Lompat ke kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

“Seni Mempertahankan Diri ialah Hidup Saya”

“Seni Mempertahankan Diri ialah Hidup Saya”
  • Tahun Lahir: 1962

  • Negara Asal: Amerika Syarikat

  • Latar Belakang: Mencintai seni mempertahankan diri

KISAH SILAM SAYA

 Semasa sedang berlatih, saya tidak sengaja menendang rakan saya dan mencederakan hidungnya. Saya rasa sangat bersalah dan mula tertanya-tanya sama ada saya patut terus bergiat dalam sukan seni mempertahankan diri. Memandangkan saya sangat mencintai sukan ini, mengapakah saya terfikir untuk berhenti? Mula-mula, biar saya ceritakan bagaimana saya mula menceburi seni mempertahankan diri.

 Keluarga saya beragama Katolik dan saya membesar berdekatan Buffalo, New York, A.S. Sejak kecil, saya menghadiri sekolah Katolik dan menjadi pembantu paderi. Ibu bapa mahu saya dan kakak saya untuk berjaya dalam hidup. Mereka membenarkan kami menyertai aktiviti kokurikulum atau bekerja secara sambilan jika keputusan sekolah kami cemerlang. Maka, sejak kecil, saya sudah belajar untuk berdisiplin.

 Semasa saya berumur 17 tahun, saya mula belajar seni mempertahankan diri. Selama bertahun-tahun, saya berlatih tiga jam sehari dan enam hari seminggu. Setiap minggu, saya juga meluangkan banyak masa untuk menghafal teknik-teknik berlawan dan menonton video supaya menjadi lebih mahir. Saya sangat suka berlatih dengan memakai penutup mata, bahkan semasa menggunakan senjata. Saya boleh mematahkan beberapa keping papan atau memecahkan banyak bata dengan hanya satu tumbukan. Saya pernah menjadi juara dan memenangi trofi dalam pertandingan. Seni mempertahankan diri menjadi hal yang terpenting dalam hidup saya.

 Saya fikir saya sudah mengecap kejayaan kerana saya mendapat ijazah dan prestasi yang cemerlang di universiti. Saya juga bekerja untuk sebuah syarikat yang besar sebagai jurutera sistem komputer. Saya ada teman wanita, memiliki rumah sendiri, dan mendapat banyak manfaat daripada syarikat. Nampaknya, hidup saya sudah sempurna. Tetapi sebenarnya, hidup saya kosong dan ada banyak persoalan penting tentang kehidupan yang masih belum terjawab.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA

 Saya mahu mendapat jawapan kepada soalan-soalan saya. Jadi, saya mula menghadiri gereja dua kali seminggu dan berdoa memohon bantuan Tuhan. Pada suatu hari, saya berbual dengan seorang kawan, dan perbualan itu telah mengubah hidup saya. Saya tanya dia, “Pernahkah kamu fikir apa sebenarnya tujuan hidup kita?” Saya juga kata, “Sekarang ada banyak betul masalah dan ketidakadilan!” Dia kata bahawa dia juga pernah tertanya tentang hal itu, tapi dia sudah mendapat jawapan yang memuaskan daripada Bible. Dia beri saya buku You Can Live Forever in Paradise on Earth, a dan menjelaskan bahawa dia mempelajari Bible bersama Saksi-Saksi Yehuwa. Mula-mula, saya teragak-agak sebab saya tidak mahu baca buku agama lain. Tapi saya sangat ingin tahu jawapan kepada soalan itu. Maka saya mula mengkaji sama ada ajaran Saksi-Saksi Yehuwa masuk akal atau tidak.

 Saya sangat kagum setelah mengetahui apa sebenarnya yang diajarkan dalam Bible. Saya belajar bahawa tujuan Tuhan yang asal adalah agar manusia hidup selama-lamanya di bumi firdaus, dan bahawa tujuan Tuhan ini tidak berubah. (Kejadian 1:28) Saya terkejut melihat nama Tuhan, iaitu Yehuwa, dalam Bible versi King James saya. Selama ini, saya ucap Doa Bapa Kami. Tapi baru sekarang, saya tahu nama Tuhan yang harus disucikan merujuk kepada nama Yehuwa. (Mazmur 83:18; Matius 6:9) Bukan itu sahaja, saya akhirnya faham mengapa Tuhan mengizinkan manusia menderita buat sementara waktu. Apa yang saya belajar amat masuk akal dan buat saya sangat teruja!

 Saya tidak akan lupakan perasaan saya sewaktu mula menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Semua orang sangat peramah dan ingin tahu nama saya. Semasa perjumpaan pertama saya, seorang saudara telah menyampaikan ceramah istimewa tentang doa. Oleh sebab selama ini saya memang selalu berdoa memohon bantuan Tuhan, saya sangat tertarik dengan ceramah itu. Kemudian, saya juga menghadiri Peringatan kematian Kristus. Saya sangat kagum apabila melihat bahkan anak kecil membuka Bible semasa ayat Bible dibacakan. Walaupun saya tidak pandai cari ayat Bible, para Saksi dengan baik hati telah membantu saya.

 Seraya masa berlalu, penghargaan saya terhadap perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa semakin bertambah. Setiap kali saya menghadiri perjumpaan, saya dapat belajar banyak perkara dan berasa digalakkan dan disegarkan. Kemudian, seorang Saksi telah menawarkan pembelajaran Bible kepada saya.

 Saksi-Saksi Yehuwa sangat berbeza daripada ahli gereja saya. Mereka bersatu padu, ikhlas, dan berusaha sedaya upaya untuk menyenangkan hati Tuhan. Saya dapat melihat bahawa mereka benar-benar menunjukkan kasih, iaitu tanda pengenal orang Kristian yang sejati.—Yohanes 13:35.

 Seraya pengetahuan Bible saya semakin bertambah, saya buat banyak perubahan agar kehidupan saya selaras dengan piawaian Bible. Namun, saya masih rasa susah untuk berhenti menceburi sukan seni mempertahankan diri. Saya sangat suka berlatih dan bertanding. Maka, saya memberitahu guru Bible saya tentang hal itu. Dia yakinkan saya dengan berkata, “Teruskan pembelajaran Bible kamu. Saya percaya kamu akan buat keputusan yang terbaik.” Itulah yang sebenarnya saya perlu dengar ketika itu. Maka saya teruskan pembelajaran Bible, dan hal itu menguatkan keinginan saya untuk menyenangkan hati Tuhan Yehuwa.

 Seperti yang saya ceritakan tadi, saya tidak sengaja menendang rakan saya dan mencederakan hidungnya. Itulah titik perubahan dalam kehidupan saya, dan hal itu buat saya mula berfikir dengan mendalam. Saya tertanya sama ada saya patut terus menceburi sukan ini kerana saya mahu menjadi pengikut Kristus yang cinta kedamaian. Di Yesaya 2:3, 4, orang yang mentaati ajaran Yehuwa “tidak akan belajar berperang lagi.” Yesus juga mengajar pengikutnya untuk tidak bersikap ganas biarpun diperlakukan dengan tidak adil. (Matius 26:52) Oleh itu, saya memutuskan untuk berhenti mengikut sukan yang sangat saya gemari itu.

 Selepas itu, saya mengikut nasihat Bible untuk ‘melatih diri dan bermatlamat untuk mengabdikan diri kepada Tuhan.’ (1 Timotius 4:7) Dulu, saya menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk sukan kegemaran saya, tapi kini saya gunakannya untuk hal-hal rohani. Oleh sebab teman wanita saya tidak suka apa yang saya pelajari daripada Bible, kami akhirnya putuskan hubungan kami. Pada 24 Januari 1987, saya dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Tidak lama kemudian, saya mula menginjil sepenuh masa kerana saya ingin membantu orang belajar Bible. Saya juga berkhidmat buat suatu waktu di ibu pejabat Saksi-Saksi Yehuwa di New York, A.S.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA

 Kehidupan saya kini tidak lagi kosong dan saya menikmati kebahagiaan sejati. Setelah memahami kebenaran tentang Tuhan, saya mempunyai hidup yang bermakna dan masa depan yang cerah. Saya masih suka bersenam, namun latihan jasmani tidak lagi menjadi keutamaan saya. Hal yang terpenting dalam hidup saya sekarang ialah khidmat saya kepada Tuhan Yehuwa.

 Dulu, saya selalu peka terhadap orang di sekeliling kerana saya ingin mempertahankan diri jika diserang. Sekarang, saya masih peka terhadap orang di sekeliling, tapi kerana saya ingin membantu mereka. Bible telah membantu saya menjadi orang yang murah hati dan suami yang lebih baik kepada isteri saya, Brenda.

 Dulu, seni mempertahankan diri ialah hidup saya. Namun saya telah menemui sesuatu yang lebih bernilai daripada sukan itu. Bible menyatakan, “Latihan jasmani membawa sedikit manfaat, tetapi pengabdian kepada Tuhan membawa manfaat dalam semua perkara. Hal ini demikian kerana pengabdian kepada Tuhan menjanjikan berkat dalam kehidupan sekarang dan kehidupan yang akan datang.”—1 Timotius 4:8.

a Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi tidak dicetakkan lagi.