8 SEPTEMBER 2025
ERITREA

Kiri ke kanan: Saudari Berekti Habte yang berumur 84 tahun dan Saudari Letebrhan Tesfay yang berumur 86 tahun

Genap Setahun sejak Dua Saksi Lanjut Usia Dipenjarakan di Eritrea

Sebanyak 14 Saksi yang Melebihi Umur 60 Tahun Masih Dipenjarakan

Genap Setahun sejak Dua Saksi Lanjut Usia Dipenjarakan di Eritrea

September 2025 menandakan genapnya setahun sejak dua saudari kita yang lanjut usia dipenjarakan di Eritrea. Pada 27 September 2024, Saudari Berekti Habte yang berumur 84 tahun ditahan semasa serbuan dijalankan di rumah Saudari Letebrhan Tesfay, yang berumur 86 tahun. Ketika itu, perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa sedang diadakan. Tiga hari kemudian, pihak berkuasa kembali dan menahan Saudari Letebrhan. Kini, dua saudari kita dipenjarakan di Penjara Adi Abeto.

Mereka berdua telah menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun. Saudari Letebrhan yang merupakan Saksi pertama di Eritrea telah dibaptis pada 1957. Lapan orang anaknya juga telah dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Salah seorang daripada mereka ialah Saudari Hadassa Zerisenay yang berumur 52 tahun, yang juga ditangkap semasa serbuan pada September 2024. Saudari Hadassa kini dipenjarakan di Penjara Mai Serwa. Saudari Berekti pula dibaptis pada 1974. Dia telah menyembah Yehuwa dengan setia selama 50 tahun.

Saudari Sidon Tekeste yang berumur 17 tahun ialah Saksi paling muda yang sedang dipenjarakan di Eritrea

Sekarang, terdapat 64 Saksi yang dipenjarakan di Eritrea. Daripada jumlah itu, 14 orang Saksi itu sudah melebihi 60 tahun. Saksi paling muda yang dipenjarakan ialah Saudari Sidon Tekeste yang berumur 17 tahun. Dia telah ditahan di Penjara Mai Serwa sejak November 2024. Semua Saksi dipenjarakan tanpa didakwa atau dibicarakan. Semasa di penjara, para pegawai sering melayan mereka dengan teruk atau tidak mengizinkan mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan. Seorang saudari yang dibebaskan dari Penjara Adi Abeto pada Januari 2025 kata, “Keadaan di situ sangat susah. Ada terlalu banyak orang dalam satu sel. Para banduan, termasuk saudara saudari kita yang lanjut usia, hanya ada ruang yang lebarnya kira-kira 40 hingga 60 sentimeter untuk baring. Jadi, mereka tidak dapat baring sepenuhnya tetapi harus tidur mengiring. Mahu bergerak pun susah. Nampaknya, pegawai penjara guna cara ini untuk buat saudara saudari patah semangat dan berhenti menyembah Yehuwa.”

Keadaan teruk yang dialami para Saksi dan tindakan Eritrea yang mencabuli hak asasi mereka telah menarik perhatian banyak organisasi antarabangsa yang terkemuka. Misalnya, pada Mei 2025, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa kerajaan Eritrea untuk “segera membebaskan semua orang yang telah ditahan tanpa dasar undang-undang” dan “berhenti menganiaya seseorang kerana kepercayaan agamanya.” Namun sehingga kini, kerajaan Eritrea enggan membetulkan keadaan dan terus menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa yang beribadat secara damai.

Seramai 14 saudara saudari yang dipenjarakan di Eritrea melebihi umur 60 tahun. Baris atas, kiri ke kanan: Berekti Habte, 84; Elen Goitom, 60; Genet Zeray, 67; Keseteberhan Negusse, 74; Hideat Gebrehiwet, 65; dan Letebrhan Tesfay, 86. Baris bawah, kiri ke kanan: Tewoldemedhin Habtezion, 66; Saba Tekle, 66; Tareke Tesfamariam, 77; Tekle Yoab, 74, dan isterinya Kdisti Tesfamichael, 71; Tesfay Kiflay, 67; Tesfazion Gebremichael, 83; dan Okba Amare, 62

Saudara saudari di serata dunia terus berdoa agar rakan seiman di Eritrea akan dibebaskan. Kita yakin bahawa “kuasa suci Tuhan yang mulia” ada pada mereka dan mereka akan mengharungi cabaran ini dengan tabah.—1 Petrus 4:14.