Lompat ke kandungan

TIRULAH IMAN MEREKA | ELIA

Dia Bertabah sampai Akhir

Dia Bertabah sampai Akhir

 Elia menerima berita tentang kematian Raja Ahab. Kita boleh bayangkan nabi yang lanjut usia ini sedang mengusap janggutnya sambil termenung. Dia sedang berfikir dengan mendalam tentang hal-hal yang berlaku selama puluhan tahun antara dia dan raja yang keji itu. Ya, Elia sudah bertabah buat masa yang lama! Dia pernah diugut, diburu, dan juga berhadapan dengan maut. Semua ini ialah angkara Raja Ahab dan permaisurinya, Izebel. Raja itu langsung tidak buat apa-apa untuk menghalang Izebel daripada membunuh nabi-nabi Yehuwa. Pasangan yang tamak itu juga bersubahat untuk membunuh seorang lelaki yang jujur dan setia yang bernama Nabot serta anak-anak lelakinya. Oleh itu, Elia telah menyampaikan berita penghakiman Yehuwa ke atas Ahab dan keturunannya. Sekarang, kata-kata Yehuwa telah menjadi kenyataan. Cara Ahab mati berlaku tepat sepertimana yang dinubuatkan Yehuwa.​—1 Raja-Raja 18:4; 21:​1-​26; 22:37, 38; 2 Raja-Raja 9:​26.

 Walau bagaimanapun, Elia sedar bahawa dia perlu terus bertabah. Izebel masih hidup dan dia masih membawa pengaruh yang buruk ke atas keluarga diraja dan rakyat Israel. Elia akan berhadapan dengan banyak lagi cabaran, dan ada banyak lagi yang dia perlu ajar kepada sahabat dan penggantinya, Elisa. Mari kita membincangkan tiga tugas Elia yang terakhir. Dengan melihat bagaimana iman membantu Elia terus bertabah, kita dapat belajar cara untuk meneguhkan iman sendiri seraya kita hidup di dunia yang sarat dengan masalah.

Penghakiman Ahazia

 Ahazia ialah putera kepada Ahab dan Izebel. Kini, dia memerintah sebagai raja bangsa Israel. Dia tidak mengambil iktibar daripada kesilapan ibu bapanya, sebaliknya dia mengikut jejak mereka yang keji. (1 Raja-Raja 22:52) Dia juga menyembah Baal seperti ibu bapanya. Penyembahan Baal mempengaruhi penganutnya untuk melakukan perkara-perkara yang jahat, seperti melakukan pelacuran di tempat ibadat dan bahkan mempersembahkan anak-anak sebagai korban. Adakah apa-apa yang dapat mendorong Ahazia untuk bertaubat dan membantu bangsa Israel meninggalkan penyembahan yang keji itu?

 Pada suatu hari, raja yang muda dan angkuh ini ditimpa kemalangan. Dia terjatuh dari siling istananya lalu cedera parah. Walaupun nyawanya terancam, dia enggan berpaling kepada Yehuwa untuk mendapatkan bantuan. Sebaliknya, dia menghantar utusan-utusannya ke kota Ekron di Filistin, negeri musuhnya. Dia ingin mendapatkan petunjuk daripada dewa Baal-zebub untuk mengetahui sama ada dia akan sembuh atau tidak. Yehuwa sangat murka dan tidak dapat berdiam diri lagi! Dia mengutus malaikat-Nya untuk menyuruh Elia menghalang utusan-utusan tersebut. Nabi Elia menyuruh mereka kembali kepada raja untuk menyampaikan mesej penghakiman. Ahazia telah melakukan dosa yang besar. Tindakannya menunjukkan bahawa bangsa Israel seolah-olah tidak mempunyai Tuhan. Oleh itu, Yehuwa mengatakan bahawa Ahazia tidak akan bangun lagi dari tempat tidurnya.​—2 Raja-Raja 1:​2-4.

 Nampaknya Ahazia tidak bertaubat. Sebaliknya dia tanya utusan-utusannya, “Bagaimanakah rupa lelaki yang menemui kamu dan menyampaikan pesanan ini?” Mereka berkata bahawa lelaki itu berpakaian sederhana. Lalu, Ahazia segera berkata, “Lelaki itu ialah Elia.” (2 Raja-Raja 1:​7, 8) Cara hidup Elia sangat sederhana dan dia sentiasa bertumpu kepada khidmat Tuhan. Oleh itu, ketika mendengar gambaran orang tentang Elia, Ahazia dapat terus mengenalnya. Sebaliknya, cara hidup Ahazia dan ibu bapanya jauh berbeza. Mereka bersifat tamak dan mengasihi harta benda. Teladan Elia mengingatkan kita untuk menerapkan nasihat Yesus dengan hidup sederhana dan bertumpu kepada perkara yang lebih penting.​—Matius 6:​22-​24.

 Demi membalas dendam, Ahazia mengutus ketua tenteranya berserta 50 orang askar-askar untuk menangkap Elia. Mereka menemui Elia yang “sedang duduk di atas sebuah gunung.” a Ketua tentera dengan kasar memberikan perintah atas nama raja untuk menyuruh Elia “turun.” Perintah itu mungkin memaksudkan bahawa Elia akan ditangkap lalu dihukum mati. Bayangkan, meskipun mereka tahu bahawa Elia ialah “nabi Tuhan,” askar-askar itu tetap mahu menggertak dan mengancam Elia. Jelaslah tindakan mereka itu silap sama sekali! Elia memberitahu ketua tentera itu, “Jika aku ini nabi Tuhan, biarlah api turun dari langit dan melenyapkan kamu dan 50 orang askarmu.” Tuhan benar-benar bertindak! “Api pun turun dari langit dan melenyapkan ketua tentera itu bersama 50 orang askarnya.” (2 Raja-Raja 1:​9, 10) Malapetaka yang menimpa askar-askar itu menunjukkan bahawa Yehuwa tidak akan meremehkan perbuatan orang yang menghina dan tidak menghormati umat-Nya.​—1 Tawarikh 16:21, 22.

 Ahazia kemudiannya menghantar seorang lagi ketua tentera berserta 50 orang askarnya. Ketua tentera ini bertindak lebih melulu berbanding yang pertama. Biarpun dia mungkin nampak abu mayat 51 orang askar yang diutus sebelumnya masih bertaburan di lereng bukit, dia langsung tidak mengambil iktibar daripada kematian mereka. Dia bukan sahaja mengulangi perintah yang pernah diberikan kepada Elia untuk “turun,” dia bahkan menyuruhnya untuk “turun dengan segera.” Betapa bodohnya tindakan itu! Akibatnya, dia dan askar-askarnya juga kehilangan nyawa seperti yang berlaku kepada kumpulan askar yang pertama. Namun, orang yang paling tidak berakal ialah raja mereka. Dia mengutus lagi sebuah kumpulan buat kali ketiga. Tetapi, ketua tentera yang ketiga ini bertindak dengan bijak. Dia dengan rendah hati menghampiri Elia dan merayu agar dia serta pasukannya tidak dibunuh. Sebagai nabi Tuhan, Elia meniru sifat Yehuwa dan memperlakukan mereka dengan belas kasihan. Malaikat Yehuwa memberitahu Elia untuk pergi bersama askar-askar tersebut. Elia mentaati arahan itu dan menyampaikan berita penghakiman Yehuwa kepada raja yang jahat itu. Seperti yang difirmankan Tuhan, Ahazia pun meninggal. Pemerintahannya hanya berlangsung selama dua tahun.​—2 Raja-Raja 1:​11-​17.

Elia mencerminkan belas kasihan Yehuwa terhadap ketua tentera yang rendah hati

 Bagaimanakah Elia dapat terus bertabah walaupun dikelilingi orang yang keras kepala dan suka memberontak? Jawapannya penting bagi kita hari ini. Mengapa? Pernahkah anda berasa kecewa apabila orang yang anda sayangi enggan mendengar nasihat yang baik dan berkeras untuk mengikut haluan yang salah? Bagaimanakah kita boleh tetap bersabar biarpun berasa kecewa? Kita dapat belajar sesuatu daripada kisah Elia. Askar-askar menemui Elia “di atas sebuah gunung.” Kita tidak pasti sebabnya Elia berada di sana. Tetapi kita tahu bahawa Elia seorang yang suka berdoa. Maka dia tentu berasa bahawa tempat yang sunyi itu membolehkannya lebih menghampiri Tuhan yang dikasihinya melalui doa. (Yakobus 5:​16-​18) Seperti Elia, kita mahu selalu meluangkan masa untuk berdoa kepada Tuhan. Kita juga boleh menyeru nama-Nya serta meluahkan semua masalah dan kebimbangan kita kepada-Nya. Dengan itu, kita akan dapat bertabah meskipun orang di sekeliling kita memilih haluan yang salah dan merugikan diri sendiri.

Elisa Menerima Jubah Elia

 Sudah tiba masanya bagi Elia untuk menyerahkan tugasnya kepada Elisa. Perhatikan apa yang dilakukannya. Ketika meninggalkan Gilgal, Elia menggesa Elisa untuk tetap berada di sana. Elia pula akan meneruskan perjalanan seorang diri ke Bethel, lebih kurang 11 kilometer dari Gilgal. Tetapi Elisa berkata, “Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup dan demi tuan bahawa aku tidak akan meninggalkan tuan.” Apabila mereka berdua sampai ke Bethel, Elia memberitahu Elisa bahawa dia akan pergi ke Yerikho seorang diri, lebih kurang 22 kilometer jauhnya. Sekali lagi, Elisa bertegas untuk mengikutinya. Sebelum mereka bertolak ke Sungai Yordan, lebih kurang 8 kilometer dari Yerikho, perkara yang sama berlaku buat kali ketiga. Pemuda itu berpegang teguh pada keputusannya. Dia enggan meninggalkan Elia!​—2 Raja-Raja 2:​1-6.

 Elisa menunjukkan satu sifat yang penting, iaitu kasih yang setia. Rut juga menunjukkan kasih yang sama terhadap Naomi. Kasih ini mendorong seseorang untuk tetap berpaut pada individu yang dikasihi. (Rut 1:​15, 16) Semua umat Tuhan perlu memiliki sifat ini, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Adakah kita mengutamakan sifat ini seperti Elisa?

 Hati Elia tentu tersentuh apabila melihat kasih setia yang ditunjukkan oleh sahabatnya yang muda. Oleh sebab sifat kasih setia itu, Elisa berpeluang untuk menyaksikan mukjizat Elia yang terakhir di pinggir Sungai Yordan. Sesetengah bahagian di Sungai Yordan biasanya deras dan dalam. Namun, semasa Elia memukul air sungai dengan jubahnya, sungai itu terbelah menjadi dua! Terdapat “50 orang nabi” yang turut menyaksikan mukjizat ini. Mereka terdiri daripada sekumpulan orang yang sedang dilatih untuk mengambil pimpinan dalam ibadat suci. (2 Raja-Raja 2:​7, 8) Kemungkinan besar, latihan itu diberikan oleh Elia. Beberapa tahun sebelumnya, Elia pernah berasa bahawa dia seorang sahaja penyembah Yehuwa yang masih setia. Tetapi Elia tetap bertabah dan Yehuwa telah memberkatinya. Sejak itu, dia dapat menyaksikan peningkatan yang besar dalam jumlah penyembah Yehuwa.​—1 Raja-Raja 19:10.

 Setelah mereka menyeberangi Sungai Yordan, Elia memberitahu Elisa, “Katakanlah apa yang kamu mahu aku lakukan untukmu sebelum aku dibawa pergi.” Elia sedar bahawa masanya untuk pergi telah tiba. Dia tidak berasa cemburu terhadap penghormatan dan kedudukan yang akan diterima oleh sahabatnya yang muda itu. Sebaliknya, Elia ingin sekali membantunya dalam apa jua cara. Elisa pun memberitahu satu permintaannya. Dia berkata, “Benarkanlah aku menerima dua kali ganda kuasa suci Tuhan yang tuan miliki.” (2 Raja-Raja 2:9) Menurut Hukum Musa, anak sulung akan memikul tanggungjawab baharu sebagai ketua keluarga yang seterusnya, maka dialah yang akan menerima bahagian terbesar atau dua bahagian daripada harta warisan. (Ulangan 21:17) Elisa bukannya menginginkan dua kali ganda kuasa suci yang diterima Elia. Sebaliknya, Elisa ingin memperoleh keberanian seperti Elia dalam menjalankan tugasnya yang baharu sebagai pengganti Elia.

 Dengan rendah hati, Elia membiarkan Yehuwa menjawab permintaan Elisa. Jika Yehuwa membenarkan Elisa untuk melihat Elia dibawa pergi, hal itu bermaksud bahawa permintaannya dikabulkan. Tidak lama kemudian, semasa dua sahabat itu sedang “berbual-bual sambil berjalan,” sesuatu yang menakjubkan berlaku!​—2 Raja-Raja 2:​10, 11.

Persahabatan antara Elia dan Elisa sememangnya membantu mereka bertabah mengharungi kesusahan

 Tiba-tiba, cahaya yang ganjil menerangi langit dan semakin mendekati mereka. Bayangkan sesuatu yang bersinar-sinar sedang meluru ke arah kedua-dua orang itu dan diiringi bunyi deruan ribut angin kencang, lalu memisahkan Elia dan Elisa. Mereka begitu terpegun semasa melihat keadaan itu. Kemudian mereka nampak sebuah kereta kuda yang bercahaya terang seolah-olah dibuat daripada api. Elia tahu bahawa masanya telah tiba. Adakah Elia menaiki kereta kuda itu? Bible tidak memberitahu secara spesifik. Namun Bible menyatakan bahawa Elia diangkat ke langit dengan angin ribut.

 Kejadian itu membuatkan Elisa tergamam. Oleh sebab dia berpeluang untuk menyaksikan peristiwa yang menakjubkan itu, Elisa yakin bahawa Yehuwa akan memberinya “dua kali ganda” keberanian yang dimiliki Elia. Namun, pada ketika itu, Elisa terlalu sedih untuk memikirkan hal itu. Dia tidak tahu ke mana sahabatnya yang dikasihi pergi, tetapi dia mungkin berasa bahawa dia tidak akan dapat bertemu dengan Elia lagi. Dia berseru, “Tuanku, oh tuanku! Kereta kuda Israel dan penunggang kudanya!” Dia melihat guru yang disayanginya dibawa semakin jauh sehingga tidak lagi dapat dilihat. Elisa mengoyakkan bajunya dengan penuh duka.​—2 Raja-Raja 2:​12.

 Sewaktu Elia diangkat ke langit, adakah dia terdengar tangisan sahabatnya yang muda, lalu turut menitiskan air mata? Tidak kira apa pun jawapannya, Elia sedar bahawa dia dapat bertabah mengharungi cabaran kerana adanya sahabat karib seperti Elisa. Oleh itu, tirulah teladan Elia dan pupuklah persahabatan dengan orang yang mengasihi Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya!

Yehuwa memindahkan Elia untuk menjalankan tugas yang baharu

Tugas yang Terakhir

 Sebenarnya, Elia dibawa ke mana? Sesetengah agama mengajarkan bahawa dia dibawa ke pangkuan Tuhan di syurga. Namun hal itu adalah mustahil. Berabad-abad kemudian, Yesus menyatakan bahawa tiada seorang pun yang pernah naik ke syurga sebelum dia. (Yohanes 3:​13) Sesetengah Bible mengatakan bahawa “Elia diangkat ke syurga” oleh ribut angin. (2 Raja-Raja 2:​11, Alkitab Berita Baik) Jadi apakah maksudnya? Perkataan “syurga” yang digunakan dalam Bible tidak hanya merujuk kepada tempat Yehuwa berada, tetapi juga merujuk kepada atmosfera bumi, tempat di mana awan-awan berada dan burung-burung berterbangan. (Mazmur 147:8) Jadi Elia diangkat ke langit dan bukannya ke syurga. Apakah yang berlaku seterusnya?

 Yehuwa telah memindahkan nabi yang dikasihi-Nya ke kawasan kerajaan Yehuda untuk menjalankan tugas yang baharu. Catatan Bible menunjukkan bahawa Elia mungkin telah meluangkan lebih daripada tujuh tahun untuk berkhidmat di sana. Pada masa itu, Raja Yehoram yang jahat sedang memerintah Yehuda. Dia telah mengahwini puteri kepada Ahab dan Izebel, dan pengaruh jahat mereka masih berterusan. Yehuwa telah menyuruh Elia untuk menulis surat tentang penghakiman yang akan dijatuhkan ke atas Yehoram. Seperti yang dinubuatkan, Yehoram mati dengan ngeri. Lebih teruk lagi, Bible menyatakan bahawa “tiada seorang pun yang berasa sedih ketika dia meninggal.”​—2 Tawarikh 21:12-​20.

 Betapa besarnya perbezaan antara Yehoram yang keji dengan Elia. Kita tidak tahu bila dan bagaimana Elia mati. Tetapi kita tahu bahawa kematiannya tidak seperti kematian Yehoram. Yehoram tidak dikenang sesiapa pun, sebaliknya Elia dirindui Elisa. Sudah tentu nabi-nabi setia yang lain juga merindui Elia. Kira-kira seribu tahun kemudian, Yehuwa menggunakan gambaran nabi itu dalam sebuah penglihatan yang menunjukkan rupa Yesus berubah. (Matius 17:​1-9) Hal ini membuktikan bahawa Yehuwa masih mengasihi Elia. Inginkah anda belajar daripada teladan Elia dan memupuk iman yang dapat bertabah mengharungi cabaran? Jika begitu, pupuklah persahabatan dengan orang yang mengasihi Tuhan, bertumpu pada hal-hal rohani, dan selalu berdoa dari hati. Semoga anda juga sentiasa diingati Yehuwa!

a Sesetengah cendekiawan Bible mengatakan bahawa gunung itu merujuk kepada Gunung Karmel, tempat Elia mengalahkan nabi-nabi Baal dengan bantuan Tuhan beberapa tahun sebelum itu. Namun, Bible tidak memberikan maklumat yang spesifik tentang gunung tersebut.