Lompat ke kandungan

Galeri Foto Warwick 7 (September 2016 hingga Februari 2017)

Galeri Foto Warwick 7 (September 2016 hingga Februari 2017)

Galeri foto ini menunjukkan projek pembinaan ibu pejabat sedunia baharu Saksi-Saksi Yehuwa yang siap dibina dan bagaimana para sukarela mula menggunakan bangunan-bangunan itu dari September 2016 hingga Februari 2017.

Gambar bangunan Warwick yang sudah siap dibina. Dari kiri atas, mengikut arah jam:

  1. Bangunan Penyelenggaraan Kenderaan

  2. Tempat Letak Kenderaan Pelawat

  3. Bangunan Penyelenggaraan/Tempat Letak Kenderaan Penghuni

  4. Kediaman B

  5. Kediaman D

  6. Kediaman C

  7. Kediaman A

  8. Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

8 September 2016​—Tapak Warwick

Kini semua bangunan di Warwick telah digunakan. Pada awal September, kira-kira 500 orang tinggal di sini. Angka itu juga merangkumi pekerja pembinaan dan pekerja sepenuh masa yang dipindahkan dari Brooklyn.

20 September 2016​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Seorang tukang seni memeriksa permukaan jubin yang akan digunakan di pintu masuk pameran “Umat yang Menyandang Nama Yehuwa.” Jubin itu dibuat supaya kelihatan lama, sesuai dengan tema sejarah pameran itu.

28 September 2016​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Stephen Lett, seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, merupakan pengerusi bagi program Penyembahan Pagi pertama yang disiarkan dari Warwick. Pada pagi itu, Saudara Lett membaca surat untuk berterima kasih kepada lebih daripada 27,000 pekerja sukarela yang membantu membina bangunan-bangunan baharu dan juga mereka yang menyokong dalam projek ini.

3 Oktober 2016​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Seorang tukang kayu memasang huruf-huruf di papan tanda masuk bagi salah satu pameran tanpa pemandu. Pameran yang bertajuk “Umat yang Menyandang Nama Yehuwa” ini menjejaki sejarah moden Saksi-Saksi Yehuwa dari tahun 1870-an hingga masa sekarang.

5 Oktober 2016​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Jawatankuasa Penulisan bertemu dengan para pembantu dan ahli Bahagian Penulisan. Skrin yang besar digunakan untuk menunjukkan gambar yang dicadangkan bagi bahan bacaan yang bakal dikeluarkan. Skrin sebegitu juga digunakan untuk bermesyuarat dengan bahagian dari lokasi lain. Meja itu didermakan kepada ibu pejabat beberapa tahun lalu, dan telah dipindahkan dari Brooklyn ke Warwick.

20 Oktober 2016​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Seorang pembantu di Jawatankuasa Koordinator dan para pekerja di situ membincangkan cara membantu mangsa Taufan Haima (Lawin) di Filipina sehari selepas taufan itu melanda. Teknologi persidangan video membolehkan bahagian-bahagian di ibu pejabat sedunia mengurus hal penting dengan segera dan menghubungi pejabat cawangan di serata dunia.

28 Oktober 2016​—Bangunan Penyelenggaraan/Tempat Letak Kenderaan Penghuni

Sebuah kolam bioretention yang memisahkan Bangunan Penyelenggaraan daripada jalan masuk utama. Kolam-kolam sebegini menggunakan kaedah semula jadi untuk memerangkap dan menapis bahan pencemar dalam air hujan. Kaedah itu 50 peratus lebih jimat berbanding dengan kos pemasangan sistem saliran biasa. Air yang sudah dirawat dan ditapis akan mengalir ke sungai dan menyediakan habitat yang lebih sihat untuk tumbuhan dan haiwan.

4 November 2016​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Para pekerja memindahkan barang di tempat penerimaan barang. Kira-kira 80 orang membantu para pekerja di Brooklyn berpindah ke kediaman baharu mereka di Warwick.

14 Disember 2016​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Dua orang pembuat roti memindahkan adunan dari mangkuk adunan ke atas sebuah meja. Berat adunan itu mungkin lebih daripada 45 kilogram, maka sistem pengangkat digunakan supaya mereka dapat bekerja dengan mudah dan selamat. Tempat membuat roti di Warwick juga mempunyai sebuah mesin yang dapat mengawal suhu dan kelembapan udara untuk melambatkan atau mempercepatkan proses penapaian adunan. Mesin automatik ini mengurangkan tenaga kerja yang diperlukan untuk menghasilkan ratusan ketul roti setiap minggu.

14 Disember 2016​—Bangunan Penyelenggaraan/Tempat Letak Kenderaan Penghuni

Pekerja Bahagian Penjagaan Bangunan membawa sampah keluar dari Bangunan Penyelenggaraan. Tidak seperti bangunan di Brooklyn, kebanyakan bangunan di Warwick dihubungkan, maka pekerja dan kenderaan yang diperlukan untuk mengurus sampah dan bahan kitar semula tidak begitu banyak.

14 Disember 2016​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Kemeja disemburkan dengan air untuk mengurangkan kedutan dan diletakkan pada mesin untuk melicinkan permukaan kemeja. Secara purata, Bahagian Dobi di Warwick mencuci kira-kira 5,000 kilogram pakaian dan kain setiap minggu. Pekerja meletakkan bar kod untuk melabel setiap pakaian itu. Label itu diimbas supaya setiap pakaian dan kain itu dapat dihantar ke bilik atau bahagian yang sepatutnya.

20 Disember 2016​—Bangunan Penyelenggaraan/Tempat Letak Kenderaan Penghuni

Seorang mekanik memeriksa dan menyelenggarakan pengangkat boom di bilik penjana kuasa. Kerja penyelenggaraan memanjangkan hayat peralatan dan memastikan keselamatan para pengguna.

10 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Juruteknik sedang membasmi kesilapan yang terdapat dalam perisian yang digunakan pada skrin yang diletakkan di bahagian pameran “Mereka Menunjukkan Iman.”

11 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Tukang kayu menyediakan sebuah basikal yang dihasilkan pada tahun 1903 untuk digunakan dalam pameran “Umat yang Menyandang Nama Yehuwa.” Basikal itu telah disumbangkan kepada organisasi dan dibaik pulih oleh pekerja di Warwick. Basikal itu dipamerkan untuk menggambarkan usaha dan pengorbanan Pelajar Bible (kemudiannya dikenali sebagai Saksi-Saksi Yehuwa) yang menggunakan basikal untuk menyebarkan berita Bible.

12 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Para tukang kayu memasang cermin bagi pameran barang-barang yang berkaitan dengan “Drama-Foto Penciptaan,” sebuah tayangan filem dan slaid yang berdasarkan Bible dan ditayangkan pada tahun 1914 kepada kira-kira sembilan juta orang pada tahun itu.

12 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Para pekerja arkib dan seorang ahli reka bentuk grafik menyediakan Bible Zurich Latin edisi 1544 untuk ditunjukkan di pameran “Bible dan Nama Tuhan.” Tanda merah pada Bible di bahagian kiri gambar menunjukkan nama Yehuwa. Para pekerja arkib mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi Bible yang mudah rosak. Contohnya, filem poliester digunakan untuk memegang helaian-helaian Bible, suhu dan kelembapan udara dalam galeri dikawal, dan keamatan cahaya dalam lampu gentian optik yang digunakan dalam pameran itu diselaraskan dengan rapi supaya tidak merosakkan helaian Bible.

16 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Pemandu membawa para pelawat melihat pemandangan bangunan Warwick yang cantik dari menara ini yang tingginya 23 meter. Tempahan untuk melawat pameran tanpa pemandu dan bangunan-bangunan Warwick telah dibuka sejak 3 April 2017. Mereka yang ingin menikmati lawatan di Warwick perlu membuat tempahan menerusi sistem tempahan dalam talian yang terdapat di laman web kami di bahagian MENGENAI KAMI > PEJABAT & LAWATAN.

19 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Seorang pekerja arkib meletakkan Bible King James Version edisi pertama tahun 1611 di tempat pameran. Tempat pameran itu direka khas oleh para pekerja di Warwick.

19 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Seorang ahli reka bentuk grafik meletakkan sebuah topi di tempat pameran. Topi itu kepunyaan Joseph F. Rutherford yang mula memimpin Saksi-Saksi Yehuwa sekitar 100 tahun dahulu. Pameran “Umat yang Menyandang Nama Yehuwa” ini menunjukkan usaha para Saksi zaman dahulu untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan.

20 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Dengan bantuan pasukan audio, seorang pembaca membacakan teks bagi pameran tanpa pemandu “Bible dan Nama Tuhan.” Seminggu selepas bilik rakaman dan peralatan lain dipindahkan dari Brooklyn ke Warwick, studio rakaman beroperasi semula. Studio ini (salah satu cawangan daripada studio utama di Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson) juga digunakan untuk merakam Terjemahan Dunia Baharu, Menara Pengawal dan Sedarlah!, rencana jw.org, dan bahan audio lain.

27 Januari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Pembantu tukang kayu mengecat bahagian tepi pameran gambar yang berbentuk tiga dimensi. Pameran “Umat yang Menyandang Nama Yehuwa” ini menceritakan sejarah Pelajar Bible pada lewat abad ke-19.

15 Februari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Seorang saudari mengecat patung Johan, watak dalam siri animasi Jadilah Sahabat Yehuwa. Patung itu akan ditempatkan di dalam galeri yang menunjukkan alat dan program yang disediakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa khasnya untuk kanak-kanak.

15 Februari 2017​—Bangunan Pejabat/Perkhidmatan

Seorang tukang kayu memotong gambar dan papan tanda yang diperbuat daripada vinil bagi pameran “Umat yang Menyandang Nama Yehuwa.” Lebih daripada 250 orang, termasuk pembuat kabinet, pakar komputer, pereka, juru elektrik, pemasang jubin, jurugambar video, dan penulis, bekerjasama bagi menyediakan tiga pameran muzium ini.