Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bagaimana Kita Menghulurkan Bantuan kepada Orang Lain

Bagaimana Kita Menghulurkan Bantuan kepada Orang Lain

“KEGANASAN tercetus selepas pilihan raya. Saksi-Saksi Yehuwa terpaksa meninggalkan rumah mereka,” cerita François, seorang penatua di sebuah negara yang sedang membangun. “Makanan dan ubat-ubatan sukar didapati, dan harganya amat mahal. Bank ditutup, dan mesin ATM kehabisan duit atau tidak berfungsi.”

Para saudara di pejabat cawangan segera menghantar wang dan bantuan kecemasan kepada semua Saksi yang berkumpul di Dewan Perjumpaan di seluas negara. Kumpulan-kumpulan penentang mengadakan sekatan jalan. Tetapi kenderaan pejabat cawangan biasanya dibenarkan lalu kerana mereka tahu bahawa Saksi-Saksi Yehuwa berpendirian neutral.

“Dalam perjalanan ke sebuah Dewan Perjumpaan, van kami ditembak,” kata François. “Tetapi tiada peluru yang mengena kami. Apabila seorang askar bersenjata berlari ke arah kami, dengan segera kami mengundurkan van, berpusing lalu memecut balik ke pejabat cawangan. Kami bersyukur kepada Yehuwa kerana kami terselamat. Pada hari berikutnya, 130 orang saudara saudari dari Dewan Perjumpaan itu berjaya sampai ke tempat yang selamat. Ada di antara mereka yang datang ke pejabat cawangan. Kami menjaga keperluan rohani dan jasmani mereka sehingga krisis ini tamat.”

“Tidak lama kemudian, pejabat cawangan menerima banyak surat penghargaan daripada saudara saudari dari seluruh negara,” kata François. “Setelah merasai bantuan daripada saudara saudari dari tempat lain, mereka lebih yakin terhadap Yehuwa.”

Semasa menghadapi bencana alam atau krisis yang disebabkan oleh manusia, kita tidak memberitahu saudara saudari yang memerlukan bantuan untuk ‘memakai baju panas dan makan dengan secukupnya.’ (Yak. 2:15, 16) Sebaliknya, kita mencari peluang untuk memenuhi keperluan jasmani mereka. Begitu juga orang Kristian abad pertama. Setelah menerima amaran tentang kebuluran yang bakal menimpa, “semua pengikut Yesus di situ bersetuju untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara seiman yang tinggal di Yudea; masing-masing akan memberikan bantuan menurut kemampuannya.”—Kis. 11:28-30, ABB.

Selaku hamba Yehuwa, kita sudi membantu orang dari segi jasmani. Namun, mereka juga mempunyai keperluan rohani. (Mat. 5:3) Mereka perlu sedar akan keperluan ini dan mengetahui cara memenuhinya. Itulah sebabnya Yesus menyuruh orang Kristian untuk menjadikan orang pengikutnya. (Mat. 28:19, 20) Kita masing-masing telah menggunakan banyak masa, tenaga, dan wang untuk melaksanakan tugas ini. Organisasi Yehuwa juga menggunakan sebahagian kecil daripada sumbangan sukarela untuk memberikan bantuan jasmani. Tetapi tujuan utama sumbangan tersebut adalah untuk memajukan kerja Kerajaan Tuhan dan menyebarkan berita baik. Dengan ini, kita sedang menunjukkan kasih kepada Tuhan dan orang lain.—Mat. 22:37-39.

Anda boleh yakin bahawa segala sumbangan yang diberikan kepada kerja sedunia Saksi-Saksi Yehuwa akan digunakan dengan baik. Dapatkah anda menolong saudara saudari yang memerlukan bantuan? Inginkah anda menyokong kerja menjadikan orang pengikut Yesus? Jika ya, “buatlah kebajikan kepada orang yang memerlukannya.”—Ams. 3:27.