Lompat ke kandungan

Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Bencana Alam?

Apakah yang Dinyatakan dalam Bible tentang Bencana Alam?

Jawapan Bible

 Tuhan bukanlah penyebab bencana alam. Tetapi Dia amat prihatin terhadap mangsa bencana alam. Dia berjanji untuk melenyapkan bencana alam pada masa depan melalui Kerajaan-Nya. Tetapi sekarang pun, Tuhan melegakan hati orang yang ditimpa bencana alam.​—2 Korintus 1:3.

 Mengapakah kita yakin bahawa bencana alam bukanlah hukuman daripada Tuhan?

 Bible menyatakan bahawa Tuhan pernah menggunakan kuasa alam untuk menghukum manusia. Biarpun begitu, bencana alam bukanlah hukuman daripada Tuhan. Mengapa?

  •   Bencana alam menimpa orang yang jahat dan orang yang baik. Tetapi semasa Tuhan menggunakan kuasa alam untuk menghukum manusia, Dia memastikan bahawa hanya orang jahat yang dibinasakan. Contohnya, apabila Tuhan memusnahkan kota Sodom dan Gomora, Dia menyelamatkan seorang lelaki baik yang bernama Lot, dan dua orang anak perempuannya. (Kejadian 19:29, 30) Tuhan dapat membaca hati manusia, dan Dia hanya membinasakan orang yang jahat.​—Kejadian 18:23-​32; 1 Samuel 16:7.

  •   Bencana alam biasanya melanda secara tiba-tiba. Tetapi Tuhan akan memberikan amaran kepada orang yang jahat sebelum Dia menggunakan kuasa alam untuk menghukum mereka. Orang yang mendengar amaran Tuhan diberi peluang untuk menyelamatkan diri.​—Kejadian 7:​1-5; Matius 24:38, 39.

  •   Manusia telah menyumbang kepada kejadian bencana alam. Mereka merosakkan alam sekitar, atau membina bangunan di kawasan yang sering mengalami gempa bumi, banjir, dan cuaca yang teruk. (Wahyu 11:18) Kita tidak patut menyalahkan Tuhan apabila manusia membuat keputusan yang buruk.​—Amsal 19:3.

 Adakah bencana alam merupakan salah satu tanda hari-hari terakhir?

 Ya, nubuat-nubuat Bible menyatakan bahawa bencana alam akan berlaku pada “penghujung sistem ini,” atau “pada hari-hari terakhir.” (Matius 24:3; 2 Timotius 3:1) Contohnya, berkenaan masa ini, Yesus berkata, “Kebuluran dan gempa bumi akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.” (Matius 24:7) Tidak lama lagi, Tuhan akan melenyapkan semua punca penderitaan, termasuk bencana alam, dari dunia ini.​—Wahyu 21:​3, 4.

 Bagaimanakah Tuhan membantu mangsa bencana alam?

  •   Tuhan melegakan hati mangsa bencana alam melalui Firman-Nya, Bible. Bible memberi kita jaminan bahawa Tuhan mengambil berat terhadap kita dan merasai keperitan kita. (Yesaya 63:9; 1 Petrus 5:6, 7) Bible juga menyatakan bahawa Tuhan menjanjikan masa depan yang bebas daripada bencana alam.​—Lihat “ Ayat-ayat Bible yang membawa kelegaan hati kepada mangsa bencana alam.”

  •   Tuhan membantu mangsa bencana alam melalui umat-Nya. Tuhan menyuruh para penyembah-Nya di bumi untuk meniru teladan Yesus. Bible menubuatkan bahawa Yesus akan membantu “orang yang hancur hati” dan “orang yang berdukacita.” (Yesaya 61:​1, 2) Umat Tuhan berusaha untuk melakukan hal yang sama.​—Yohanes 13:15.

     Tuhan juga memberikan bantuan praktikal kepada mangsa bencana alam melalui umat-Nya.​—Kisah 11:28-30; Galatia 6:​10.

Saksi-Saksi Yehuwa memberikan bantuan praktikal kepada mangsa ribut taufan di Puerto Rico

 Dapatkah prinsip Bible mempersiapkan kita untuk menghadapi bencana alam?

 Ya. Meskipun Bible bukanlah buku panduan kecemasan, Bible mengandungi prinsip-prinsip yang dapat membantu kita. Contohnya:

  •   Membuat perancangan. Bible menyatakan, “Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya.” (Amsal 22:3) Adalah bijak untuk membuat perancangan untuk menghadapi kecemasan. Perancangan yang boleh dibuat termasuk menyediakan beg kecemasan dan menentukan tempat untuk berjumpa dengan ahli keluarga apabila bencana melanda.

  •   Nyawa lebih penting daripada harta benda. Bible menyatakan, “Kita tidak membawa apa-apa masuk ke dalam dunia ini, dan kita juga tidak dapat membawa apa-apa keluar.” (1 Timotius 6:​7, 8) Apabila bencana alam berlaku, kita perlu sudi meninggalkan rumah dan harta benda kita untuk menyelamatkan diri. Ingatlah bahawa nyawa kita lebih berharga daripada harta benda.​—Matius 6:​25.