan dibangkitkan kembali sebagai jiwa yang hidup.

 Sangkaan orang: Sesetengah orang akan dibangkitkan lalu dibinasakan dengan serta-merta.

 Kebenaran: Bible menyatakan bahawa “orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihakimi.” (Yohanes 5:​29) Namun, mereka akan dihakimi berdasarkan pada perbuatan seseorang selepas dia dibangkitkan. Yesus berkata, “Orang mati akan mendengar suara Anak Tuhan. Mereka yang memberikan perhatian akan hidup.” (Yohanes 5:​25) Ya, jika orang “memberikan perhatian,” atau mematuhi ajaran Tuhan, selepas mereka dibangkitkan, nama mereka akan dicatatkan dalam “kitab kehidupan.”​—Wahyu 20:12, 13.

 Sangkaan orang: Semasa pembangkitan, seseorang akan menerima tubuh yang sama dengan tubuhnya sebelum dia mati.

 Kebenaran: Selepas kematian, tubuh seseorang kemungkinan besar sudah hancur dan reput.—Pengkhutbah 3:​19, 20.