Lompat ke kandungan

Saksi-Saksi Yehuwa

Pilih Bahasa Melayu

Adakah Semua Agama Sama? Adakah Semua Agama Membantu Kita Menghampiri Tuhan?

Jawapan Bible

Tidak. Semua agama tidak sama. Bible mengandungi banyak contoh agama yang tidak menyenangkan Tuhan. Agama-agama sedemikian tergolong dalam dua kategori yang berikut.

Kategori 1: Menyembah tuhan-tuhan palsu

Bible menyatakan bahawa penyembahan Tuhan palsu adalah “sia-sia” dan “tidak membawa sebarang kebaikan.” (Yeremia 10:​3-5; 16:19, 20) Tuhan Yehuwa * memerintahkan bangsa Israel kuno, “Jangan menyembah tuhan-tuhan lain. Sembahlah Aku sahaja.” (Keluaran 20:​3, 23; 23:24) Semasa orang Israel menyembah tuhan lain, “Yehuwa menjadi sangat murka.”​—Bilangan 25:3; Imamat 20:2; Hakim-Hakim 2:​13, 14.

Hari ini, Tuhan masih memiliki pandangan yang sama terhadap penyembahan tuhan-tuhan palsu. (1 Korintus 8:​5, 6; Galatia 4:8) Dia memberikan perintah kepada mereka yang ingin menyembah-Nya agar tidak mempunyai kaitan dengan orang yang mengamalkan ibadat palsu. Tuhan berkata, “Keluarlah daripada kalangan mereka, dan asingkanlah diri daripada mereka.” (2 Korintus 6:​14-​17) Jika semua agama sama dan membimbing orang kepada Tuhan, mengapakah Tuhan perlu memberikan perintah sedemikian?

Kategori 2: Menyembah Tuhan yang benar dalam cara yang tidak diperkenankan-Nya

Dulu, orang Israel kuno menyembah Tuhan mengikut cara dan amalan yang digunakan untuk menyembah tuhan palsu. Namun, Yehuwa menolak penyembahan sedemikian kerana mereka mencuba untuk mencampuradukkan agama benar dan palsu. (Keluaran 32:8; Ulangan 12:​2-4) Yesus mengutuk pemimpin agama pada zamannya kerana cara mereka menyembah Tuhan. Walaupun mereka nampaknya alim, mereka sebenarnya bermuka dua kerana mereka “tidak mempedulikan hal-hal yang lebih penting dalam Hukum, iaitu keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan.”​—Matius 23:23.

Hari ini, hanya agama yang berdasarkan kebenaran membimbing orang kepada Tuhan. Kebenaran ini boleh ditemui dalam Bible. (Yohanes 4:​24; 17:17; 2 Timotius 3:​16, 17) Agama yang ajarannya bercanggahan dengan Bible sebenarnya menjauhkan orang daripada Tuhan. Ramai orang berfikir bahawa ajaran seperti Tritunggal, jiwa yang tidak dapat mati, dan seksaan kekal adalah daripada Bible. Tetapi ajaran-ajaran sedemikian sebenarnya berasal daripada orang yang menyembah tuhan palsu. Agama yang mengajarkan ajaran sebegitu hanya “sia-sia sahaja.” Hal ini kerana agama itu menggantikan ajaran Tuhan dengan tradisi.​—Markus 7:​7, 8.

Tuhan membenci orang yang hidup tidak selaras dengan ajaran agama mereka. (Titus 1:​16) Agama haruslah mempengaruhi kehidupan seharian seseorang dan bukan hanya dipenuhi dengan adat keagamaan dan kebiasaan. Dengan demikian, agama itu dapat membantu orang mendekatkan diri kepada Tuhan. Sebagai contoh, Bible mengatakan, “Jika seseorang menganggap dirinya alim tetapi tidak mengekang lidahnya dengan baik, dia menipu dirinya sendiri dan ibadatnya sia-sia sahaja. Di mata Tuhan, Bapa kita, inilah agama yang murni dan suci: Menjaga anak yatim dan balu yang menderita, dan memastikan diri tidak dicemari oleh dunia ini.” (Yakobus 1:​26, 27; nota kaki) Alkitab Berita Baik menggunakan ungkapan “ibadat yang murni” untuk merujuk kepada penyembahan yang sejati.

^ per. 5 Yehuwa ialah nama Tuhan yang benar seperti yang tercatat dalam Bible.