Lompat ke kandungan

Video yang Menggembirakan Hati

Video yang Menggembirakan Hati

“Yehuwa seolah-olah sedang mendengar luahan hati ibu bapa.” Itulah yang dikatakan oleh seorang bapa di Malaysia tentang siri video animasi Jadilah Sahabat Yehuwa.

Semenjak video pertama dikeluarkan, Saksi-Saksi Yehuwa telah menghasilkan beberapa lagi siri video animasi yang mengisahkan Johan dan keluarganya. Video animasi ini yang terdapat di laman web jw.org mengajar kanak-kanak nilai moral dan hal rohani. Misalnya, mereka diajar cara untuk berdoa kepada Tuhan dan mengapa mereka tidak harus mencuri.

Video pertama yang dikeluarkan telah diterjemahkan ke dalam 131 bahasa. Kanak-kanak di seluas dunia mendapat manfaat daripada video ini.

Sambutan yang Hangat

Seorang ibu yang mempunyai lima orang anak menulis, “Sejak kami menerima DVD Dengar, Patuh, dan Diberkati minggu lalu, kami telah menontonnya sebanyak 50 kali.”

Millie, seorang gadis muda yang berusia 12 tahun, tinggal di England. Abangnya, Thomas yang berusia 15 tahun, menghidap penyakit Sindrom Down. Millie menulis, “Thomas menunjukkan video Johan kepada rakan sekolahnya dengan menggunakan iPad dia. Dia suka lagu-lagu dalam video itu. Nyanyiannya sangat baik sehingga seorang saudari menangis. Ini sangat menggembirakan.”

Ava, yang menyatakan dirinya berumur 8 tahun, 9 bulan, dan 25 hari menulis, “Johan dan kakaknya sangat pandai mengajar kanak-kanak.”

Mikaylah menulis, “Saya berumur enam tahun. Terima kasih untuk DVD Dengar, Patuh, dan Diberkati. Saya belajar untuk mendengar cakap ibu bapa kerana ini membuat Yehuwa gembira.”

Cerita yang Bermakna

Seorang juruanimasi muda yang bukan Saksi-Saksi Yehuwa telah menonton video Mencuri Itu Salah. Dia amat kagum kerana video ini dihasilkan oleh beberapa orang juruanimasi sahaja. Dia berkata, “Saya kenal orang yang bekerja di studio animasi yang besar dan kecil. Ada kalanya saya tertanya-tanya apa perasaannya bekerja di tempat seperti itu. Tetapi hasil kerja mereka hanya membuat orang gelak ketawa. Video animasi kamu pula mengubah hidup kanak-kanak, mengajar mereka membezakan yang betul daripada yang salah, dan membantu mereka membuat keputusan yang bijak. Kamu sedang melakukan sesuatu yang bermakna dan bermanfaat bagi orang.”

Ibu bapa di seluas dunia bersetuju dengan hal ini. Seorang ibu menulis, “Anak lelaki saya, Quinn, yang berusia tiga tahun menonton video Menjadi Sahabat Yehuwa. Kemudian, dia memandang ke arah saya dan berkata, ‘Mama, video ini buat hati saya gembira.’”