Lompat ke kandungan

E+/IvanJekic via Getty Images

SIAPAKAH PEREKANYA?

Penerbangan Benih Bunga Dandelion

Penerbangan Benih Bunga Dandelion

 Benih dandelion mempunyai kebolehan yang menakjubkan untuk terapung di udara. Apabila ditiup angin, berpuluh-puluh benih dandelion akan terbang seperti payung terjun kecil. Walaupun benih dandelion terapung agak dekat dengan paras tanah, benihnya dapat disebarkan oleh angin sejauh satu kilometer atau lebih. Bagaimanakah benih dandelion dapat terapung begitu lama di udara? Saintis mendapati bahawa cara penerbangan benih dandelion yang sangat istimewa membolehkannya terbang dengan lebih stabil dan empat kali lebih efisien berbanding payung terjun.

 Fikirkan: Setiap benih mempunyai bulu halus yang tersusun rapi yang dipanggil pappus. Pappus berfungsi seperti payung terjun dan mewujudkan daya seretan agar benih terapung di udara.

Beberapa penyelidik berpendapat bahawa pusaran angin yang dihasilkan membantu benih dandelion terapung lebih lama

 Bukan itu saja, pusaran angin dihasilkan apabila angin bertiup melalui pappus. Pusaran angin ini menyebabkan ruang udara di bahagian atas pappus mempunyai tekanan yang lebih rendah agar benih terapung lebih lama dan tidak cepat jatuh ke tanah.

 Sememangnya, rekaan pappus jauh lebih efisien dan stabil berbanding payung terjun walaupun pappus mudah ditembus angin. Selain itu, rekaannya hanya perlu sedikit bahan kerana 90 peratus daripada pappus ialah ruangan kosong.

 Para saintis ingin menggunakan ilmu tentang penerbangan benih dandelion untuk menghasilkan peralatan yang lebih canggih. Salah satunya mungkin ialah rekaan dron bersaiz kecil yang hanya memerlukan sedikit tenaga untuk terbang. Dron sebegini mempunyai banyak kegunaan termasuk memantau kadar pencemaran udara.

 Lihatlah penerbangan benih bunga dandelion

 Apakah pandangan anda? Adakah penerbangan benih dandelion yang sangat efisien wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?