Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Saluran Satelit JW Disiarkan di Kawasan yang Tiada Internet

Saluran Satelit JW Disiarkan di Kawasan yang Tiada Internet

1 APRIL 2021

 Setiap bulan, kita tidak sabar untuk menonton program rohani dan video yang disiarkan melalui Siaran JW. Namun, ramai saudara saudari kita di Afrika tidak dapat menonton siaran ini melalui Internet. Mengapa?

 Banyak kawasan di Afrika tidak mempunyai Internet. Di kawasan yang mempunyai Internet pula, Internet biasanya lambat atau sangat mahal. Contohnya, di Madagascar, semasa seorang penyelia litar memuat turun satu program bulanan Siaran JW di kafe siber, dia membayar sebanyak $16. Harga itu lebih tinggi daripada gaji mingguan sesetengah orang! a

 Meskipun menghadapi cabaran ini, jutaan orang di Afrika kini dapat menikmati Siaran JW tanpa menggunakan Internet. Bagaimana?

 Sejak 2017, penduduk di Afrika sub-Sahara dapat menonton Siaran JW melalui sebuah saluran TV satelit. Saluran ini disiarkan secara percuma selama 24 jam setiap hari, dalam 16 bahasa.

Para saudara di Mozambique menyelaraskan piring satelit di Dewan Perjumpaan, 2018

 Untuk melakukan hal ini, Saksi-Saksi Yehuwa membayar sebuah stesen TV untuk menyiarkan program melalui satelit. Satelit yang digunakan dapat mencapai sebanyak 35 buah negara di Afrika sub-Sahara. Kos perkhidmatan ini berjumlah lebih daripada $12,000 sebulan. Dari masa ke masa, kos lain dibayar untuk menyewa saluran tambahan, sekiranya ada acara yang perlu disiarkan secara langsung. Hal ini membolehkan ribuan orang menikmati konvensyen atau program istimewa sempena lawatan pejabat cawangan.

Ahli Bahagian Rekaan dan Pembinaan Tempatan di Malawi sedang menonton saluran satelit JW, 2018

 Ramai orang, termasuk mereka yang bukan Saksi, menonton saluran satelit JW melalui TV di rumah sendiri. Namun, sebilangan saudara saudari kita tidak mampu membeli peralatan yang diperlukan untuk menonton saluran ini. Untuk membantu mereka, lebih daripada 3,670 buah Dewan Perjumpaan telah dilengkapi dengan peralatan yang diperlukan untuk menerima saluran satelit. Dengan itu, saudara saudari dapat menonton Siaran JW di sana. Kos peralatan ini, termasuk penghantaran, berjumlah kira-kira $70, sekiranya Dewan Perjumpaan itu sudah mempunyai TV atau projektor. Jika Dewan Perjumpaan itu tidak mempunyai TV atau projektor, kos peralatan yang diperlukan adalah sebanyak $530.

 Saudara saudari kita sangat menghargai saluran ini. Seorang penatua di Cameroon berkata, “Saluran ini bagaikan manna di tengah gurun bagi keluarga kami.” Saudara Odebode di Nigeria berkata, “Kami sekeluarga menonton saluran ini tiga kali seminggu. Anak-anak saya selalu menantikan masa itu. Mereka juga meminta supaya kami menontonnya pada lain masa.” Rose, yang juga tinggal di Nigeria berkata, “Dulu, saya selalu menonton saluran berita, tapi sekarang saya menonton saluran satelit JW. Semasa menonton berita, saya mudah berasa marah dan tekanan darah saya akan naik. Sebaliknya, Siaran JW sangat membina dan membuat saya berasa tenang. Inilah saluran yang paling saya suka! Saluran ini memang berkat daripada Yehuwa.”

Sebuah keluarga di Malawi sedang menonton video untuk kanak-kanak melalui saluran satelit kita

 Seorang penyelia litar di Mozambique melaporkan bahawa Dewan Perjumpaan dalam litarnya telah dilengkapi dengan peralatan untuk menerima saluran satelit. Saudara saudari dalam sidang-sidang itu tiba di Dewan Perjumpaan kira-kira sejam lebih awal sebelum perjumpaan supaya mereka dapat menonton Siaran JW.

Sebuah sidang di Etiopia menikmati program bulanan Siaran JW tanpa menggunakan Internet, 2018

 Semasa konvensyen antarabangsa 2019 di Johannesburg, Afrika Selatan, saluran ini digunakan untuk menyiarkan beberapa ceramah istimewa, termasuklah yang disampaikan oleh seorang ahli Badan Pimpinan. Ceramah-ceramah itu disiarkan ke sembilan lokasi yang berlainan. Sphumelele, dari Bahagian Siaran Tempatan di pejabat cawangan Afrika Selatan berkata, “Dulu, kami menyiarkan ceramah-ceramah melalui Internet. Tapi, hal ini memerlukan sambungan Internet yang stabil dan kos data pun tinggi. Saluran satelit JW lebih murah dan lebih baik.”

 Disebabkan sumbangan anda yang murah hati untuk kerja sedunia, ramai saudara saudari kita di Afrika dapat menonton Siaran JW melalui satelit. Kami sangat menghargai sumbangan yang anda berikan menerusi pelbagai cara di donate.jw.org.

a Nilai dolar dalam rencana ini merujuk kepada dolar Amerika.