Lompat ke kandungan

Menginjil dalam Bahasa Ibunda Orang Ireland dan Britain

Menginjil dalam Bahasa Ibunda Orang Ireland dan Britain

Saksi-Saksi Yehuwa sedang berusaha untuk mencapai orang yang menuturkan bahasa ibunda Ireland dan Britain. a Selain daripada bahasa Inggeris, terdapat juga bahasa Gaelik Scotland, bahasa Ireland, dan bahasa Wales.

Pada September 2012, Saksi-Saksi Yehuwa melancarkan laman web jw.org yang telah direka semula. Laman web ini terdapat dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Ireland dan Wales. Pada Ogos 2014, bahasa Gaelik Scotland juga tersedia dalam laman web ini. Selain itu, kami menerbitkan pelbagai bahan bacaan Bible dalam bahasa-bahasa tersebut. Apakah sambutannya?

Seorang pemimpin gereja menerima risalah mengenai ajaran Bible dalam bahasa Gaelik Scotland. Dia terus membaca risalah itu lalu mula menitiskan air mata. Apakah yang menyentuh hatinya? Dia kagum dengan mutu terjemahan yang sangat baik dan berkata, “Siapa yang terjemahkan risalah ini? Memang sangat bagus!”

Sekitar 750 orang telah melayari jw.org dalam bahasa Gaelik Scotland pada bulan pertama selepas pelancarannya.

Seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan Ireland, Galway, memberitahu seorang Saksi bahawa dia tidak berminat dengan hal-hal agama. Namun, dia meminta senaskhah brosur yang bertajuk Bible—Apakah Mesejnya? setelah mengetahui bahawa brosur itu terdapat dalam bahasa Ireland. Dia berpendapat bahawa semua orang patut mendapat bahan bacaan Bible dalam bahasa ibunda mereka. Dia juga memuji usaha Saksi-Saksi Yehuwa yang telah menyediakan bahan bacaan dalam bahasa Ireland.

Seorang wanita yang lanjut usia meluahkan penghargaannya setelah menerima senaskhah brosur mengenai ajaran Bible dalam bahasa Wales. Dia berkata, “Sebenarnya jika kamu menawarkan brosur ini dalam bahasa Inggeris, saya mungkin akan menolaknya. Tapi sangat baguslah, brosur ini ada dalam bahasa saya.”

Pada Ogos 2014, lebih banyak bahan bacaan dalam bahasa Wales telah dipaparkan dalam jw.org. Hasilnya, jumlah orang yang melayari laman web kami untuk membaca bahan bacaan dalam bahasa Wales meningkat lebih daripada dua kali ganda pada bulan tersebut.

“Kami Bercakap dalam Bahasa yang Sama”

Selepas Yesus menerangkan Ayat-Ayat Suci kepada dua orang pengikutnya, mereka berasa teruja lalu berkata, “Tidakkah hati kita berkobar-kobar semasa dia bercakap dan menerangkan Ayat-Ayat Suci kepada kita semasa kita dalam perjalanan?” (Lukas 24:32) Sering kali, kebenaran Bible yang dijelaskan dalam bahasa ibunda seseorang memberikan kesan yang mendalam terhadap kehidupannya.

Emyr ialah seorang lelaki dari Wales. Isterinya seorang Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi Emyr tidak pernah mengikut aktiviti rohani isterinya. Kemudian, dia berkawan dengan seorang Saksi yang bernama Russell. Emyr menjelaskan apa yang mengubah sikapnya. Dia berkata, “Saya membuat keputusan untuk belajar Bible dengan serius apabila Russell menawarkan buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? b Dia memberikan buku itu kepada saya dan berkata secara terus terang, ‘Buku ini dalam bahasa Wales. Mulai sekarang, kita akan belajar buku ini bersama-sama.’” Mengapakah Emyr setuju untuk belajar Bible dengannya? Emyr menjawab, “Kami bercakap dalam bahasa yang sama, mempunyai budaya yang sama, dan kami saling memahami.” Hati Emyr “berkobar-kobar” semasa berbincang tentang ajaran Bible dalam bahasa ibundanya, iaitu bahasa Wales, kerana dia memahaminya dengan jelas sekali.

Saksi-Saksi Yehuwa akan terus membantu lebih ramai orang belajar tentang Tuhan dalam bahasa yang dapat mencapai hati mereka.

a Dalam rencana ini, Britain merujuk kepada England, Scotland, dan Wales.

b Bahan pembelajaran Bible yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.