Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | APABILA ORANG TERSAYANG MENINGGAL

Menghiburkan Mereka yang Bersedih

Menghiburkan Mereka yang Bersedih

Pernahkah anda berasa tidak berdaya apabila berada di samping mereka yang kehilangan orang tersayang? Kita mungkin tidak pasti apa yang harus dikatakan atau dilakukan. Akhirnya kita hanya berdiam diri. Namun, kita boleh menghulurkan bantuan praktikal.

Biasanya, mereka memerlukan kehadiran anda dan luahan perasaan simpati atas kehilangan yang mereka alami. Dalam banyak budaya, memberikan mereka pelukan atau belaian merupakan cara yang berkesan untuk menunjukkan keprihatinan. Jika orang itu ingin meluahkan isi hatinya, dengarlah dengan simpati. Cara terbaik adalah memberikan bantuan praktikal, seperti memasak, menjaga anak, atau membantu mengaturkan upacara pengebumian jika mereka perlukan. Perbuatan sedemikian mungkin lebih berkesan daripada kata-kata.

Selepas satu jangka masa, anda boleh mengongsi hal-hal baik tentang orang yang meninggal itu, seperti sifat baiknya atau pengalaman yang menggembirakan bersamanya. Perbualan sedemikian dapat menghiburkan hati keluarga yang kehilangan orang tersayang itu. Contohnya, Pam yang kehilangan suaminya, Ian, enam tahun dahulu berkata, “Ada kalanya, orang lain memberitahu saya perkara baik tentang Ian yang saya tidak ketahui. Hal ini menggembirakan hati saya.”

Para penyelidik menyatakan bahawa banyak orang yang kehilangan orang tersayang menerima bantuan pada awalnya tetapi kemudiannya dilupakan oleh kawan-kawan yang sibuk. Maka, jika kawan anda kehilangan orang tersayang, cubalah hubunginya secara tetap. * Mereka sangat menghargai bantuan ini kerana mereka dapat meluahkan perasaan sedih mereka.

Perhatikan contoh Kaori, wanita muda dari Jepun. Hatinya hancur luluh apabila ibunya meninggal. Lima belas bulan kemudian, kakaknya pula meninggal. Pada masa itu, dia sangat menghargai sokongan berterusan yang diberikan kawan-kawannya. Ritsuko yang lebih tua daripada Kaori juga ingin menjadi sahabatnya. Lambat laun Kaori mula menganggap Ritsuko sebagai “Mama.” Kaori berkata, “Sejujurnya, saya tidak begitu gembira. Saya tidak ingin sesiapa pun mengambil alih tempat ibu dan saya rasa bahawa tiada yang berhak melakukannya. Namun, cara layanan Mama Ritsuko membuat saya rapat dengannya. Setiap minggu, kami menginjil dan menghadiri perjumpaan Kristian bersama. Dia juga menjemput saya untuk minum bersama, memasak untuk saya, dan selalu menulis surat serta kad kepada saya. Sikap positif Mama Ritsuko memberikan pengaruh yang baik kepada saya.”

Dua belas tahun telah berlalu sejak kematian ibu Kaori. Sekarang, dia dan suaminya merupakan penginjil sepenuh masa. Kaori berkata, “Mama Ritsuko masih menunjukkan keprihatinannya. Apabila saya balik ke Jepun, saya selalu menikmati pergaulan yang membina bersamanya.”

Poli juga mendapat manfaat daripada sokongan yang berterusan. Dia seorang Saksi-Saksi Yehuwa di Cyprus. Suami Poli, iaitu Sozos sangat baik hati. Dia seorang penatua dalam sidang dan selalu menjemput anak yatim serta balu ke rumah untuk bergaul dan makan bersama. (Yakobus 1:27) Namun, Sozos meninggal pada umur 53 tahun disebabkan tumor otak. Poli berkata, “Saya kehilangan seorang suami yang setia bersama saya selama 33 tahun.”

Berusahalah untuk menawarkan bantuan praktikal

Selepas upacara pengebumian, Poli berpindah ke Kanada bersama anak bongsunya, Daniel, yang berumur 15 tahun. Di sana, mereka menyertai sidang Saksi-Saksi Yehuwa. Poli berkata, “Saudara saudari dalam sidang baru saya tidak tahu tentang latar belakang kami dan situasi sukar yang kami hadapi. Namun, itu tidak menghalang mereka daripada mendekati kami dan melegakan hati kami dengan kata-kata serta memberikan bantuan praktikal. Kami sangat menghargai bantuan mereka kerana anak saya sangat memerlukan ayahnya pada masa itu! Mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap Daniel. Salah seorang selalu menjemput Daniel untuk bergaul dan bermain bola bersama.” Sekarang, Poli dan Daniel dapat menjalankan kehidupan seperti biasa.

Terdapat banyak cara kita boleh membantu dan menghiburkan hati mereka yang kehilangan orang tersayang. Bible juga melegakan hati kita dengan menjanjikan harapan yang menakjubkan tentang masa depan.

^ per. 6 Sesetengah orang menandakan tarikh seseorang meninggal pada kalendar. Sekitar masa itu, mereka menghubungi dan menghiburkan ahli keluarga orang yang meninggal itu.