Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Matius Bab 5-7

Matius Bab 5-7

5 Ketika melihat orang ramai itu, dia naik ke atas gunung lalu duduk. Kemudian murid-muridnya datang kepadanya, 2 dan dia mula mengajar mereka. Dia berkata,

3 “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka, kerana Kerajaan di syurga milik mereka.

4 “Berbahagialah orang yang berdukacita, kerana hati mereka akan dilegakan.

5 “Berbahagialah orang yang lemah lembut, a kerana mereka akan mewarisi bumi.

6 “Berbahagialah orang yang lapar dan haus akan keadilan, b kerana mereka akan dipuaskan.

7 “Berbahagialah orang yang berbelas kasihan, kerana mereka akan mendapat belas kasihan.

8 “Berbahagialah orang yang berhati murni, kerana mereka akan melihat Tuhan.

9 “Berbahagialah orang yang berusaha mewujudkan kedamaian, c kerana mereka akan disebut anak-anak Tuhan.

10 “Berbahagialah orang yang dianiaya kerana melakukan apa yang benar, kerana Kerajaan di syurga milik mereka.

11 “Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan mengatakan segala macam perkara yang keji untuk memfitnah kamu kerana kamu pengikutku. 12 Hendaklah kamu bergembira dan melimpah dengan sukacita, kerana ganjaran kamu besar di syurga. Ingatlah bahawa nabi-nabi sebelum kamu juga dianiaya dalam cara yang sama.

13 “Kamu ialah garam dunia. Jika garam hilang rasa masinnya, dapatkah garam itu menjadi masin semula? Garam seperti itu tidak berguna untuk apa-apa pun, selain dibuang ke luar untuk dipijak-pijak orang.

14 “Kamu ialah cahaya dunia. Sebuah kota yang terletak di atas gunung tidak dapat disembunyikan. 15 Orang yang menyalakan pelita tidak akan meletakkan pelita di bawah bakul, tetapi di atas kaki pelita supaya menerangi semua orang di dalam rumah. 16 Demikian juga, biarlah cahaya kamu bersinar di hadapan orang lain supaya mereka melihat perbuatan baik kamu dan memuji Bapa kamu yang di syurga.

17 “Jangan berfikir bahawa aku datang untuk menghapuskan Hukum atau Ajaran Para Nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskannya tetapi aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. 18 Dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu: Biarpun langit dan bumi lenyap, satu titik atau huruf yang terkecil pun dalam Hukum tidak akan lenyap sehingga semua yang tertulis berlaku. 19 Maka, jika sesiapa melanggar salah satu perintah yang paling kecil dan mengajar orang lain berbuat demikian, dia tidak layak memasuki Kerajaan di syurga. Tetapi sesiapa yang mentaati perintah itu dan mengajarkannya kepada orang lain, dia layak memasuki Kerajaan di syurga. 20 Oleh itu, aku berkata kepada kamu: Jika kelakuan kamu tidak lebih baik daripada kelakuan jurutulis hukum dan orang Farisi, kamu pasti tidak akan memasuki Kerajaan di syurga.

  21 “Kamu sudah mendengar apa yang dikatakan kepada orang dahulukala: ‘Jangan membunuh, kerana sesiapa yang membunuh akan diadili di mahkamah.’ 22 Namun aku berkata kepada kamu bahawa sesiapa yang terus marah terhadap saudaranya akan diadili di mahkamah. Sesiapa yang memaki hamun saudaranya akan dihadapkan ke Mahkamah Agung, manakala sesiapa yang berkata, ‘Kau orang bodoh yang tidak berguna!’ akan dibuang dalam api Gehena. d

23 “Oleh itu, semasa kamu membawa pemberianmu ke mazbah, dan kamu teringat bahawa saudaramu tidak senang hati terhadapmu, 24 tinggalkanlah pemberianmu itu di hadapan mazbah. Pergilah dan berdamailah dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah kamu kembali untuk mempersembahkan pemberianmu.

25 “Jika seseorang hendak mendakwa kamu, cepatlah menyelesaikan masalah kamu berdua semasa dalam perjalanan ke mahkamah, supaya dia tidak menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim menyerahkan kamu kepada pengawal untuk dipenjarakan. 26 Ketahuilah, kamu akan terus meringkuk di dalam penjara selagi kamu tidak membayar hutang kamu sampai duit syiling kecil yang terakhir.

27 “Kamu sudah mendengar ajaran ini: ‘Jangan berzina.’ 28 Tetapi aku berkata kepada kamu bahawa sesiapa yang terus memandang seorang wanita dengan perasaan berahi sudah berzina dengannya dalam hati. 29 Jika mata kanan kamu membuat kamu tersandung, cungkillah dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh kamu daripada seluruh tubuh kamu dibuang dalam Gehena. e 30 Jika tangan kanan kamu membuat kamu tersandung, potonglah dan buanglah tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh kamu daripada seluruh tubuh kamu dilemparkan dalam Gehena. f

31 “Lagipun, ada ajaran yang berbunyi: ‘Sesiapa yang menceraikan isterinya harus memberinya surat cerai.’ 32 Namun, aku berkata kepada kamu bahawa sesiapa yang menceraikan isterinya padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, g dia mungkin menyebabkan isterinya berzina jika isterinya berkahwin lagi. Sesiapa yang berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu juga berzina.

33 “Kamu juga sudah mendengar apa yang dikatakan kepada orang dahulukala: ‘Jangan berjanji h tanpa melakukannya. Lakukanlah apa yang telah kamu ikrarkan kepada Yehuwa.’ 34 Tetapi sekarang aku berkata kepada kamu: Jangan sekali-kali bersumpah sama ada demi syurga, kerana syurga ialah takhta Tuhan, 35 atau demi bumi, kerana bumi ialah alas kaki-Nya, atau demi Yerusalem, kerana kota itu ialah kota Raja yang agung. 36 Jangan bersumpah demi kepalamu, kerana kamu tidak dapat mengubah sehelai rambut pun menjadi hitam atau putih. 37 Katakan ‘Ya’ semasa kamu bermaksud ya, dan katakan ‘Tidak’ semasa kamu bermaksud tidak, kerana kata-kata yang selebihnya berasal daripada Si Jahat.

38 “Kamu sudah mendengar ajaran ini: ‘Mata ganti mata dan gigi ganti gigi.’ 39 Namun aku memberitahu kamu: Jangan melawan orang yang jahat. Jika seseorang menampar pipi kananmu, biarlah dia menampar pipi kirimu juga. 40 Jika seseorang ingin mendakwa kamu di mahkamah untuk menuntut jubah dalam kamu, biarlah dia mengambil jubah luar kamu juga. 41 Jika seorang penguasa mewajibkan kamu mengangkat barangnya sejauh satu kilometer, angkatlah barangnya sejauh dua kilometer. 42 Jika orang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah kepadanya. Janganlah menolak permintaan seseorang yang ingin meminjam i daripadamu.

43 “Kamu sudah mendengar ajaran ini: ‘Kamu mesti mengasihi orang lain dan membenci musuhmu.’ 44 Namun aku berkata kepada kamu: Teruslah mengasihi musuhmu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. 45 Dengan demikian kamu dapat menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Dia membuat matahari terbit untuk orang jahat dan orang baik, dan membuat hujan turun untuk orang baik dan orang jahat. 46 Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah ganjaran kamu? Bukankah pemungut cukai juga berbuat demikian? 47 Dan jika kamu bertegur sapa dengan saudara kamu sahaja, apakah perkara luar biasa yang kamu lakukan? Bukankah orang daripada bangsa-bangsa lain juga berbuat demikian? 48 Oleh itu, kamu harus sempurna j sebagaimana Bapa kamu yang di syurga sempurna.

6 “Ingatlah, jika kamu berbuat baik di hadapan orang sekadar untuk dilihat, kamu tidak akan menerima ganjaran daripada Bapa kamu yang di syurga. 2 Maka, semasa kamu membuat kebajikan, janganlah kamu meniup trompet untuk menarik perhatian, seperti yang dilakukan oleh orang yang bermuka dua di rumah ibadat dan di jalan. Mereka berbuat demikian supaya dipuji orang. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Mereka sudah mendapat semua ganjaran mereka. 3 Sebaliknya, semasa kamu membuat kebajikan, jangan biarkan tangan kirimu mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kananmu, 4 supaya apa yang kamu lakukan tidak diketahui orang. Dengan demikian, Bapamu yang melihat dari tempat rahsia-Nya akan memberkati kamu.

5 “Semasa kamu berdoa, janganlah menjadi seperti orang yang bermuka dua yang suka berdoa sambil berdiri di rumah ibadat dan di simpang jalan utama agar dilihat orang. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Mereka sudah mendapat semua ganjaran mereka. 6 Sebaliknya, semasa kamu berdoa, masuklah ke dalam bilik sendiri dan tutuplah pintu, lalu berdoalah kepada Bapamu yang berada di tempat rahsia-Nya. Dengan itu, Bapamu yang melihat dari tempat rahsia-Nya akan memberkati kamu. 7 Semasa kamu berdoa, jangan asyik mengulangi kata-kata yang sama seperti yang dilakukan oleh orang daripada bangsa-bangsa lain. Mereka menyangka Tuhan akan mendengar doa mereka kerana doa mereka panjang. 8 Jangan menjadi seperti mereka, kerana Bapa kamu sudah tahu apa yang kamu perlukan bahkan sebelum kamu meminta daripada-Nya.

9 “Oleh itu, beginilah caranya kamu harus berdoa:

“‘Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan. 10 Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga. 11 Berilah kami makanan yang kami perlukan untuk hari ini. 12 Ampunkanlah dosa k kami sebagaimana kami mengampuni orang yang berdosa l terhadap kami. 13 Janganlah biarkan kami terjerat oleh godaan, tetapi selamatkanlah kami daripada Si Jahat.’ a

14 “Jika kamu mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampuni kamu; 15 tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu juga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu.

16 “Semasa kamu berpuasa, jangan lagi menunjukkan wajah yang sedih seperti orang yang bermuka dua. Mereka mengabaikan penampilan diri supaya orang lain tahu mereka sedang berpuasa. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Mereka sudah mendapat semua ganjaran mereka. 17 Sebaliknya, semasa kamu berpuasa, sapulah minyak pada kepalamu dan basuhlah mukamu. 18 Dengan ini, kamu berpuasa bukan untuk dilihat orang, tetapi untuk dilihat Bapamu yang berada di tempat rahsia-Nya. Maka Bapamu yang melihat dari tempat rahsia-Nya akan memberkati kamu.

19 “Jangan lagi mengumpulkan harta di bumi, kerana di bumi terdapat gegat dan karat yang akan merosakkannya, dan terdapat pencuri yang datang untuk mencurinya. 20 Sebaliknya, kumpulkanlah harta di syurga kerana di situ tiada gegat atau karat yang akan merosakkannya, dan tiada pencuri yang datang untuk mencurinya. 21 Hal ini demikian kerana di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.

22 “Mata ialah pelita tubuh. Jadi, jika matamu tertumpu kepada satu perkara sahaja, seluruh tubuhmu akan menjadi terang. 23 Tetapi jika matamu jahat, b seluruh tubuhmu akan menjadi gelap. Jika cahaya dalam dirimu itu sebenarnya ialah kegelapan, alangkah pekatnya kegelapan itu!

24 “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang tetapi menghina yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.

25 “Oleh itu, aku berkata kepada kamu: Jangan khuatir lagi tentang hidupmu, iaitu tentang apa yang akan kamu makan dan minum. Jangan khuatir lagi tentang tubuhmu, iaitu tentang apa yang akan kamu pakai. Bukankah nyawa lebih berharga daripada makanan dan tubuh lebih berharga daripada pakaian? 26 Perhatikanlah burung di langit yang tidak menyemai benih, menuai, atau mengumpulkan hasil ke dalam jelapang. Namun Bapa kamu yang di syurga masih memberi burung makanan. Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung? 27 Siapakah antara kamu yang dapat memanjangkan hayat walaupun sedikit dengan berasa khuatir? 28 Mengapakah kamu khuatir tentang pakaian? Perhatikanlah dengan cermat bagaimana bunga-bunga tumbuh di padang. Bunga-bunga itu tidak bekerja atau menenun pakaian. 29 Tetapi aku berkata kepada kamu bahawa Raja Salomo dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah salah satu daripada bunga-bunga itu. 30 Mengapakah iman kamu begitu lemah? Jika tumbuh-tumbuhan di padang yang ada hari ini lalu esoknya dibuang ke dalam api pun diberi pakaian yang indah oleh Tuhan, apatah lagi dengan kamu! Sudah pasti Dia akan memberi kamu pakaian yang diperlukan. 31 Jadi janganlah khuatir dan berkata, ‘Apa yang akan kami makan?’ atau, ‘Apa yang akan kami minum?’ atau, ‘Apa yang akan kami pakai?’ 32 Semua perkara ini asyik dikejar oleh bangsa-bangsa lain. Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini.

33 “Maka, hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya, dan semua perkara itu akan diberikan kepada kamu. 34 Oleh itu, janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri. Cukuplah masalah untuk hari ini.

7 “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi. 2 Hal ini demikian kerana kamu akan dihakimi sebagaimana kamu menghakimi orang. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu. 3 Jika begitu, mengapakah kamu melihat jerami di dalam mata saudaramu tetapi tidak melihat kayu balak di dalam matamu sendiri? 4 Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudara kamu, ‘Biarlah aku mengeluarkan jerami dari matamu,’ sedangkan ada kayu balak di dalam matamu sendiri? 5 Hai orang yang bermuka dua, keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu sendiri, kemudian barulah kamu dapat melihat dengan jelas bagaimana untuk mengeluarkan jerami dari mata saudaramu.

6 “Jangan berikan apa yang suci kepada anjing dan jangan berikan mutiara kamu kepada babi, kerana babi hanya akan memijak-mijak mutiara itu lalu menyerang kamu.

7 “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya; teruslah mencari, dan kamu akan menemukannya; teruslah mengetuk, dan pintu akan dibuka bagimu. 8 Hal ini demikian kerana setiap orang yang terus meminta akan menerima, setiap orang yang terus mencari akan menemukan, dan pintu pasti akan dibuka bagi setiap orang yang terus mengetuk. 9 Sesungguhnya, siapakah antara kamu yang akan memberikan batu kepada anaknya apabila anaknya meminta roti? 10 Atau siapakah yang akan memberikan ular kepada anaknya apabila anaknya meminta ikan? 11 Oleh itu, jika kamu yang jahat pun tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapa kamu yang di syurga! Sudah pasti Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya.

12 “Maka, semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka. Sebenarnya, inilah yang dimaksudkan dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi.

13 “Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu yang lebar dan jalan yang luas menuju kebinasaan. Ramai orang melalui jalan itu. 14 Tetapi pintu yang sempit dan jalan yang susah menuju kehidupan. Hanya sedikit orang menjumpai jalan itu.

15 “Berwaspadalah terhadap nabi-nabi palsu yang datang bertopengkan biri-biri, tetapi sebenarnya mereka ialah serigala yang buas. 16 Kamu akan mengenal mereka melalui perbuatan mereka. Tumbuhan berduri tidak akan menghasilkan buah anggur atau buah ara, bukan? 17 Demikian juga, setiap pokok yang baik akan menghasilkan buah yang baik, tetapi setiap pokok yang buruk akan menghasilkan buah yang buruk. 18 Pokok yang baik tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang buruk tidak dapat menghasilkan buah yang baik. 19 Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang lalu dibuang ke dalam api. 20 Demikianlah kamu akan mengenal mereka melalui perbuatan mereka.

21 “Bukan semua orang yang berkata kepadaku, ‘Tuan, Tuan,’ akan masuk dalam Kerajaan di syurga. Hanya mereka yang melakukan kehendak Bapaku yang di syurga akan memasukinya. 22 Pada hari itu, ramai orang akan berkata kepadaku, ‘Tuan, Tuan, bukankah kami bernubuat atas namamu, mengusir roh-roh jahat atas namamu, dan melakukan banyak mukjizat atas namamu?’ 23 Tetapi aku akan menjawab, ‘Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai orang yang melanggar hukum!’

24 “Oleh itu, setiap orang yang mendengar kata-kataku dan melakukannya akan menjadi seperti orang bijaksana yang membina rumahnya di atas batu. 25 Hujan lebat turun, banjir melanda, dan angin kencang menimpa rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana dibina di atas batu. 26 Namun, setiap orang yang mendengar kata-kataku tetapi tidak melakukannya akan menjadi seperti orang bodoh yang membina rumahnya di atas pasir. 27 Hujan lebat turun, banjir melanda, dan angin kencang menimpa rumah itu, lalu rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!”

28 Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara ini, orang ramai sangat kagum dengan cara dia mengajar. 29 Hal ini demikian kerana dia mengajar mereka sebagai seorang yang berwibawa dan bukan seperti jurutulis hukum mereka.

a Atau “rendah hati.”

b Atau “haus untuk melakukan kehendak Tuhan dan mematuhi perintah-Nya.”

c Atau “yang suka berdamai.”

d Tempat membakar sampah yang terletak di luar Yerusalem. Nama Yunani untuk Lembah Hinom yang terletak di selatan dan barat daya Yerusalem kuno. Tiada bukti bahawa binatang atau manusia dibuang ke dalam Gehena untuk diseksa atau dibakar hidup-hidup. Maka, Gehena tidak melambangkan tempat roh manusia diseksa selama-lamanya dalam api. Sebaliknya, Yesus dan murid-muridnya menggunakan perkataan ini untuk melambangkan hukuman pembinasaan kekal.

e Lihat nota kaki bagi  5:22.

f Lihat nota kaki bagi  5:22.

g Ungkapan ini diterjemahkan daripada perkataan Yunani por·neiʹa yang merupakan istilah Bible bagi perbuatan seks yang diharamkan oleh Tuhan. Merangkumi perzinaan, pelacuran, hubungan seks antara dua orang yang belum berkahwin, hubungan sejenis, dan hubungan seks dengan binatang.

h Atau “bersumpah.”

i Iaitu, meminjam tanpa faedah.

j Atau “lengkap.”

k Harfiah, “hutang.”

l Harfiah, “berhutang.”

a Iaitu, Syaitan.

b Atau “iri hati.”